Skip to main content

Singapura

PAP bertindak pantas dalam kes Dr Faishal, tetapi rentetan tingkah laku tidak berhemah boleh jejas reputasi parti: Penganalisis

Anggaran Waktu Membaca:
  PAP bertindak pantas dalam kes Dr Faishal, tetapi rentetan tingkah laku tidak berhemah boleh jejas reputasi parti: Penganalisis

Mantan Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Dr Faishal Ibrahim.

Diterbitkan : 20 Jul 2026 11:33PM Dikemas Kini : 20 Jul 2026 11:34PM
SINGAPURA: Tindakan pantas menangani peletakan jawatan Profesor Madya Muhammad Faishal Ibrahim dapat membantu membendung kesan segera daripada isu tersebut. Namun, para penganalisis berkata rentetan kejadian terkait tingkah laku tidak berhemah boleh menjejaskan reputasi "suci murni" Parti Tindakan Rakyat (PAP) secara beransur-ansur, meskipun kes-kes seperti itu ditangani dengan baik selepas ia terdedah.

"Sekurang-kurangnya, unsur keraguan mungkin menjadi semakin kuat kerana peletakan jawatan AP PAP disebabkan tingkah laku tidak berhemah akan dilihat seperti sesuatu yang kerap berlaku bagi sesetengah pihak," kata pensyarah undang-undang Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Eugene Tan, sambil merujuk kepada kes-kes terdahulu seperti Encik Michael Palmer pada tahun 2012 dan Encik David Ong pada tahun 2016.

Peletakan jawatan Prof Madya Faishal adalah yang terbaharu menyusuli peletakan jawatan beberapa tokoh PAP sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Mantan Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin dan Cik Cheng Li Hui meletak jawatan pada tahun 2023 berikutan hubungan sulit mereka. Mantan Menteri Pengangkutan S Iswaran meletak jawatan pada Januari 2024 selepas disiasat atas kes rasuah. Beliau kemudian dijatuhi hukuman penjara selama 12 bulan.

Berikutan penahanan Encik Iswaran serta peletakan jawatan Encik Tan Chuan-Jin dan Cik Cheng, Perdana Menteri ketika itu, Lee Hsien Loong, mengakui bahawa PAP terjejas. Namun, beliau berkata parti itu akan membuktikan kepada rakyat Singapura bahawa ia akan mempertahankan nilai dan prinsipnya, serta melakukan perkara yang betul.

"Demi kebaikan negara kita, kita akan melakukan apa yang perlu mengikut undang-undang, walaupun ia mungkin memalukan dari segi politik dan menyakitkan buat parti," kata Encik Lee di Parlimen pada Ogos 2023.

PAP "berbangga dengan integriti dalam pentadbiran serta nilai murni dalam kepimpinannya", kata Profesor Madya Eugene Tan. "Perkara-perkara ini menjejas imej itu, walaupun pemerintah PAP tidak menyembunyikan atau melindungi kes tersebut."

Profesor Madya Faishal, yang merupakan pemangku menteri bagi ehwal masyarakat Islam, menteri negara kanan bagi hal ehwal dalam negeri, serta AP bagi GRC Marine Parade-Braddell Heights, berundur daripada arena politik pada Isnin (20 Jul) berikutan interaksinya dengan seorang wanita yang dianggap tidak selaras dengan tata laku yang diharapkan daripada seseorang pemegang jawatan politik.

MEMELIHARA PIAWAIAN TINGGI

Para penganalisis bersetuju bahawa PAP bertindak jauh lebih pantas dalam kes Prof Madya Faishal berbanding kes bekas Speaker Encik Tan.

Sekalipun demikian, pemerhati politik bebas Felix Tan berkata kedua-dua kes itu berbeza dari segi jumlah maklumat yang didedahkan kepada umum. Tidak seperti kes Encik Tan Chuan-Jin, hanya segelintir maklumat yang didedahkan berkaitan peletakan jawatan Prof Madya Faishal, lalu meninggalkan banyak soalan yang belum terjawab, katanya.

PM Wong berkata e-mel yang diterima oleh pejabatnya adalah daripada seorang anggota awam mengenai interaksinya dengan Prof Madya Faishal, yang selalunya berlaku menerusi mesej online dan di luar acara awam. Sifat atau kandungan mesej-mesej tersebut tidak didedahkan.

Kedua-dua pihak kemudian membuat tuduhan gangguan terhadap satu sama lain dan perkara itu kemudian dirujuk kepada polis. Hasil siasatan mendapati bahawa tiada kesalahan jenayah yang dilakukan oleh mana-mana pihak.

Para penganalisis berkata cara peletakan jawatan Encik Tan ditangani mungkin mempengaruhi tindakan PM Wong dalam kes Prof Madya Faishal.

