PAP sedang siapkan manifesto pilihan raya, senarai calon: Heng Swee Keat
Parti Tindakan Rakyat (PAP) memberi perhatian kepada beberapa isu utama dalam menyiapkan manifestonya dan memilih calon-calon untuk bertanding dalam pilihan raya, menurut Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat.
SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) memberi perhatian kepada beberapa isu utama dalam menyiapkan manifestonya dan memilih calon-calon untuk bertanding dalam pilihan raya, menurut Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat.
Dalam wawancara bersama CNA dan The Straits Times, Encik Heng, yang juga penolong setiausaha agung pertama PAP, berkata beliau sedang bekerja rapat dengan penolong setiausaha agung kedua, Encik Chan Chun Sing dalam hal tersebut.
Salah satu perkara yang akan diusahakan kedua-dua pemimpin itu adalah menyediakan manifesto parti dan "bagaimana (mereka) ingin memajukan Singapura dalam lima tahun akan datang dan seterusnya," menurut Encik Heng dalam wawancara media pertamanya sejak memegang jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri.
Menurut Encik Heng, selain itu, adalah pemilihan calon-calon untuk bertanding dalam pilihan raya.
"Saya rasa parti ini mempunyai dasar untuk memperbaharui barisan calon kami pada setiap pilihan raya, dan tugas itu semakin mencabar. Kami sudah pun mempunyai beberapa calon yang hebat, tetapi usaha masih lagi diteruskan kerana kami masih lagi ada masa," kata Encik Heng.
Ditanya apakah ciri-ciri yang beliau cari dalam calon-calon tersebut, Encik Heng berkata senarai parti adalah amat luas. Beliau berharap dapat meyakinkan calon-calon yang datang daripada pelbagai latar belakang itu supaya bertanding.
"Masyarakat kita semakin pelbagai dan adalah penting untuk kita terus mewakili kepelbagaian dan memastikan bahawa kita dapat mengutarakan pandangan daripada setiap lapisan masyarakat yang berbeza," menurut Encik Heng.
"Pada masa yang sama, kita mampu mencapai kata sepakat yang membolehkan kita mengubah kepelbagaian menjadi satu kekuatan dan bukan memecahbelahkan kita."
Perdana Menteri Lee Hsien Loong sebelum ini,pernah berkata bahawa dengan pelantikan Encik Heng sebagai Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng akan diberikan lebih banyak tanggungjawab politik, yang termasuk meyakinkan rakyat tentang kedudukan dan dasar-dasar Pemerintah dan juga kepada para menteri lebih tua apabila tiba masanya beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri.
DEDIKASI TERHADAP PERJUANGAN S'PURA TIDAK HARUS BERUBAH
Dalam wawancaranya itu, Encik Heng turut menjelaskan isu mengenai sama ada para pemimpin 4G PAP, serta pemimpin masa depan kelak, boleh terus merekrut calon-calon untuk mewakili masyarakat yang pelbagai di sini, sambil menyatakan bahawa mereka akan "pasti berusaha melakukan yang terbaik".
DPM Heng memberi contoh beberapa lawatan beliau baru-baru ini ke China dan Amerika Syarikat. Menurutnya beliau melihat ramai rakyat Singapura yang berbakat dapat memilih pelbagai "tugas yang amat menarik". Oleh demikian, matlanat PAP adalah untuk meyakinkan mereka bahawa "politik amat bermakna dan sesuatu yang boleh meninggalkan kesan yang besar," katanya.
"(Kami harus) meyakinkan mereka bahawa jika anda ingin Singapura maju ke hadapan, salah satu caranya adalah untuk anda menyertai kami supaya kita dapat terus meraih kepercayaan dan keyakinan rakyat Singapura," kata Encik Heng, sambil menambah bahawa beliau "amat terbuka" kepada lebih ramai calon - sama ada berpotensi menjadi Anggota Parlimen atau membantu dalam perihal parti.
Encik Heng, yang kekal sebagai Menteri Kewangan, turut ditanya tentang gaya kepimpinannya berbanding pemimpin sebelum ini seperti mendiang Encik Lee Kuan Yew dan Encik Goh Chok Tong.
"Perkara yang paling menyentuh hati tentang Encik Lee adalah dedikasi sepanjang hayatnya terhadap Singapura. Encik Goh dan PM Lee pula amat berdedikasi, dan saya berpendapat mereka juga mendapat inspirasi untuk meneruskan perjuangan Encik Lee," kongsi Encik Heng.
"Berhubung perkara-perkara yang tidak harus berubah ialah, saya berharap dedikasi itu - bukan sahaja pada diri saya, tetapi rakan kerja saya dan semua rakyat Singapura - terhadap perjuangan Singapura tidak akan berubah."
Ini bermakna berusaha untuk membangunkan keadaan yang memperkasakan rakyat Singapura, bukan saja bagi generasi sekarang tetapi generasi masa depan, untuk mencapai potensi dan aspirasi masing-masing, tambahnya.
Encik Heng tekankan: "Kita tidak boleh memilih di mana kita dilahirkan, tetapi kami berharap golongan ibu bapa akan dapat merasakan bahawa Singapura adalah negara yang baik untuk mempunyai keluarga. Saya berpendapat ia tidak sepatutnya berubah."
BANGUNKAN KABINET YANG KUKUH, BERSATU PADU
Bagaimanapun Encik Heng berkata bahwa beliau akan terus membuat "keputusan yang sukar" untuk menerajui Singapura mengharungi cabaran-cabaran jangka masa pendek dan jangka panjang.
"Amat penting bagi kita untuk menangani isu-isu yang ada di hadapan kita kerana jika anda tidak mengelak 'lubang' di hadapan, anda akan terjatuh ke dalamnya dan perlu diselamatkan," menurut Timbalan Perdana Menteri lagi.
"(Namun) apabila kita berbuat demikian, kita tidak boleh terlupa hala tuju kita, apakah destinasi dan mempunyai sasaran berhubung ke mana kita mahu pergi pada masa kelak juga penting."
Menurut beliau, membangunkan pasukan yang kukuh dan bersatu dalam Kabinet adalah lebih penting. Ini selain membina keyakinan dan rasa percaya mempercayai dalam pasukan itu dan juga dengan rakyat Singapura.Ia agar apabila keputusan, perlu dibuat, pasukan itu dapat memikirkan bagi keperluan jangka panjang dan bersedia untuk melakukan perkara yang betul, jelasnya.
"Kesimpulannya, di bawah sistem Kabinet kita, ia adalah sistem berteraskan tanggungjawab secara bersama. Pada akhirnya, PM akan membuat keputusan muktamad," kata Encik Heng.
Wawancara penuh bersama DPM Heng Swee Keat akan ditayangkan malam ini (5 Mei) pada jam 8.30 malam di CNA.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.