PAP harus bersuara apabila sesuatu perkara melampaui batas politik: PM Wong
Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP) Lawrence Wong bersama jawatankuasa eksekutif parti pada 9 Nov 2025. (Gambar: CNA/Syamil Sapari)
Jika tidak, ia berisiko mewujudkan masyarakat di mana wacana politik menjadi toksik, tambah beliau.
Berucap di hadapan anggota-anggota parti semasa konvensyen tahunan PAP pada Ahad (9 Nov), Encik Wong berkata bahawa ada banyak negara di mana wacana politik sudah "menjadi lebih berbahaya".
Encik Wong berkata, walaupun setiap tindakan negatif kelihatan kecil, cubaan memutarbelitkan fakta bagi keuntungan politik, menggunakan isu kaum atau agama untuk meraih sokongan, atau mengambil pendirian populis, tetapi bukan untuk menyelesaikan masalah, boleh menyebabkan orang lain terpengaruh.
"Setiap kali perkara seperti ini berlaku dan tiada siapa menegurnya, ia akan menjadi kurang mengejutkan atau semakin tidak dianggap keterlaluan, dan akhirnya menjadi perkara biasa.
"Lama-kelamaan, politik dan wacana politik menjadi toksik dan masyarakat berpecah-belah," tegasnya.
Encik Wong berkata, setiap kali PAP melihat sesuatu perkara itu melampaui batas politik, parti akan membuka mulut.
"Ada yang mengatakan bahawa PAP suka mencari kesalahan - kami seharusnya lebih santai.
"Tetapi jika kami terus berdiam diri, lama-kelamaan ia akan semakin melampaui batas, dan anda boleh jangkakan politik kita akan menjadi semakin buruk," katanya.
Beliau menambah, jika PAP hanya mementingkan “kepentingan politik jangka pendek”, adalah “jauh lebih mudah” untuk tidak menegur perkara sebegitu.
“Setiap kali kita menegur salah laku, akan ada pihak yang menuduh PAP bertindak berlebihan atau membuli.
"Tindakan bersuara menjejas kami sedikit secara politik, namun berdiam diri membawa akibat lebih buruk kepada negara, nilai dan masa depan Singapura,” katanya.
Encik Wong tidak menyebut sebarang insiden khusus di mana sesuatu perkara itu melampaui batas politik.
TIGA KEUTAMAAN PEMERINTAH PENGGAL INI
Dalam ucapannya, Encik Wong turut menggariskan tiga keutamaan bagi penggal pemerintah sekarang ini.
Pertama, katanya, ialah untuk menjamin kedudukan Singapura dalam dunia yang sudah berubah.
Dengan "peralihan struktur" ke arah dasar perlindungan, nasionalisme ekonomi dan pendekatan “yang kuat akan menang”, kelangsungan hidup dan kejayaan ekonomi kecil yang terbuka seperti Singapura akan terjejas.
Kita tidak boleh hanya "duduk diam dan berharap keadaan akan tiba-tiba menjadi lebih baik", tetapi "mesti mengambil tindakan".
Oleh itu, setiap menteri dan kementerian mesti meningkatkan usaha diplomatik antarabangsa mereka.
"Saya sendiri perlu melakukan lawatan dan meluangkan masa mengukuhkan hubungan dengan rakan sejawatan saya,” katanya.
Walaupun usaha luar negara ini kelihatan abstrak dan jauh dari kehidupan seharian rakyat, ia amat penting bagi masa depan dan mata pencarian rakyat Singapura, kata beliau.
"Inilah yang bakal membuka peluang sebenar untuk perniagaan kita berkembang, bagi rakyat Singapura meraih peluang baharu, dan yang lebih penting, bagi Singapura mendapatkan ruang untuk terus berkembang maju dalam dunia yang semakin tidak menentu," tambahnya.
Keutamaan kedua ialah memastikan ekonomi Singapura kekal berdaya saing dan kukuh.
"Apabila ekonomi global mula berpecah, syarikat mengubah rantaian bekalan, laluan perdagangan dan aliran modal," kata beliau.
"Kita harus pastikan Singapura kekal di pusat aliran baharu ini dan tidak diketepikan," katanya.
Beliau menegaskan bahawa di sebalik perubahan ini, peluang baharu juga muncul, dan pemerintah harus berani mencabar andaian lama, memperbaharui cara pemikiran dan mengemas kini dasar.
Proses penyusunan semula dan transformasi sememangnya tidak mudah, dan akan ada pengurangan saiz tenaga kerja atau pemberhentian kerja di beberapa sektor.
Namun itu bukan tanda kegagalan, tetapi sebahagian daripada kitaran pembaharuan ekonomi yang sihat dan dinamik.
"Tugas pemerintah bukan untuk menghalang perubahan, tetapi membantu rakyat mengharunginya - menawarkan mereka kemahiran, sokongan dan keyakinan untuk merebut peluang baharu, serta memastikan tiada siapa yang ketinggalan," katanya.
Beliau menambah bahawa Pasukan Bertindak Daya Tahan Ekonomi Singapura yang diketuai oleh Timbalan Perdana Menteri, Gan Kim Yong, sedang menyiapkan senarai cadangan menjelang awal tahun depan.
"Saya menantikan laporan itu. Pemerintah akan memberikan maklum balas kami dalam Belanjawan 2026," katanya.
Akhir sekali, keutamaan ketiga pemerintah ialah untuk memberi jaminan dan sokongan, serta memastikan masyarakat kekal utuh dan bersatu padu.
Dasar-dasar kini sedang disemak dalam semua bidang utama termasuk pendidikan, jagaan kesihatan, perumahan dan persaraan.
"Akhirnya, semua usaha ini tertumpu pada satu perkara iaitu membolehkan setiap rakyat Singapura menempuhi masa depan dengan penuh keyakinan," katanya.
"Kami akan terus mengukuhkan jaringan keselamatan sosial supaya tidak kira latar belakang atau keadaan anda, anda tidak perlu mengharungi perjalanan ini sendirian, PAP sentiasa akan bersama anda."
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.