PAP sambung semula sesi bertemu penduduk secara fizikal mulai 23 Ogos
Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan menyambung semula sesi bertemu penduduk dan kegiatan-kegiatan cawangan pada Isnin (23 Ogos) berikutan pelonggaran kepada sekatan COVID-19 baru-baru ini.
Anggota Parlimen GRC Tampines Baey Yam Keng di sebuah sesi bertemu penduduk. (Gambar fail: Baey Yam Keng/Facebook)
SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan menyambung semula sesi bertemu penduduk dan kegiatan-kegiatan cawangan pada Isnin (23 Ogos) berikutan pelonggaran kepada sekatan COVID-19 baru-baru ini.
"Kami masih menggalak penduduk kami untuk berhubungan dengan kami melalui telefon atau secara maya sebagai cara asas. Ini akan membantu kami untuk mengelakkan perhimpunan orang ramai," menurut parti itu dalam satu catatan Facebook pada Khamis (19 Ogos).
Pada awal Mei lalu, PAP menasihatkan cawangan-cawangannya untuk menganjurkan sesi anggota parlimen secara maya atau menerusi telefon memandangkan kes COVID-19 dalam masyarakat meningkat ketika itu.
Anggota Parlimen (AP) bagi Marine Parade Tan Chuan-Jin menulis dalam satu catatan Facebook beliau "gembira" bahawa "keadaan sedia ada" membenarkan sesi bertemu penduduk secara fizikal dimulakan semula. Beliau menambah penganjuran sesi itu secara maya selama beberapa bulan lalu "mencabar".
"Kami akan terus memberikan perhatian rapi kepada langkah-langkah keselamatan tetapi jika sesetengah anda mahu, anda boleh terus mengirimkan emel dan WhatsApp kami seperti sebelumnya daripada datang ke sini," tulisnya.
Singapura melangkah ke tempoh sekatan masyarakat lebih ketat di bawah Fasa 2 (Kewaspadaan Dipertingkat) dari Mei hingga Jun dan sekali lagi dari Julai hingga Ogos.
Sejak 10 Ogos, sekatan dilonggarkan untuk membenarkan orang ramai duduk makan di luar, perhimpunan sosial sehingga lima orang dan sesetengah acara lebih besar.
Pada Khamis, Kementerian Kesihatan menyatakan ia akan meneruskan dengan langkah kedua melonggarkan langkah-langkah seperti yang sudah dirancangkan, keadaan COVID-19 yang stabil.
Singapura melaporkan 29 kes baru jangkitan tempatan COVID-19 pada Khamis termasuk 13 kes tanpa hubung kait.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.