Skip to main content

Singapura

PAP mesti sesuaikan diri ikut keperluan masyarakat; SG harungi 'dunia jauh lebih berbahaya': PM Wong

Anggaran Waktu Membaca:
PAP mesti sesuaikan diri ikut keperluan masyarakat; SG harungi 'dunia jauh lebih berbahaya': PM Wong

Perdana Menteri Lawrence Wong, Menteri Kanan Lee Hsien Loong serta hadirin bergambar di persidangan dua tahun sekali PAP pada Ahad (24 Nov). (Gambar: Wallace Woon/CNA)

Diterbitkan : 24 Nov 2024 03:54PM Dikemas Kini : 24 Nov 2024 04:12PM
SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) mesti menyesuaikan diri mengikut keperluan masyarakat Singapura yang sentiasa berubah.

Ini perlu dilakukan sedang negara ini mengharungi keadaan sejagat "yang jauh lebih berbahaya".

Demikian menurut Timbalan Setiausaha Agung Lawrence Wong pada Ahad (24 Nov).
Berucap di persidangan dua tahun sekali PAP itu, beliau berkata bahawa selepas pandemik COVID-19 melanda, cabaran seterusnya bagi parti tersebut adalah dalam memperbaharui kompak sosial, menyuntik kesegaran dalam impian Singapura dan memberi jaminan kepada rakyat Singapura mengenai "masa hadapan yang lebih cerah".

PAP sudah lama menyokong prinsip masyarakat yang adil bagi semua, dan kepercayaan bahawa setiap rakyat Singapura berhak mendapat peluang yang saksama dalam hidup, tambah Encik Wong, yang juga merupakan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

Setiap rakyat Singapura harus "diberi ganjaran" yang setimpal dengan usaha mereka, mempunyai peluang yang setara untuk berjaya dan mampu merealisasikan potensi mereka sepenuhnya.

Encik Wong berkata sistem "tulus dan jujur" Singapura berfungsi kerana kerjasama tiga pihak yang kukuh antara kesatuan, majikan dan pemerintah, dengan disokong oleh hubungan simbiotik antara PAP dan Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), katanya.

Nilai teras dan asas ini "tidak akan pernah berubah", tetapi PAP perlu menyesuaikan diri dengan keadaan baharu dan keperluan masyarakat yang sentiasa berubah.

"Itulah sebabnya kami memulakan Melakar Hala Tuju Singapura - untuk mengkaji semula dasar kami, untuk menetapkan semula sikap dan pemikiran kami, supaya kami boleh terus berkhidmat kepada setiap rakyat Singapura, tanpa mengira latar belakang, kepentingan dalam kemajuan negara kami."
Perdana Menteri Lawrence Wong berucap di persidangan dua tahun sekali PAP itu. (Gambar: Wallace Woon/CNA)
CABARAN SEJAGAT

Selain landskap tempatan, Encik Wong juga menyentuh tentang cabaran sejagat, dengan merujuk kepada perang besar yang kian meruncing di Eropah dan Timur Tengah, serta hubungan antara Amerika Syarikat dan China yang berada di "tahap yang lebih mencabar".

"Ini adalah realiti dunia hari ini dan dinamik itu akan bersama kita untuk sekian lama; kita tidak bercakap tentang satu atau dua tahun dan kemudian keadaan akan bertambah baik, saya fikir kita perlu bergelut dengan perkara ini mungkin untuk beberapa dekad lagi atau seterusnya," katanya, sambil menambah bahawa Singapura akan mendapati lebih sukar untuk mencari pendapatan dan memastikan negara ini selamat.

Rakyat Singapura akan mempunyai pandangan yang berbeza mengenai perkembangan global, tetapi mesti mempertimbangkan kepentingan negara yang lebih besar dan mengambil pendirian bersatu padu, kata PM Wong.

"Sudah menjadi perkara yang sukar untuk menjadi sebuah negara kecil dengan suara kita didengari. Ia akan menjadi lebih sukar jika suara kita berpecah-belah dan tidak koheren."

Dengan bercakap dengan satu suara di pentas dunia, Singapura akan dihargai sebagai sebuah negara yang selamat, terjamin, stabil dan boleh dipercayai dalam dunia yang tidak menentu, tambahnya.
Sumber : CNA/SS/ss
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita