Skip to main content

Singapura

PAP kata ia 'kecewa' dengan SDP mengenai kepalsuan penduduk 10 juta

Parti Tindakan Rakyat (PAP) menyatakan pada Jumaat (3 Jul) bahawa ia 'kecewa' dengan Parti Demokratik Singapura (SDP) dan ketuanya Chee Soon Juan kerana mengulangi dakwaan bahawa Pemerintah mahu menaikkan jumlah penduduk Singapura kepada 10 juta orang.

Anggaran Waktu Membaca:
PAP kata ia 'kecewa' dengan SDP mengenai kepalsuan penduduk 10 juta

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 04 Jul 2020 10:43AM Dikemas Kini : 04 Jul 2020 10:47AM

SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) menyatakan pada Jumaat (3 Jul) bahawa ia 'kecewa' dengan Parti Demokratik Singapura (SDP) dan ketuanya Chee Soon Juan kerana mengulangi dakwaan bahawa Pemerintah mahu menaikkan jumlah penduduk Singapura kepada 10 juta orang.

Dakwaan itu menjadi salah satu tunggak kempen 4Y1N (Empat Ya Satu Tidak) SDP dalam pilihan raya ini, dengan "Satu Tidak" itu merujuk kepada jumlah penduduk seramai 10 juta.

Divisyen Penduduk dan Bakat Nasional (NPTD) dan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat menyangkal dakwaan bahawa Pemerintah pernah mempunyai rancangan itu. Ini diisytiharkan oleh SDP dalam satu kenyataan pada Khamis (2 Jul) sebagai satu "kemenangan".

PAP menyatakan pada Jumaat bahawa ia berasa kecewa kerana Dr Chee dan SDP mengulangi kenyataan palsu mereka dan enggan meminta maaf kerana mengelirukan rakyat Singapura.

"Kecewa namun tidak terkejut, kerana kami tahu Dr Chee tidak berubah, tidak boleh berubah, dan tidak akan berubah," menurut PAP dalam satu kenyataan media.

Parti penyandang itu juga menyatakan ia terkejut dan kecewa bahawa pengerusi SDP Paul Tambyah turut menyertai ketuanya dalam "teka-teki" itu.

"Kami fikir beliau orang yang lebih baik," menurut PAP.

Pertikaman lidah antara PAP dengan SDP bermula pada Rabu (1 Jul) semasa satu perbahasan secara langsung apabila Dr Chee mendakwa Encik Heng "menimbangkan idea" untuk menambah jumlah penduduk Singapura kepada 10 juta, meskipun NPTD menyangkal dakwaan itu pada awal hari tersebut.

Selepas debat tersebut, Dr Chee mengulangi dakwaan dalam catatan Facebook yang menukil satu laporan Straits Times mengenai dialog Encik Heng bersama para mahasiswa Universiti Teknologi Nanyang pada Mac tahun lalu.

Encik Heng dan PAP kemudian menjelaskan bahawa beliau merujuk kepada komen yang dibuat oleh bekas ketua mantan perancang bandar Liu Thai Kher bahawa Singapura patut menyasarkan jumlah penduduk lebih tinggi daripada 6.9 juta.

IDEA 10 JUTA BUKAN DARI SDP, MENURUT PARTI

Kedua-dua Encik Heng dan PAP menuduh SDP cuba "menakut-nakutkan" rakyat mengenai isu jumlah penduduk 10 juta, denagn PAP menyifatkan kempen SDP sebagai "sia-sia".

Namun SDP pada Jumaat, menolak tuduhan itu dengan mandakwa idea tentang Singapura meningkatkan jumlah penduduknya kepada 10 juta bukan berasal daripada SDP.

"Kami menukil laporan Straits Times yang menyatakan Encik Heng Swee Keat menukil Encik Liu Thai Ker dan ideanya tentang 10 juta penduduk di Singapura," menurut parti itu dalam satu kenyataan media.

"Adakah Encik Heng menyangkal dan membetulkan laporan itu ketika ia diteribitkan? Jika tidak, beliau tidak boleh menuduh SDP membuat dakwaan palsu sekarang."

SDP menukil ketua eksekutif Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) Cheong Koon Hean sebagai berkata bahawa kepadatan penduduk Singapura akan meningkat dari 11,000 penduduk bagi satu meter persegi kepada 13,700 penduduk bagi satu meter persegi antara sekarang dengan 2030.

Ia juga menukil bekas ketua ekonomi GIC dan profesor adjung di Sekolah Dasar Awam Lee Kuan Yew Yeoh Lam Keong yang berkata dalam sebuah catatan Facebook bahawa, berdasarkan rencana Straits Times itu, dapat dirumuskan bahawa Encik Heng "sekurang-kurangnya bersikap terbuka dan bersimpati terhadap jumlah penduduk yang akhirnya akan mencapai 10 juta di Singapura" pada 2019.

"Berdasarkan perkara di atas, ada keresahan dalam kalangan orang ramai bahawa Singapura mungkin, akan bergerak ke arah jumlah penduduk seramai 10 juta," menurut SDP.

PAP pada Jumaat juga mengecam ketua Parti Pekerja Pritam Singh, yang mempersoalkan mengapa Pemerintah tidak dapat mengatakan lebih awal bahawa jumlah penduduk Singapura akan jauh lebih rendah daripada 6.9 juta pada 2030.

"Pertanyaan Encik Singh membingungkan," menurut PAP.

"Semasa Jawatankuasa Perbekalan pada Februari 2018, Menteri Josephine Teo berkata bahawa jumlah penduduk akan lebih rendah daripada 6.9 juta pada 2030. Beliau mengulanginya semasa Jawatankausa Perbekalan pada Februari tahun ini.

"Tidakkah Ketua Pembangkang meneliti kenyataan oleh Menteri?"

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita