Skip to main content

Singapura

PAP jelaskan sebab AP WP tidak patut libatkan diri dalam hal kewangan AHTC

Para menteri dari PAP menyenaraikan sebab-sebab Encik Low Thia Khiang dan Cik Sylvia Lim sepatutnya tidak melibatkan diri dalam hal-hal kewangan berkaitan dengan Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC), semasa mengemukakan usul di Parlimen berhubung isu tersebut pada Selasa (5 Nov).

Anggaran Waktu Membaca:
PAP jelaskan sebab AP WP tidak patut libatkan diri dalam hal kewangan AHTC

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 06 Nov 2019 09:45AM Dikemas Kini : 06 Nov 2019 09:53AM

SINGAPURA: Para menteri dari Parti Tindakan Rakyat (PAP) menyenaraikan sebab-sebab Encik Low Thia Khiang dan Cik Sylvia Lim sepatutnya tidak melibatkan diri dalam hal-hal kewangan berkaitan dengan Majlis Bandaran Aljunied-Hougang (AHTC), semasa mengemukakan usul berhubung isu tersebut di Parlimen pada Selasa (5 Nov).

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat mengemukakan usul itu dan menggariskan empat isu utama dalam cara Parti Pekerja (WP) mengendalikan hal tersebut. Para menteri lain termasuk Encik Edwin Tong dan Encik Desmond Lee turut membahaskan isu itu.

Dalam ucapannya Encik Heng berkata WP melantik "rakan-rakan" mereka untuk menguruskan Majlis Bandaran itu pada kos lebih tinggi daripada pengurusan sebelumnya, menyembunyikan fakta, memutarbelitkan situasi pelantikan dan mengelirukan para anggota Majlis Bandaran mereka sendiri.

Mereka juga memberitahu orang ramai, para auditor dan Parlimen kenyataan tidak benar berhubung hal itu dan enggan menyerahkan dokumen kepada auditor yang boleh mendedahkan salah laku mereka, tambah Encik Heng.

Ini menyusuli keputusan Mahkamah Tinggi pada Oktober yang menyatakan Encik Low dan Cik Lim "bertindak secara tidak jujur dan gagal melaksanakan tanggungjawab fidusiari mereka" dalam melantik FM Solutions and Services (FMSS) sebagai ejen pengurusan AHTC.

MELANTIK RAKAN-RAKAN MEREKA

Firma perakaunan KPMG - dilantik AHTC sebagai akauntan pada 2015 atas arahan Mahkamah Rayuan - mendapati kepentingan bercanggah dalam keputusan majlis bandaran melantik FMSS dan FM Solutions and Integrated Services (FMSI), kata Encik Heng.

"Orang-orang yang membentuk FMSS dan FMSI adalah rakan-rakan Parti Pekerja - penyokong yang dipercayai dan setia. Pengarah dan pemegang hak FMSS masing-masing ialah setiausaha, pengurus besar dan timbalan pengurus besar AHTC," kata beliau.

MENYEMBUNYIKAN FAKTA, KELIRUKAN ANGGOTA MAJLIS BANDARAN

Encik Heng turut menarik perhatian bahawa WP mengelirukan anggota Majlis Bandaran mereka sendiri dengan sengaja menyembunyikan keputusan pelantikan FMSS daripada sebuah mesyuarat Majlis Bandaran.

Dengan menyerahkan kuasa kepada Cik Lim untuk "tidak memberitahu anggota Majlis Bandaran lain," mereka "menyembunyikan motif sebenar mereka" daripada anggota Majlis Bandaran lain.

Encik Edwin Tong pula berkata: "Mereka rasa perlu untuk mengelirukan rakan sekerja sendiri untuk melantik FMSS tanpa tender dan ini jelas menyatakan sesuatu."

BERCAKAP TIDAK BENAR

Dalam ucapannya, Encik Heng berkata WP memberitahu perkara tidak benar kepada orang ramai, auditor mereka dan Parlimen berhubung situasi itu.

Cik Lim meminta para pengurus FMSS untuk membersihkan laporan mengenai pelantikan syarikat itu sebaga Ejen Pengurusan supaya "boleh mendapat kelulusan auditor" kata Encik Heng.

Encik Tong berkata adalah "mengejutkan" seorang pegawai dipilih meminta laporan dibersihkan supaya diluluskan auditor.

"Kita semua sedia maklum apa maksud dibersihkan, kita semua faham apa maksud lulus di mata auditor," tambahnya.

"Jika ia laporan yang jujur dan anda tahu ia jujur, tiada apa-apa yang perlu dilakukan. Namun jelas ia bukan begitu."

WP juga mengelirukan orang ramai, kata Encik Heng lagi.

Dalam kenyataan media Majlis Bandaran itu pada Ogos 2011, parti itu mendakwa kesuntukan masa untuk membuka tender. Kenyataan media itu juga membuat dakwaan palsu bahawa AHTC tidak menanggung yuran Ejen Pengurusan tambahan kerana melantik FMSS, kata Encik Heng.

Beliau menambah, dalam pemeriksaan balas di mahkamah, Cik Lim mengaku ini tidak benar dan beliau sedar ia tidak benar.

TIDAK SERAHKAN DOKUMEN KEPADA AUDITOR

Encik Heng turut mengetengahkan bahawa semasa audit dijalankan pada 2014, WP "menyembunyikan perincian urus niaga dengan rakan-rakan mereka" dan "enggan menyerahkan dokumen dan maklumat kepada auditor mereka sendiri".

Maka itu, Ketua Audit Negara menjalankan audit pada 2014 kerana "masalah serius" yang dikenal pasti auditor AHTC sendiri yang AHTC, di bawah Cik Sylvia Lim, "enggan kendalikan", kata Encik Heng.

Beliau menambah AGO turut dihalang oleh Majlis Bandaran itu, dan mereka tidak mengemukakan dokumen-dokumen tertentu yang diminta.

"DEMI MENGEKALKAN POLITIK BERSIH"

Semasa menggulung ucapannya pada Selasa, Encik Heng menyeru agar para AP mengambil pendirian tegas berhubung usul itu.

"Saya berharap anda akan memutuskan untuk melaksanakan tanggungjawab anda dan lakukan apa yang diseru usul ini. Saya menggesa para anggota dewan ini mengambil pendirian berhubung usul ini demi mengekalkan politik bersih di Singapura," kata beliau.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita