PAP perlu mandat kukuh untuk perintah dengan tegas, seperti ketika COVID-19: PM Lee
Sama ada pengundi memberikan mandat yang kukuh atau tidak kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP), membuat perbezaan besar, kata Setiausaha Agung parti itu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (6 Nov).
SINGAPURA: Sama ada pengundi memberikan mandat yang kukuh atau tidak kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP), membuat perbezaan besar, kata Setiausaha Agung parti itu, Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (6 Nov).
Dengan mandat yang kukuh, Pemerintah boleh bertindak dengan lebih tegas, katanya.
"Semasa keadaan stabil, ini membolehkan Pemerintah untuk melaksanakan langkah-langkah yang mungkin memerlukan pengorbanan tetapi ia akan meningkatkan taraf hidup penduduk dalam jangka panjang.
"Dan ketika masa-masa mencabar, Pemerintah akan mempunyai keyakinan dan sokongan untuk membuat keputusan sukar dan membawa Singapura dengan selamat melalui detik-detik susah dan senang."
Encik Lee berucap di persidangan PAP di Pusat Konvensyen Resorts World Sentosa di mana para anggota Parti bersidang untuk melantik jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti itu - iaitu badan pembuat keputusan tertinggi parti tersebut.
Beliau menarik perhatian langkah-langkah yang perlu dilaksanakan semasa pandemik COVID-19, seperti langkah pemutus rantaian jangkitan sebagai antara contoh sedemikian.
"Bayangkan jika pada 2020, PAP menang tipis, 51-49, kami tetap membentuk pemerintah (dan) kami tetap mentadbir Singapura sebaik mungkin tetapi kami akan kehilangan ramai Anggota Parlimen (MP) dan menteri yang berkebolehan.
"Pasukan kepimpinan kami akan bertambah lemah."
Encik Lee menambah bahawa dengan setiap pilihan raya, pertaruhan semakin sengit.
"Setiap kali PAP kembali memerintah, setiap tahun PAP memastikan Singapura ditadbir dengan baik, sisi bahaya itu semakin berkurangan.
"Pada masa yang sama, semakin banyak kawasan undi yang dipertandingkan, semakin banyak kerusi yang dimenangi pihak pembangkang, Pilihan Raya akan semakin menjadi penentu bagi parti yang mana akan membentuk Pemerintah Singapura seterusnya," katanya.
Atas sebab itu PAP perlu terus menjadi pilihan jelas pengundi, kata Encik Lee.
Bagi memastikan ia berlaku, katanya, anggota parti mesti menyampaikan mesej politik dengan jelas tentang erti sesuatu dasar kepada rakyat Singapura apabila mereka melakarkan dan melaksanakan dasar-dasar tersebut.
Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong yang juga berucap di persidangan itu, berkata bahawa meraih kepercayaan dan sokongan rakyat Singapura adalah satu tugas bukanhanya dipikul pegawai Pemerintah tetapi juga Anggota Parlimen serta aktivis parti.
Sambil menarik perhatian bahawa rakyat Singapura, terutama sekali golongan muda mendapatkan berita dan pandangan secara online, Encik Wong berkata parti itu perlu terus mendampingi rakyat Singapura di mana sahaja mereka berada.
Beliau juga menarik perhatian bahawa pengguna wadah online semakin berubah dan setiap generasi menggunakan wadah yang berbeza.
"Jadi kita perlu mempunyai aktivis daripada setiap generasi, dan kita harus aktif menggunakan setiap wadah ini untuk memenangi hati dan minda semua orang."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.