Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PAP berhak soal pendirian Pritam Singh, kata Shanmugam berhubung rencana Tan Wu Meng

Mantan ketua WP Low Thia Khiang "sangat jelas" dengan pendirian tidak berpihak kepada negara lain walaupun beliau mungkin tidak bersetuju dengan PAP mengenai hal-hal berkaitan dasar, kata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Ahad (21 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
PAP berhak soal pendirian Pritam Singh, kata Shanmugam berhubung rencana Tan Wu Meng

Encik Shanmugam semasa lawatan bertemu penduduk pada 21 Jun 2020 (Gambar: PAP Nee Soon GRC/Facebook)

Diterbitkan : 21 Jun 2020 11:27PM Dikemas Kini : 21 Jun 2020 11:34PM

SINGAPURA: Mantan ketua Parti Pekerja (WP) Low Thia Khiang "sangat jelas" dengan pendirian tidak berpihak kepada negara lain walaupun beliau mungkin tidak bersetuju dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) mengenai hal-hal berkaitan dasar, kata Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam pada Ahad (21 Jun).

Lantaran itu, Dr Tan Wu Meng berhak untuk menyoal Pritam Singh, sebagai ketua WP dan pemimpin Pembangkang sekarang tentang pendiriannya, kata Encik Shanmugam.

Menteri itu merujuk kepada rencana yang ditulis oleh Dr Tan, seorang penjawat politik PAP yang mempersoalkan sokongan Encik Singh terhadap penulis naskhah teater Alfian Sa'at minggu lalu.

Encik Singh menggelar Encik Alfian sebagai "a loving critic" atau seorang pengkritik yang mencintai Singapura awal bulan ini semasa perbahasan parlimen mengenai Belanjawan Kecekalan.

Encik Shanmugam berkata: "Ringkasnya, seseorang itu boleh mengatakan pendirian Encik Alfian Sa'at adalah beliau ingin Singapura bergabung dengan Malaysia, dan beliau berpendapat bahawa orang Cina silap kerana tidak menginginkan penggabungan. Beliau sangat tidak menyukai Encik Lee Kuan Yew dan beliau menyayangi Dr Mahathir.

"Dan beliau memihak kepada Malaysia. Apabila kapal kerajaan Malaysia berada di perairan Singapura di tengah-tengah ketegangan berhubung isu-isu wilayah dan ruang udara, beliau memihak kepada Malaysia dan berkata bahawa rakyat Singapura bersikap terlampau memuja tanah airnya."

Meskipun begitu, Encik Alfian berhak atas pandangannya, kata Encik Shanmugam, yang ditanya oleh beberapa wartawan berhubung isu tersebut di luar lawatannya ke Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Nee Soon. Transkrip komen-komen Encik Shanmugam disediakan kepada Mediacorp.

Encik Shanmugam, yang merupakan Anggota Parlimen GRC Nee Soon, berkata bahawa Dr Tan telah membentangkan pelbagai catatan oleh Encik Alfian dan beliau tidak "mereka apa-apa" dalam artikelnya.

"Tetapi apabila Encik Pritam Singh, sebagai pemimpin Pembangkang, mengutarakan di Parlimen bahawa beliau menyokong Encik Alfian Sa'at dan mengatakan beliau ialah seorang pengkritik yang mencintai Singapura, maka saya rasa kami berhak bertanya dalam sebuah demokrasi yang sihat, kepada siapa anda berpihak? Kerana di bawah (ketua WP sebelumnya) Encik Low (Thia Khiang), beliau sangat jelas,” kata Encik Shanmugam.

Catatan Dr Tan mencetuskan kontroversi di wadah online, dengan sebilangan warga siber menarik perhatian bahawa Duta Kelana Tommy Koh juga sebelum ini memberi gelaran yang sama kepada Encik Alfian. Dr Tan, yang merupakan Setiausaha Parlimen Kanan Kementerian Luar, berpendapat bahawa penulis drama itu "bukan pengkritik yang mencintai" Singapura.

Oleh kerana Encik Singh menyokong penulis itu di Parlimen, Dr Tan berhak untuk menyoal pendiriannya, tambah Encik Shanmugam.

Semasa lawatan bertemu penduduk itu, Encik Shanmugam dilihat bersama Cik Carrie Tan, pengasas badan amal Daughters of Tomorrow, dan Encik Derrick Goh, pengarah urusan DBS Bank. Cik Tan dan Encik Goh disebut-sebut sebagai calon yang mungkin diketengahkan oleh PAP dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan