PAP ganti 4 pengerusi cawangan di Aljunied, Hougang jelang GE2025
Perubahan akan dibuat kepada kepimpinan cawangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di kawasan undi GRC Aljunied dan SMC Hougang yang dikuasai oleh Parti Pekerja (WP), umum PAP pada Khamis (13 Feb).

(Dari kiri ke kanan) Adrian Ang, Daniel Liu, Faisal Aziz dan Marshall Lim dilantik pada 13 Feb 2025 sebagai pengerusi baharu cawangan PAP di Aljunied dan Hougang yang dikuasai pembangkang. (Gambar: Parti Tindakan Rakyat)
Seramai empat muka baharu akan mengambil alih jawatan pengerusi cawangan di empat divisyen pada 17 Feb, menjelang Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Pengerusi cawangan di kawasan undi lazimnya menjadi calon parti untuk bertanding dalam pilihan raya umum.
Mediacorp pertama kali mengumumkan berita mengenai rombakan tersebut pada Selasa (11 Feb), melaporkan pengerusi cawangan Paya Lebar, Kenny Sim dan pengerusi Cawangan Bedok Reservoir-Punggol, Victor Lye, melepaskan jawatan masing-masing.
PERUBAHAN PADA CAWANGAN DI KAWASAN UNDI YANG DIKUASAI PEMBANGKANG
Di Hougang, Encik Marshall Lim akan menggantikan pengerusi sedia ada Jackson Lam, yang telah mengambil alih peranan itu pada Oktober 2023.
Perubahan sebanyak tiga kali pada GRC Aljunied akan menyaksikan dua pengerusi cawangan PAP yang telah lama berkhidmat juga digantikan.
Naib Pengerusi Cawangan Bedok Reservoir-Punggol, Adrian Ang akan mengambil alih tampuk kepimpinan daripada pengerusi Victor Lye.
Di cawangan Kaki Bukit pula, Encik Faisal Abdul Aziz akan menggantikan Encik Shamsul Kamar.
Encik Daniel Liu, yang kini pengerusi Jawatankuasa Perundingan Rakyat cawangan Nee Soon East di GRC Nee Soon, akan menerajui cawangan Paya Lebar, menggantikan Encik Kenny Sim selepas enam bulan memegang jawatan itu.
Para pengerusi cawangan yang melepaskan jawatan masing-masing akan membantu untuk menyelia proses peralihan.
“PAP juga ingin mengucapkan terima kasih kepada pengerusi cawangan Victor, Kenny, Shamsul dan Jackson atas khidmat mereka kepada penduduk, dan mereka akan terus berkhidmat di kawasan lain dalam parti,” menurut PAP dalam satu kenyataan media.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.