Prof Madya Eugene Tan berkata ini merupakan kes tingkah laku tidak berhemah pertama yang perlu ditangani PM Wong sebagai perdana menteri dan pemimpin parti.

"Beliau menunjukkan bahawa beliau mempertahankan piawaian tinggi yang telah ditetapkan oleh para pemimpin terdahulu," kata Prof Madya Tan. "Beliau tidak mahu penggal pemerintahan sedia ada dibelenggu kontroversi atau terganggu oleh isu-isu sampingan seawal ini."

Dr Felix Tan berkata PM Wong mahu menyelesaikan perkara ini dengan cepat, kerana kontroversi yang berpanjangan boleh hakis kepercayaan awam dan mengganggu agenda dasar pemerintah.

KEPIMPINAN MELAYU-ISLAM

Prof Madya Tan menyifatkan peletakan jawatan itu sebagai "tamparan hebat" buat PAP, kerana Prof Madya Faishal sebelum ini dilihat berupaya untuk meraih sokongan dalam kalangan pengundi Melayu/Islam berikutan Pilihan Raya Umum 2025.

Beliau berkata peletakan jawatan itu meninggalkan jurang kepimpinan dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam buat PAP, sambil menarik perhatian bahawa parti itu kini sudah melantik menteri bertanggungjawab bagi ehwal masyarakat Islam yang ketiga dalam tempoh setahun. Selain Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga Masagos Zulkifli, tiada menteri penuh Melayu lain yang menganggotai Kabinet pada masa ini, katanya.

Rekan penyelidik kanan Makmal Sosial Institut Pengajian Dasar (IPS), Teo Kay Key berkata masyarakat Melayu-Islam kini perlu menyesuaikan diri dengan seorang lagi menteri baharu tidak lama selepas Prof Madya Faishal memegang portfolio tersebut berikutan pilihan raya.

Semasa ditanya sama ada portfolio Prof Madya Faishal sebagai menteri bertanggungjawab bagi ehwal masyarakat Islam meletakkan beliau di bawah tuntutan moral yang lebih tinggi, ketiga-tiga penganalisis bersetuju dengan pandangan tersebut.

Prof Madya Tan berkata walaupun pelantikan itu bersifat politik dan bukannya keagamaan, sesetengah anggota awam mungkin menganggap jawatan tersebut menuntut "tahap moral atau agama lebih tinggi dari segi integriti dan tingkah laku".

Sebarang salah laku, sama ada yang benar-benar berlaku atau yang tidak wajar, berpotensi untuk "menjejaskan kepercayaan awam, menghakis kewibawaan moral jawatan tersebut, dan menjejaskan kedudukan serta reputasi individu berkenaan," kata Dr Felix Tan.

JURANG DALAM 4G?

Dr Teo berkata peletakan jawatan terbaru itu mewujudkan jurang dalam barisan menteri Kabinet, dengan pemerintah kini kekurangan dua orang pegawai berikutan peletakan jawatan Prof Madya Faishal dan mantan Menteri Negara Kanan Koh Poh Koon, yang berundur pada Mei tahun ini atas alasan keluarga.

Sesetengah pihak mungkin melihat ini sebagai ujian terhadap keupayaan pemerintah untuk mengotakan janji-janjinya semasa pilihan raya, katanya.

AP di GRC yang terjejas juga perlu mengendalikan kawasan yang lebih luas dan jumlah penduduk yang lebih ramai, tambahnya. "Jika pengaturan alternatif ini tidak mencukupi dalam apa jua cara sekalipun, pandangan awam terhadap parti mungkin akan terjejas."

Prof Madya Eugene Tan berkata kes ini boleh mempercepatkan proses pembaharuan parti, terutamanya bagi perwakilan golongan minoriti.

"Rombakan barisan menteri Kabinet boleh digunakan untuk memberi isyarat bahawa pasukan 4G tidak kekurangan dari segi pengalaman dan kepakaran. Beliau (PM Wong) juga boleh membawa masuk darah baharu."

Encik Malminderjit Singh, pengasas dan pengarah urusan syarikat perunding politik Terra Corporate Affairs, berkata PAP berkemungkinan sudah pun membuat persiapan untuk mengetengahkan calon-calon baharu, termasuk daripada masyarakat Melayu/Islam, untuk pilihan raya akan datang.

Sekalipun demikian, pengunduran Prof Madya Faishal dan Dr Koh mungkin memerlukan rombakan Kabinet pertengahan penggal atau pelantikan baharu dibuat lebih awal daripada yang dijangkakan. Ia juga mungkin menyaksikan beberapa AP barisan belakang dinaikkan pangkat untuk memegang jawatan politik, kata Encik Singh.
Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita