Skip to main content

Singapura

PAP perkenal 3 muka baru di GRC Sengkang

Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Ahad (27 Mac) melantik tiga pengerusi cawangan baru di GRC Sengkang.

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 27 Mar 2022 02:10PM Dikemas Kini : 27 Mar 2022 08:48PM

SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) pada Ahad (27 Mac) melantik tiga pengerusi cawangan baru di GRC Sengkang.

Profesor Madya Elmie Nekmat akan mempengerusikan Sengkang Central, Cik Theodora Lai Xi Yi akan mengambil alih Sengkang North dan Encik Ling Weihong akan menerajui Sengkang East.

Dr Lam Pin Min akan kekal sebagai pengerusi cawangan Sengkang West dan akan memimpin pasukan PAP di kawasan undi itu.

Demikian menurut parti itu dalam satu kenyataan.

Dr Lam adalah sebahagian daripada pasukan PAP bagi GRC Sengkang semasa Pilihan Raya Umum 2020.

Anggota-anggota lain termasuk Encik Ng Chee Meng, Encik Amrin Amin dan Encik Raymond Lye Hoong Yip.

GRC Sengkang dimenangi oleh pasukan Parti Pekerja terdiri daripada Cik He Ting Ru, Encik Jamus Lim, Encik Louis Chua and Cik Raeesah Khan.

Dengan pelantikan pengerusi cawangan baru itu, Encik Ng akan berkhidmat sebagai penasihat kepada pasukan PAP GRC Sengkang manakala Encik Amrin dan Encik Lye "akan membantu dalam peralihan bagi pasukan PAP Sengkang untuk terus berkhidmat kepada penduduk Sengkang," menurut parti itu.

Tiga muka baru PAP di Sengkang itu mempunyai latar belakang dari bidang akademik, teknologi dan undang-undang.

Prof Madya Elmie ialah profesor madya perhubungan dan media baru serta penolong dekan penyelidikan di Fakulti Sastera dan Sains Sosial di Universiti Nasional Singapura.

Beliau telah menjadi aktivis parti sejak 2016 dan juga berkhidmat sebagai anggota lembaga Majlis Sukan Singapura, ahli majlis Politeknik Ngee Ann dan kaunselor daerah bagi Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central.

Cik Lai ialah ketua pegawai strategi portal makanan Burpple, dan menjadi aktivis parti sejak 2009.

Beliau juga ialah kaunselor daerah CDC Timur Laut.

Encik Ling pula ialah seorang peguam dalam firma guaman swasta dan telah menjadi aktivis parti sejak 2015.

Beliau juga menggalas tanggungjawab sebagai penilai bagi Akta COVID-19 (Langkah-Langkah Sementara) dari April hingga Oktober 2020 dan merupakan bekas sukarelawan Skim Bantuan Guaman Jenayah.

Sumber : CNA/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita