PAP lantik pengerusi baharu cawangan Sengkang East; rombakan kedua dalam kurang 2 tahun
Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah pada Khamis (23 Jan) telah melantik seorang pengerusi cawangan baharu bagi GRC Sengkang, yang merupakan kawasan undi parti pembangkang.

Marcus Loh dan Bernadette Giam. (Gambar: PAP)
Ia merupakan rombakan kedua dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Cik Bernadette Giam akan menggantikan Encik Marcus Loh sebagai pengerusi cawangan PAP di Sengkang East.
Dalam satu kenyataan media, PAP menyatakan Encik Loh akan "bantu memastikan proses peralihan berjalan lancar" dan mengucapkan terima kasih kepadanya atas khidmatnya kepada Sengkang East sedang "beliau terus berkhidmat dalam bidang lain di PAP".
Dalam satu catatan Facebook yang dimuat naik pada masa yang sama dengan kenyataan media itu, Encik Loh berkata beliau telah memohon untuk mengundurkan diri.
"Peranan ini melibatkan tanggungjawab berat, dan saya telah membuat keputusan sukar untuk berundur demi memberi tumpuan untuk memastikan kebajikan keluarga saya," kata Encik Loh.
"Saya berterima kasih kepada Bernadette kerana beliau tampil ke hadapan dan saya yakin dengan kepimpinannya."
GRC Sengkang merupakan kawasan undi baharu yang dibentuk menjelang Pilihan Raya Umum 2020 dan ia kini di bawah pimpinan Parti Pekerja.
Cik Giam merupakan individu ketiga yang dipilih oleh PAP untuk menerajui cawangan PAP di Sengkang East dalam tempoh kurang tiga tahun.
Pada Mac 2022, peguam Ling Weihong diumumkan sebagai pengerusi cawangan.
Beliau digantikan oleh Encik Loh pada November 2023, yang memegang jawatan itu selama 14 bulan sebelum digantikan oleh Cik Giam.
Rombakan itu berlaku sehari selepas Jawatankuasa Semakan Sempadan Kawasan Undi (EBRC) ditubuhkan, iaitu langkah penting menjelang Pilihan Raya Umum seterusnya yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada November ini.
Pengerusi cawangan PAP bagi Sengkang West Lam Pin Min memuji Encik Loh atas sumbangannya sebagai seorang anggota pasukan yang "tidak ternilai".
"Kami maklum sebagai pengerusi cawangan ia menuntut banyak masa dan komitmen dan kadangkala ia menimbulkan beban ketara pada kehidupan kita dan kami memahami dan menghormati permohonan Marcus untuk berundur daripada peranannya sebagai pengerusi cawangan," kata Dr Lam dalam satu catatan Facebook.
"Kami benar-benar berterima kasih kepada Marcus atas dedikasi dan kerja kerasnya."
Dalam catatan bio yang disediakan oleh PAP, parti itu menarik perhatian kepada "penglibatan Cik Giam dalam kerja-kerja kemasyarakatan selama beberapa tahun", dan bagaimana beliau "memperjuangkan pemerkasaan kaum wanita menerusi inisiatif masyarakat yang menyasarkan sokongan bagi wanita muda yang bekerja".
Cik Giam kini seorang pengarah di Creative Eateries, sebuah perniagaan makanan dan minuman tempatan.
Beliau bergiat dalam Women's Register of the Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO) dari 2016 hingga 2022.
Beliau juga anggota Jawatankuasa Penasihat Pengurusan Perniagaan Politeknik Nanyang (NYP) sejak 2016 dan merupakan anggota Persatuan Alumni di Convent of the Holy Infant Jesus (CHIJ).
"Saya yakin Bernadette adalah anggota hebat kepada pasukan saya dan saya tentu sekali mengalu-alukan sumbangannya kepada misi berkhidmat sepenuh hati kepada penduduk GRC Sengkang," kata Dr Lam.
Apabila ditanya mengenai rancangan PAP bagi Encik Loh, PAP meminta Mediacorp supaya merujuk kepada catatan Facebook Encik Loh dan Dr Lam.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.