Para AP gesa syarikat lebih telus dalam pengambilan pekerja asing, utamakan rakyat S'pura
Pemerintah harus melakukan lebih banyak lagi untuk menangani persaingan pekerjaan dari warga asing di tengah-tengah keprihatinan rakyat Singapura mengenai isu itu, menurut para Anggota Parlimen (AP) pada Isnin (31 Ogos) semasa perbahasan berkenaan Ucapan Presiden.
SINGAPURA: Pemerintah harus melakukan lebih banyak lagi untuk menangani persaingan pekerjaan dari warga asing di tengah-tengah keprihatinan rakyat Singapura mengenai isu itu, menurut para Anggota Parlimen (AP) pada Isnin (31 Ogos) semasa perbahasan berkenaan Ucapan Presiden.
Ini adalah tema utama pada hari pertama perbahasan, dengan para AP menyentuh tentang memperkukuhkan "asas Singapura".
Saranan yang dikemukakan di Parlimen termasuk memastikan syarikat-syarikat mengutamakan rakyat Singapura bagi pekerjaan melebihi pertimbangan adil, memastikan syarikat mengembangkan tenaga kerja tempatan mereka, serta mewajibkan syarikat-syarikat bersikap telus mengenai syarat pemilihan dan tenaga kerja asing mereka.
Presiden Halimah Yacob berkata dalam ucapan semasa pembukaan Parlimen ke-14 pada Isnin lalu bahawa Pemerintah akan menangani isu pemegang pas kerja yang bersaing dengan rakyat Singapura untuk pekerjaan.
Dua hari kemudian, Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo mengumumkan bahawa kriteria gaji bagi Pas Pekerjaan (EP) dan Pas S akan dinaikkan, sebagai sebahagian daripada "proses penentukuran tetap" bagi membolehkan firma-firma menggajikan tenaga kerja yang diperlukan, sementara menjamin asas rakyat Singapura yang kukuh.
Bagaimanapun AP bagi GRC West Coast Foo Mee Har berkata pada Isnin bahawa beliau tidak berpendapat bahawa langkah-langkah baru itu "mencukupi".
"Ramai rakyat Singapura percaya bahawa mereka tidak diterima bagi pekerjaan yang mereka boleh lakukan kerana biaya pekerja asing lebih murah, tanpa majikan perlu membayar sumbangan CPF dan menangani tanggungjawab Perkhidmatan Negara, atau hanya kerana para majikan lebih suka membawa rakan-rakan dan keluarga mereka sendiri dari luar negara untuk mengisinya," kata beliau.
Anggota Parlimen GRC Bishan Toa-Payoh Saktiandi Supaat berkata, sesetengah majikan menawarkan gaji lebih tinggi kepada warga asing bagi melayakkan mereka untuk pas kerja, sebelum mengurangkan gaji mereka apabila mereka berada di Singapura.
LEBIH TELUS MENGENAI TENAGA KERJA ASING, SYARAT PEMILIHAN
Cik Foo berkata bahawa Pemerintah sepatutnya mewajibkan syarat pemilihan yang telus, sambil menambah bahawa jawatan pekerjaan yang diiklankan di portal sepatutnya mengandungi syarat pemilihan yang "telus sepenuhnya ".
Pemerintah harus melaksanakan nisbah atau kuota kebergantungan untuk EP, dengan had berbeza dan tahap-tahap gaji yang ditentukan bagi sektor-sektor berlainan, kata Cik Foo. "Ini akan mendorong tindakan perlu di pihak majikan, untuk mengurangkan kebergantungan pada warga asing," tambahnya.
Pihak pengurusan kanan juga sepatutnya mengesahkan pekerjaan yang ditawarkan kepada pemegang EP dan mengisytiharkan bahawa firma itu sudah memenuhi syarat-syarat tersebut, katanya. Ini juga akan memastikan para eksekutif kanan dipertanggungjawabkan, dan didenda jika mereka membuat pengisytiharan palsu, jelasnya.
Akhir sekali, Cik Foo berkata bahawa firma-firma sepatutnya memastikan pemindahan keupayaan dan kemahiran kepada pekerja tempatan, dengan menghasilkan rancangan kesinambungan yang sistematik, dikaitkan dengan kelulusan EP bagi sesetengah sektor.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.