PAP persoal Pritam Singh bincang politik SG 'di bumi asing kepada khalayak asing'
Keputusan Ketua Pembangkang Pritam Singh untuk berbicara mengenai politik Singapura dalam sebuah podcast Malaysia "menimbulkan persoalan serius" tentang mengapa beliau memilih untuk membincangkan topik itu "di bumi asing kepada khalayak asing".
Ketua Parti Pekerja, Pritam Singh, bercakap kepada media di Ibu Pejabat Parti Pekerja di Geylang pada 19 April 2025. (Gambar: CNA/Marcus Mark Ramos)
Demikian menurut Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Khamis (3 Jul).
"Sungguh mengejutkan, beliau tidak memilih saluran media tempatan, sebaliknya podcast yang dihoskan oleh warga Malaysia dan dirakam di Malaysia untuk berkongsi pandangannya mengenai landskap politik domestik kita," menurut parti itu dalam satu kenyataan.
Dalam video yang dimuat naik ke YouTube pada 24 Jun, Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) itu berbicara dengan Keluar Sekejap, iaitu podcast politik Malaysia popular yang dihoskan oleh mantan menteri kesihatan Khairy Jamaluddin dan Encik Shahril Hamdan, yang dahulunya merupakan ketua penerangan UMNO.
Ia merupakan wawancara paling mendalam Encik Pritam sejak Pilihan Raya Umum 3 Mei, di mana PAP mengekalkan kuasa dengan 65.57 peratus undian.
PAP menyatakan isu itu bukan "sekadar soal pilihan platform". "Ia menyentuh prinsip asas - bahawa hal ehwal domestik Singapura harus dibahaskan dan diputuskan oleh rakyat Singapura, di dalam Singapura."
Memetik mantan pemimpin pembangkang mapan Chiam See Tong, parti itu menambah: "Pembangkang mestilah 'jujur... warga Singapura yang patriotik... dan tidak mengelilingi dunia mencemuh Singapura'."
Semasa wawancara yang berlangsung lebih satu setengah jam itu, Encik Pritam menyentuh pelbagai topik, termasuk strategi pilihan raya WP, dan persilangan isu kaum, agama dan politik.
Ditanya oleh Encik Khairy sama ada beliau bercita-cita untuk menjadi perdana menteri, Encik Pritam menjawab tidak.
Encik Khairy juga bertanya sama ada terdapat "kekurangan cita-cita" daripada WP dan jika ia sepatutnya beralih daripada matlamat memenangi satu pertiga kerusi di parlimen, di mana Encik Pritam berkata pengundi Singapura tidak mencari perubahan dalam pemerintah.
"CORAK SALAH TAFSIRAN"
PAP juga mempersoalkan dakwaan Encik Pritam bahawa partinya tidak "mencari keuntungan politik berdasarkan kaum atau agama".
Ia merujuk kepada interaksi WP dengan Encik Noor Deros, seorang guru agama di Malaysia yang dikenali dengan "pandangan yang bercanggah dengan komitmen Singapura terhadap berbilang kaum dan keharmonian agama".
Menjelang pilihan raya, guru agama tersebut, yang merupakan warga Singapura, menerbitkan senarai tuntutan untuk ahli politik Singapura dan mendakwa sudah bertemu dengan calon-calon Melayu WP. Beliau juga menyeru pengikutnya untuk mengundi calon-calon WP, seperti Encik Faisal Manap, yang bertanding di GRC Tampines.
"Walaupun terdapat kepentingan awam, WP tidak menjelaskan apa yang berlaku dalam pertemuan itu, atau mengapa Encik Deros kemudian menzahirkan sokongan terang-terangan kepada calon-calon WP semasa GE2025," menurut PAP.
Selain itu, ia menyatakan calon WP GRC Punggol Harpreet Singh membuat "kenyataan mengelirukan mengenai pendirian PAP mengenai perdana menteri minoriti".
Dakwaan itu kemudiannya dibuktikan palsu dengan rekod awam pemimpin PAP yang bercakap mengenai isu tersebut, termasuk Perdana Menteri Lawrence Wong, Menteri Kanan Lee Hsien Loong dan Menteri Penyelaras Keselamatan Negara K Shanmugam, tambah PAP.
"Corak salah tafsiran ini membimbangkan," menurut PAP.
Ia juga memetik sokongan calon-calon WP oleh ahli politik Malaysia dari Parti Islam Se-Malaysia (PAS) di media sosial semasa pilihan raya.
"Mesej mereka mengandungi unsur-unsur perkauman dan agama, yang direka untuk menggalak segmen pengundi Singapura untuk mengundi mengikut kaum dan agama," katanya.
"POLITIK HARUS HENTI DI SEMPADAN"
PAP menyatakan bahawa Encik Pritam tetap berdiam diri sehingga pemerintah Singapura "mengecam tindakan campur tangan asing yang terang-terangan ini".
