Skip to main content

Singapura

Para aktivis hantar surat aduan kepada PM Lee berhubung Seah Kean Peng, Shanmugam

Tiga aktivis yang dikritik oleh AP Seah Kian Peng dan Menteri K Shanmugam berhubung pertemuan mereka dengan pemimpin Malaysia Dr Mahathir Mohamad, menghantar surat aduan kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam jawatan beliau sebagai setiausaha agung Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Anggaran Waktu Membaca:
Para aktivis hantar surat aduan kepada PM Lee berhubung Seah Kean Peng, Shanmugam

Gambar fail Encik Shanmugam (kiri) dan Dr Thum (kanan) (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 05 Sep 2018 03:58PM Dikemas Kini : 05 Sep 2018 04:01PM

SINGAPURA: Tiga aktivis yang dikritik oleh Anggota Parlimen (AP) Seah Kian Peng dan Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam berhubung pertemuan mereka dengan pemimpin Malaysia Dr Mahathir Mohamad, menghantar surat aduan kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam jawatan beliau sebagai setiausaha agung Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Surat tersebut yang ditandatangani ahli sejarah Thum Ping Tjin, wartawan Kirstan Han dan aktivis hak sivil Jolovan Wham, dihantar pada Rabu (5 Sep), menurut satu catatan Facebook oleh Cik Han. Salinan surat itu turut dihantar kepada Encik Charles Chong, pengerusi Jawatankuasa Pilihan mengenai Kepalsuan Online yang Disengajakan

Surat tersebut dikeluarkan susulan kritikan oleh Encik Seah dan Encik Shanmugam terhadap pertemuan kumpulan itu - termasuk pembangkang Tan Wah Piow dan novelis grafik Sonny Liew dengan Dr Mahathir. Dalam pertemuan itu mereka menjemput Perdana Menteri Malaysia itu untuk berucap di sebuah sidang mengenai demokrasi.

Dalam catatan Facebook selepas pertemuan itu, Encik Seah berkata Dr Thum "tidak inginkan yang baik untuk Singapura" dan mengundang Dr Mahathir untuk "membawa masuk demokrasi ke Singapura". Merujuk kepada catatan Facebook Dr Thum, yang dikatakan membayangkan bahawa warga Singapura patut meraikan hari kebangsaan Malaysia, Encik Seah mendakwa Dr Thum seolah-olah menyatakan bahawa Singapura adalah sebahagian Malaya.

Surat yang dihantar oleh para aktivis itu menyangkal dakwaan bahawa Dr Thum meminta Dr Mahathir membawa demokrasi ke Singapura atau campur tangan dalam hal ehwal Singapura. "Encik Seah tidak memberikan sebarang bukti lain bagi dakwaan-dakwaannya," menurut surat itu.

Berhubung perayaan hari kebangsaan Malaysia, para aktivis berkata "Perdana Menteri pertama Lee Kuan Yew mengisytiharkan kemerdekaan de facto pada 31 Ogos 1963 sebagai menunjukkan berakhirnya penjajahan Britain di Singapura.

"Agak melampau untuk berkata bahawa mengucapkan 'selamat hari kemerdekaan tidak rasmi' kepada warga Singapura adalah sama dengan menyuarakan pendapat bahawa Singapura adalah sebahagian Malaysia hari ini."

Para aktivis tersebut mendakwa bahawa komen-komen yang dibuat Encik Seah sama kesannya seakan mencetuskan tuduhan khianat, dan terdapat seruan agar para aktivis ditangkap, ditahan malah dibunuh.

Tuduhan-tuduhan ini, menurut para aktivis itu, diuar-uarkan lagi di laman Facebook rasmi PAP dan Encik Shanmugam. Encik Shanmugam, seperti Encik Seah, adalah anggota Jawatankuasa Pilihan bagi Kepalsuan Online yang Disengajakan.

"Amat tidak bertanggungjawab bagi Encik Seah dan Encik Shanmugam - kedua-duanya anggota Parti Tindakan Rakyat dalam kedudukan berkuasa - untuk membuat dakwaan terbuka tanpa sebarang sebab kukuh atau bukti," kata para aktivis dalam surat mereka kepada Encik Lee.

"Sebagai pemimpin Parti Tindakan Rakyat, kami menggesa agar anda meneliti isu ini dan mengambil langkah menggalak sifat bertanggungjawab di kalangan anggota parti anda."

Dalam surat kepada Encik Chong pula, kumpulan itu berkata agak 'ironik' anggota-anggota Jawatankuasa Pilihan "sendiri membuat tuduhan terbuka tanpa sebab atau bukti kukuh".

"Episod ini menekankan lagi teras yang diutarakan sebelum ini bahawa pemerintah juga tertakluk kepada sebarang huraian atau hukuman yang diambil untuk membanteras kepalsuan online, kerana badan-badan negara juga boleh menjadi sumber informasi tidak tepat."

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita