Skip to main content

Singapura

Para AP Melayu sampaikan ucapan Selamat Tahun Baru Cina , "Huat ah!"

Sambutan perayaan Tahun Baru Cina semakin meriah, dengan masyarakat berbilang kaum saling memberikan ucapan "Xin Nian Kuai Le" dan melaungkan "Huat ah!" untuk anggota masyarakat Cina.

Anggaran Waktu Membaca:
Para AP Melayu sampaikan ucapan Selamat Tahun Baru Cina , "Huat ah!"

(Dari kiri) Amrin Amin, Profesor Madya Dr Fatimah Lateef, Masagos Zulkifli, Dr Mohamad Maliki Osman.

Diterbitkan : 04 Feb 2019 07:19PM Dikemas Kini : 04 Feb 2019 07:27PM

BERITAmediacorp: Sambutan perayaan Tahun Baru Cina semakin meriah, dengan masyarakat berbilang kaum saling memberikan ucapan "Xin Nian Kuai Le" dan melaungkan "Huat ah!" untuk anggota masyarakat Cina.

Empat Anggota Parlimen (AP) Melayu/Islam tidak ketinggalan untuk menjadi antara yang pertama memuat naik video atau gambar yang membawa ucapan tahun baru, bagi pihak kawasan undi atau GRC masing-masing.

AP GRC Sembawang, Amrin Amin, seperti biasa tidak terlepas untuk berkongsi video yang disunting khas sebagai ucapan perayaan. Kali ini, beliau bukan sahaja menampilkan masyarakat Cina, malah juga orang Melayu dan juga India - suatu simbol perpaduan sebuah negara berbilang bangsa dan agama.

Menerusi video tersebut, masyarakat Cina dilihat sedang sibuk membuat persiapan menyambut tahun baru sambil menari dan menyanyi lagu berjudul He Xin Nian (tahniah atas Tahun Baru ini).

Pada penghujung video itu, Encik Amrin muncul bersama para penduduk dan menyampaikan ucapan yang berbunyi: "Selamat Tahun Baru Cina dan saya harap anda mendapat tuah, kesihatan yang baik, keamanan dan kemakmuran. Huat ah!"

Menteri Sekitaran dan Sumber Air yang juga AP GRC Tampines juga mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina menerusi laman Facebook beliau:

"Tampines adalah tempat yang istimewa untuk hidup dan berkeluarga. Semua yang kita perlukan, ada di sini. Yang paling penting, semua orang saling sayang menyayangi dan hormat menghormati. Inilah nilai yang membentuk sebuah masyarakat yang hebat - kerana kita adalah jiran tetangga yang baik."

Kapsyen tersebut disertakan dengan sebuah video ucapan dan harapan penduduk Tampines sempena tahun baru ini. Menerusi video itu, Encik Masagos menambah, Tahun Baru Cina adalah perayaan yang menyatukan rakyat Singapura tanpa mengira bangsa, bahasa atau agama.

"Sedang kita membina masa depan bersama, ayuh kita raikan perayaan-perayaan yang berbeza ini bersama-sama sebagai rakyat Singapura."

Selain Encik Masagos, video itu turut menampilkan para AP GRC Tampines yang lain. Ini termasuk Menteri Kewangan Heng Swee Keat, Setiausaha Parlimen Kanan Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pengangkutan Baey Yam Keng dan Datuk Bandar CDC Timur Laut, Desmond Choo.

Dalam video yang dikongsinya pula, Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar Dr Mohamad Maliki Osman dan rakan-rakan penasihat akar umbinya dari GRC East Coast mengucapkan Selamat Tahun Baru dan berharap ia akan menjadi tahun yang penuh dengan kemakmuran dan kesihatan untuk semua.

Rakan-rakannya AP GRC East Coast yang turut menyampaikan ucapan adalah Cik Jessica Tan, Encik Li Yi Shyan dan Encik Lim Swee Say.

AP GRC Marine Parade, Dr Fatimah Lateef, pula memilih untuk memuat naik sekeping gambar dirinya yang bergaya dengan memakai 'Cheongsam' - pakaian tradisional masyarakat Cina - berwarna hitam merah.

Beliau juga memegang kaligrafi Cina yang bermaksud "Bahagia sentiasa".

Beliau menulis: "Xin Nian Kuai Ler, Shen Ti Chian Kang, Wan Sir Ru Yi, Tian Tian Kai Xin", yang bermaksud Selamat Tahun Baru, Semoga Anda Sihat, Agar Segala-galanya Lancar, Semoga Anda Bahagia Sentiasa.

AP GRC Marine Parade Profesor Madya Dr Fatimah Lateef . (Gambar: Fatimah Lateef /Facebook)

AP GRC Marine Parade Profesor Madya Dr Fatimah Lateef . (Gambar: Fatimah Lateef /Facebook)

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita