PAP mesti penuhi hasrat berbahas; persoal dasar semasa, kata PM Lee
Parti Tindakan Rakyat (PAP) mesti penuhi hasrat generasi baru pengundi untuk menyaksikan lebih banyak perbahasan, lebih banyak persaingan dan lebih banyak persoalan tentang idea-idea sedia ada, kata Perdana Menteri merangkap Setiausaha Agung PAP Lee Hsien Loong hari ini (28 Nov).
SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) mesti penuhi hasrat generasi baru pengundi untuk menyaksikan lebih banyak perbahasan, lebih banyak persaingan dan lebih banyak persoalan tentang idea-idea sedia ada, kata Perdana Menteri merangkap Setiausaha Agung PAP Lee Hsien Loong hari ini (28 Nov).
Berucap di Konvensyen PAP 2021, PM Lee menyampaikan ucapan kepada lebih 2,000 aktivis parti, sebahagiannya menerusi online dengan yang lain hadir di Pusat Konvensyen Suntec.
Parti mesti menunjukkan kepada rakyat Singapura bahawa ia tidak takut terhadap pandangan bertentangan atau dipersoal malah ia menggalak wacana sihat, kata PM Lee.
"Kita mengalu-alukan idea-idea yang baik, daripada sesiapa pun dan yang penting juga, kita mendengar dengan teliti pandangan dan keprihatinan rakyat Singapura," kata beliau.
Inilah sebabnya pemerintah melancarkan Perbualan tentang Perkembangan Wanita Singapura dan menubuhkan Pasukan Bertindak Bangkit Lebih Kukuh, kata PM Lee.
Ia baru-baru ini juga membenarkan para jururawat di hospital awam untuk memakai tudung, selepas perundingan dan pertimbangan meluas sepanjang beberapa tahun.
"Matlamat kita adalah untuk menyatukan orang ramai, memahami masalah mereka dan kekal terhubung demi membentuk bersama huraian yang sesuai dan membina masa depan Singapura."
Tetapi wacana politik bukan setakat menerima atau menguar-uarkan idea-idea baik dan para pemimpin perlu "membantah pandangan salah", kata PM Lee.
Itulah semangat perbahasan baru-baru ini di parlimen tentang pekerja-pekerja hijrahan dan Perjanjian Ekonomi Menyeluruh India-Singapura atau CECA.
"Kita seharusnya mendedahkan mereka yang atas sebab dan tujuan politik sendiri, cuba memanfaatkan isu-isu untuk mengelirukan orang ramai dan membuat mereka berasa tidak puas hati."
INTEGRITI DAN KEJUJURAN
PM Lee juga mengingatkan para aktivis PAP tentang penekanan parti itu terhadap nilai integriti dan kejujuran.
"Sekiranya ahli-ahli politik mudah disogok atau tidak jujur...para pengundi tidak akan mempercayai tujuan mereka, tidak boleh mempercayai bulat-bulat apa yang dikatakan, orang ramai akan menjadi hampa dan sinis," kata beliau.
"Mereka akan hilang kepercayaan bukan sahaja ke atas para pemimpin ataupun parti-parti politik tetapi sistem politik secara keseluruhannya."
Terdapat banyak sangat contoh di mana kepercayaan semakin terhakis di merata dunia, kata beliau.
"Di Singapura, orang ramai boleh menjangkakan AP dan pemimpin politik bersih, tiada cacat celah dalam tingkah laku peribadi mereka, betul-betul bercakap benar, di parlimen atau di luar parlimen," tambah beliau.
PAP mendukung "piawaian ketat" dan sesiapa sahaja yang berkelakuan salah akan dikenakan tindakan disiplin dan sekiranya seseorang tersalah cakap, parti akan berkeras agar beliau "membetulkannya".
"Ketegasan PAP membentuk sekitaran politik Singapura. Dan para pengundi seharusnya mengenakan piawaian sama integriti dan kejujuran kepada setiap kumpulan dan setiap individu yang menyertai politik dan kehidupan awam, tidak kita dari pihak yang mana," kata PM Lee.
"Jika tidak, kita memberi isyarat bahawa kita bersedia untuk merendahkan piawaian dan ini lambat-laun akan merendahkan sistem kita."
POLITIK BERTERUSAN MESKI WAKTU PANDEMIK
PM Lee berkata untuk kekal sebagai masyarakat amat dipercayai, Singapura mesti berpolitik dengan betul agar sistem itu boleh membuahkan hasil untuk rakyat Singapura.
"Politik adalah mengenai kehidupan orang ramai dan masa hadapan dan ia berterusan meskipun sewaktu pandemik. Kita perlu terus menangani keprihatinan orang ramai dan berusaha mencapai cita-cita kita ke arah masyarakat saksama dan inklusif."
Pemerintah Singapura "meneruskan" dengan sasaran penting sedang ia menangani pandemik, kata beliau. Menyenaraikan inisiatif-inisiatif yang dilancarkan baru-baru ini, PM Lee berkata ia sedang memperbaiki mobiliti sosial dan "menggandakan usaha" memperkukuh perpaduan sosial.
Ini termasuk inisiatif-inisiatif untuk memperkasa kanak-kanak daripada keluarga-keluarga berpendapatan rendah dan memastikan peluang saksama di tempat kerja menerusi undang-undang antidiskriminasi.
"Ini adalah usaha jangka panjang dan hasilnya akan mengambil masa, tetapi kita sedang bergerak ke arah yang betul dan kita sedang mencatat kemajuan," kata beliau.
Ia juga tidak cukup sekadar mempunyai dasar-dasar yang baik, pemerintah juga mesti membantu orang ramai menghargai bagaimana dasar-dasar itu boleh membawa kesan ke dalam kehipudan mereka, tambahnya.
"Kita mesti menggerakkan semua orang demi merealisasikan visi bersama untuk Singapura. Kita perlu membantu rakyat Singapura untuk melihat ketersambungan politik: Kesemua perkara baik ini - mobiliti sosial, pekerjaan lebih baik dan kehidupan lebih baik - tidak berlaku begitu sahaja," kata beliau. "Di banyak negara lain, ia tidak berlaku langsung.
"Jika anda mahu terus menikmati hasil yang baik di Singapura, kita perlu memastikan politik kita betul, anda perlu menyokong pemerintah PAP dan kita mesti bekerjasama untuk membina negara yang kita idamkan."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.