PAP.SG seru lebih peluang pekerjaan bagi warga emas
Sebahagian warga emas masih mahu bekerja atau melakukan kerja sukarela selepas menamatkan tempoh pekerjaan rasmi, kata pengerusi Kumpulan Warga Emas Parti Tindakan Rakyat (PAP.SG) Tan Chuan-Jin pada Rabu (30 Jan).
Gambar fail warga emas di Singapura. (Gambar: Xabryna Kek)
SINGAPURA: Sebahagian warga emas masih mahu bekerja atau melakukan kerja sukarela selepas menamatkan tempoh pekerjaan rasmi, kata pengerusi Kumpulan Warga Emas Parti Tindakan Rakyat (PAP.SG) Tan Chuan-Jin pada Rabu (30 Jan).
Encik Tan, yang juga Speaker Parlimen, menggesa Pemerintah meneraju usaha menjana lebih banyak peluang pekerjaan bagi warga senja, seperti menawarkan peluang kerja sambilan bagi kakitangan perkhidmatan awam yang sudah bersara.
Beliau berkata semua pihak mempunyai peranan masing-masing dan sektor swasta juga boleh menawarkan pekerjaan bagi warga senja.
PAP.SG merupakan sebuah kumpulan sokongan di bawah Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memperjuangkan hal ehwal warga tua.
Encik Tan bersama para Anggota Parlimen (AP) Joan Pereira dan Henry Kwek, mantan Menteri Negara Yu-Foo Yee Shoon dan mantan AP Chiang Hai Ding membentangkan kertas saranan PAP.SG untuk "mewujudkan suasana sesuai bagi warga emas menikmati tahun-tahun senja mereka secara aktif dan produktif,"
Satu usulan mengenai topik itu juga akan dibentangkan di sidang parlimen akan datang pada 11 Februari nanti.
Antara cadangan yang dikemukakan adalah harapan ke atas perikatan tiga pihak - iaitu antara kesatuan sekerja, majikan dan pemerintah - untuk mewujudkan lebih banyak peluang bagi warga senja yang mahu bekerja menerusi pengaturan kerja fleksibel.
Ia juga menggesa golongan lanjut usia lebih digalak untuk menjadi sukarelawan atau mengejar minat mereka.
Bagi aspek perumahan pula, kumpulan tersebut mahu kedua-dua sektor awam dan swasta menimbangkan satu konsep perumahan baru dipanggil rumah kumpulan warga tua.
Rumah-rumah di bawah konsep itu akan dilengkapi dengan ciri-ciri bantuan kehidupan serta kemudahan jagaan perubatan yang berhampiran.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.