"Sekalipun demikian, respons beliau meninggalkan banyak persoalan kritikal yang tidak terjawab," tambah parti itu.
Encik Pritam memberitahu wartawan semasa kempen pilihan raya bahawa seorang anggota masyarakat Muslim di sebuah masjid Aljunied meminta untuk bercakap dengan Encik Faisal dan anggota Melayu WP. "Tidak ada petunjuk bahawa individu ini akan menyertai pertemuan itu," kata Encik Pritam ketika itu.
Beliau juga berkata WP tidak bersetuju dengan sebarang tuntutan yang dibuat oleh Encik Noor.
Namun PAP menyatakan dalam kenyataannya bahawa rakyat Singapura harus mempersoalkan ketekalan ketua WP itu: "Adakah Encik Pritam benar-benar berpegang pada prinsip yang sudah dinyatakannya? Atau adakah ia hanya diguna pakai apabila sesuai? Adakah beliau percaya pelibatan asing boleh diterima apabila ia memberi manfaat kepada partinya?"
Parti itu menyatakan bahawa walaupun Singapura dan Malaysia berkongsi hubungan rapat, mereka sudah lama menahan diri daripada mengulas mengenai politik masing-masing dan daripada menggunakan media masing-masing untuk mempengaruhi pendapat umum, terutamanya selepas rusuhan kaum pada tahun 1960-an.
Pemahaman ini memberi manfaat kepada kedua-dua negara, dan mengekalkannya memerlukan "pemimpin politik yang berintegriti yang mengutamakan kepentingan negara berbanding keuntungan partisan," tambah PAP.
"Sebagai sebuah negara berdaulat, kita mesti jelas: Politik harus berhenti di garis sempadan," katanya. "Hal ehwal Singapura adalah untuk rakyat Singapura tentukan, berdasarkan apa yang terbaik untuk kepentingan negara kita."
Mediacorp sudah menghubungi WP untuk mendapatkan komen.
"TIADA KESAN BURUK"
Sebagai respons, WP menyatakan bahawa penampilan Encik Singh dalam podcast tersebut “tidak memberi kesan buruk sama sekali kepada kepentingan nasional Singapura”.
Dalam satu kenyataan berjudul "PAP menentang hanya untuk menentang; podcast LO tidak memberi kesan kepada kepentingan nasional Singapura", yang diterbitkan di platform media sosialnya, WP menyatakan bahawa penerimaan umum di Singapura berhubung podcast tersebut adalah positif.
“Ia menunjukkan bagaimana seorang ahli politik bukan pemerintah Singapura boleh bercakap dengan adil dan jujur tentang Singapura dan pemerintah Singapura, tanpa mengecam mana-mana pihak. Perkara ini terus diterima baik oleh ramai rakyat Singapura,” menurutnya.
WP juga menyatakan bahawa Ketua Pembangkang bukan ahli eksekutif, dan “tiada konvensyen undang-undang yang dimaklumkan kepadanya yang mengehadkan kebebasan bersuara beliau, sama ada di dalam atau luar negara”.
“Sekiranya terdapat garis panduan sedemikian, ia harus dimaklumkan,” katanya.
WP turut menyatakan bahawa pemimpin PAP secara rutin mengadakan temu bual dan berkongsi pandangan mereka mengenai hal ehwal domestik kepada media asing.
“BANYAK SOALAN PENTING KEKAL TIDAK DIJAWAB"
Menjawab kenyataan WP, PAP menyatakan bahawa meskipun menteri-menteri memang berinteraksi dengan media asing, mereka membincangkan pelbagai topik, "sama ada mengenai hal ehwal antarabangsa dan serantau atau isu domestik".
"Apa yang luar biasa di sini ialah Ketua Pembangkang memberikan wawancara mendalam pertamanya mengenai GE2025 kepada hos podcast Malaysia – dan perbincangan itu hampir keseluruhannya tertumpu kepada politik dalaman Singapura," menurut PAP dalam satu kenyataan pada Khamis petang.
PAP menambah bahawa Encik Pritam pernah menolak jemputan daripada hos podcast Singapura.
"WP juga terus mengetepikan kebimbangan serius mengenai pelibatannya dengan Noor Deros, serta sokongan awam yang dibuat oleh ahli politik Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dalam menyokong calon-calonnya," tambah PAP.
PAP menegaskan bahawa soalan-soalan yang dibangkitkannya dalam kedua-dua kenyataan mereka dan rencana di Petir bukanlah perkara remeh.
"Ia menyentuh inti pati dalam mengekalkan batasan yang jelas terhadap pelibatan asing dalam hal ehwal domestik kita," tambahnya.
"Banyak persoalan penting yang dibangkitkan kekal tidak terjawab," tambah PAP.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.