Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PAP perkenalkan kumpulan ketiga calon Pilihan Raya termasuk mantan ketua eksekutif IMDA

Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Khamis (25 Jun) dengan rasminya memperkenalkan empat lagi calon untuk Pilihan Raya Umum (GE) pada 10 Julai.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 25 Jun 2020 12:41PM Dikemas Kini : 25 Jun 2020 08:59PM

SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Khamis (25 Jun) dengan rasminya memperkenalkan empat lagi calon untuk Pilihan Raya Umum (GE) pada 10 Julai.

Mereka adalah: mantan ketua eksekutif Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) Tan Kiat How, mantan ketua pegawai eksekutif IHH Healthcare Tan See Leng, peguam Zhulkarnain Abdul Rahim dan mantan pegawai perkhidmatan awam Ng Ling Ling.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Heng Swee Keat, yang juga penolong setiausaha agung pertama PAP, memperkenalkan keempat-empat calon tersebut di sidang media yang diadakan pagi tadi (25 Jun).

PAP sudah memperkenalkan 12 calon setakat ini, tetapi belum mengesahkan di mana mereka akan bertanding.

TAN KIAT HOW

Encik Tan Kiat How, 42 tahun, melepaskan jawatan sebagai ketua eksekutif IMDA pada 20 Jun. Beliau juga sebahagian daripada pasukan yang menubuhkan Pejabat Generasi Perintis, yang kini dikenali sebagai Pejabat Generasi Warga Emas.

Encik Tan meninggalkan IMDA setelah lebih tiga tahun berkhidmat sebagai ketua eksekutifnya dan berkata ketika itu bahawa beliau dan isterinya bakal menimang cahaya mata mereka yang pertama pada Ogos.

Beliau dilantik sebagai ketua eksekutif IMDA pada Januari 2017 untuk menerajui penggabungan Penguasa Pembangunan Infokom (IDA) dan Penguasa Pembangunan Media (MDA) ketika itu untuk membentuk IMDA.

Encik Tan menubuhkan Pejabat Digital Singapura (SG Digital Office) di bawah IMDA. Sepanjang tempoh khidmatnya di IMDA, beliau juga mempertingkatkan program-program untuk memastikan keluarga-keluarga berpendapatan rendah dapat mengakses peranti digital, terutama semasa tempoh COVID-19, menurut Kementerian Perhubungan dan Penerangan (MCI) semasa mengumumkan pengundurannya.

"Berdasarkan pengalaman saya, inilah perkara penting, iaitu memberikan tumpuan untuk menyelesaikan sesuatu, membawa perubahan kepada kehidupan orang lain. Dan cara yang paling berkesan adalah dengan menggembleng masyarakat untuk membantu antara satu sama lain.

"Sekiranya saya berpeluang untuk berkhidmat sebagai AP, inilah yang ingin saya lakukan, membina rangkaian masyarakat yang kukuh yang saling melengkapi usaha peringkat nasional untuk meningkatkan taraf kehidupan masyarakat kita."

TAN SEE LENG

Dr Tan See Leng, 55, melepaskan jawatan sebagai pengarah urusan dan ketua pegawai eksekutif IHH Healthcare pada 31 Disember 2019, setelah kontraknya tamat. Beliau menyandang jawatan itu sejak Januari 2014. Kumpulan kesihatan itu disenaraikan dalam bursa Singapura dan Malaysia dan adalah antara yang terbesar di dunia.

Anak syarikatnya, Parkway Pantai, mempunyai rangkaian 28 hospital di merata Asia, termasuk Hospital Mount Elizabeth, Hospital Mount Elizabeth Novena, Hospital Gleneagles dan Hospital Parkway East di Singapura.

Dr Tan, yang sudah berumah tangga dengan tiga orang anak dan berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri jagaan kesihatan berkata Menteri Kanan Emeritus Goh Chok Tong adalah mentornya sejak dua tahun lalu.

Beliau turut mendedahkan bahawa penduduk Singapura yang semakin menua menjadi keprihatinan beliau dan rakan-rakannya.

ZHULKARNAIN ABDUL RAHIM

Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, 39, adalah peguam dan rakan kongsi dalam firma guaman Dentons Rodyk & Davidson.

Zhulkarnain Abdul Rahim (Gambar: PAP)

Zhulkarnain Abdul Rahim (Gambar: PAP)

Sudah berumah tangga dengan tiga orang anak yang berusia 11 tahun, lapan tahun dan enam tahun, Encik Zhulkarnain adalah pemegang ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Nasional Singapura (NUS) dan ijazah sarjana dalam bidang perundangan dan kewangan Islam dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

Sebagai sebahagian daripada pelibatannya dalam membantu golongan kurang bernasib baik di Singapura, beliau sudah menawarkan khidmat guaman secara percuma dan melakukan kerja pro bono sebagai peguam yang ditugaskan oleh Biro Bantuan Guaman sejak 10 tahun lalu.

Beliau juga giat melakukan kerja-kerja sukarela bersama pertubuhan-pertubuhan termasuk Rumah Wanita Casa Raudha, iaitu tempat perlindungan bagi wanita dan kanak-kanak yang menjadi mangsa keganasan rumah tangga dan sebelum ini beliau juga pernah berkhidmat sebagai pengerusi badan bantu diri AMP Singapore.

Menurut Encik Zhulkarnain, beliau sangat prihatin terhadap isu-isu berkaitan dengan mobiliti sosial dan perpaduan sosial, sambil menyifatkannya sebagai "isu-isu yang akan membantu membentuk masa depan Singapura dan bagi anak-anak kita dan generasi seterusnya".

"Saya rasa sekarang ini adalah masa yang sangat penting, pilihan raya ini penting bagi kita. Itulah sebabnya saya tampil, kerana saya merasakan bahawa kita perlu melakukan sesuatu untuk membentuk kontrak sosial dan perpaduan sosial kita, bukan hanya untuk lima tahun akan datang. Bukan setakat itu saja, tetapi lebih dari itu. "

NG LING LING

Cik Ng Ling Ling, 48, adalah mantan ketua rawatan asas dan pengarah pendampingan masyarakat di Pejabat Transformasi Jagaan Kesihatan, Kementerian Kesihatan (MOH).

Ibu kepada seorang anak itu memiliki ijazah sarjana muda dalam bidang perakaunan dari Universiti Teknologi Nanyang (NTU) dan juga ijazah sarjana dalam bidang pentadbiran awam dari Universiti Nasional Australia.

Setelah enam tahun bertugas dalam bidang perbankan, Cik Ng beralih ke sektor khidmat sosial dan awam, berkhidmat sebagai pengarah urusan Dana Masyarakat selama lima tahun.

"Penduduk Singapura sedang menua dengan pantas, ia akan menjejas kedua-dua golongan warga tua dan muda. Bagi warga emas, saya berharap untuk memperjuangkan lebih banyak cara untuk memperkasakan warga senja untuk memahami kesihatan mereka dan agar mereka dapat hidup dengan sihat untuk jangka yang lebih panjang.

"Bagi keluarga muda yang harus menjaga anak-anak dan ibu bapa mereka yang sudah lanjut usia, saya bersimpati dengan tekanan yang akan mereka hadapi dan saya berharap untuk mencari jalan yang dapat menolong mereka menjaga keluarga mereka."


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan