Skip to main content

Singapura

PAP punyai ramai calon berbanding ruang untuk tampilkan mereka: Shanmugam

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 15 Feb 2025 03:40PM Dikemas Kini : 15 Feb 2025 10:18PM
SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP), yang memerintah mempunyai lebih ramai calon yang berpotensi bagi setiap pilihan raya, berbanding ruang untuk menampilkan mereka.

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam berkata demikian pada Sabtu (15 Feb), ketika melakukan kunjungan bertemu penduduk Khatib, di GRC Nee Soon.

Encik Shanmugam, yang juga menteri bertanggungjawab di GRC Nee Soon, mengetuai pasukan PAP di sana.

Encik Shanmugam serta anggota pasukan Nee Soon yang lain, termasuk Menteri Ehwal Dalam Negeri Faishal Ibrahim, Encik Louis Ng, Cik Carrie Tan dan Encik Derrick Goh, berinteraksi dengan penduduk di pasar tersebut di sana.

WAJAH BAHARU DIPERKENALKAN

Semasa melakukan kunjungan itu, mereka turut disertai Encik Daniel Liu, iaitu pengerusi Jawatankuasa Perundingan Rakyat cawangan Nee Soon East di GRC Nee Soon, yang akan mula menerajui cawangan Paya Lebar PAP pada Isnin.

Menurut Encik Shanmugam, Encik Liu sudah berkhidmat di Nee Soon sekitar 10 tahun, dan merupakan antara bakat politik yang dicungkilnya.

"Beliau adalah salah satu yang telah saya kenal pasti, dan saya kemudian merujuknya kepada Louis (Ng)," jelas menteri itu.

Encik Ng menggalas peranan sebagai anggota parlimen bagi kawasan Nee Soon East.

"Beliau sebenarnya boleh bertanding lebih awal, tetapi kami sentiasa mempunyai lebih banyak calon berpotensi berbanding ruang."

Beliau berkata bahawa kempen 2015 adalah "terlalu awal" bagi Encik Liu untuk dipertimbangkan sebagai calon pilihan raya, dan beliau "mungkin telah dipertimbangkan" bagi persaingan 2020 itu.

"Ini tidak bermakna beliau sudah disahkan bagi 2025. Proses itu masih dijalankan," tekan Encik Shanmugam.

Beliau menambah bahawa keputusan mengenai pengerahan Encik Liu akan dimuktamadkan jawatankuasa eksekutif pusat parti itu.
Related article image
Wajah baharu PAP Daniel Liu, yang telah berkhidmat di Nee Soon East selama kira-kira 10 tahun, dilihat menyertai kunjungan bertemu penduduk bersama Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam di Khatib pada 15 Feb 2025. (Gambar: CNA/Jeremy Long)
Encik Liu ialah pengarah urusan perundingan perancangan bandar Morrow Architects & Planners, dan juga pengarah eksekutif Morrow Intelligence bagi bahagian analisis data.

Beliau sebelum ini merupakan penolong setiausaha cawangan PAP Nee Soon East. Beliau juga anak kepada bekas ketua perancang Singapura Liu Thai Ker.

Encik Shanmugam malah berkata bahawa hanya kerana wajah baharu dilihat di satu tempat, ia tidak bermakna dia akan menjadi calon di kawasan itu bagi persaingan pilihan raya tersebut.

Malah, sama ada seseorang individu itu akan menjadi seorang calon mahupun di kawasan mana dia akan bertanding, akan ditentukan kelak, jelas Encik Shanmugam.

Encik Shanmugam menambah bahawa sepanjang khidmatnya selama 37 tahun di Nee Soon, isu-isu yang menjadi keprihatinan penduduk termasuk kos makanan dan kebersihan estet.

Terdapat juga tumpuan terhadap isu mengenai pekerjaan dan ekonomi, tambahnya.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita