Skip to main content

Singapura

PAP berdepan 'persaingan sangat sengit' pada GE2025 dengan pertandingan hebat di Tampines, Punggol

Anggaran Waktu Membaca:
PAP berdepan 'persaingan sangat sengit' pada GE2025 dengan pertandingan hebat di Tampines, Punggol

Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP) Lawrence Wong berucap pada majlis Anugerah dan Konvensyen PAP pada Ahad (9 Nov) (Gambar: CNA/Syamil Sapari)

Diterbitkan : 09 Nov 2025 01:18PM Dikemas Kini : 09 Nov 2025 03:09PM
SINGAPURA: Menjelang Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), Perdana Menteri Lawrence Wong menerima kiriman mesej berbentuk peringatan daripada anggota dan penyokong Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang menasihatinya untuk “bersiap sedia” kehilangan beberapa kerusi parlimen.

Berucap pada majlis Anugerah dan Konvensyen PAP pada Ahad (9 Nov), Encik Wong berkata penyokong tersebut berkongsi pelbagai ramalan, mendorong beliau untuk bersedia secara mental bagi semua kemungkinan keputusan.

"Apabila keputusan diumumkan, orang yang sama yang menghantar kiriman mesej kepada saya sebelum ini berkata, 'Maaf, kami sepatutnya lebih yakin dengan anda’," kata Encik Wong, yang juga setiausaha agung parti.

"Saya berkata kepada mereka, tidak perlu meminta maaf. Anda membuat pekara yang betul untuk memberi peringatan kerana di dalam pilihan raya, tiada siapa yang boleh menjangkakan keputusan sehingga kotak undi dibuka dan undi dikira."

Dalam Pilihan Raya Umum pertama di bawah kepimpinan Encik Wong, PAP memenangi 87 daripada 97 kerusi dan meningkatkan peratusan undi daripada 61.2 peratus kepada 65.57 peratus pada Mei lalu.

Namun, Encik Wong menegaskan bahawa keputusan itu tidak boleh dianggap sebagai kemenangan besar, kerana parti PAP juga menghadapi “persaingan sangat sengit” di beberapa kawasan.

"Sekiranya berlaku sedikit perubahan terhadap PAP, keputusannya akan sangat berbeza," katanya.

"Dan jika itu berlaku, suasana di konvensyen parti hari ini akan sangat berbeza."

Encik Wong memberi penghargaan kepada rakyat Singapura yang memilih untuk memberi kepercayaan kepada beliau dan pasukannya sambil menambah bahawa beliau memandang serius amanah yang diberi.

“Saya amat berterima kasih kerana pengundi memberi sokongan kepada kami di Tampines dan Punggol. Sekiranya kami kalah di dua GRC ini, ia akan meninggalkan kesan yang besar," tambahnya.

Kekalahan di GRC Tampines akan mencadangkan bahawa Parti Pekerja (WP) berjaya menarik pengundi Melayu/Islam melalui "strategi yang dirancang”, kata Encik Wong.

Ini akan mendorong parti politik lain untuk melakukan perkara yang sama dan "hanya akan menjejas" perpaduan sosial Singapura dan membawa kepada Singapura yang berpecah-belah," tambahnya.

Di Tampines, pasukan PAP yang diketuai Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Masagos Zulkifli memenangi pertandingan empat penjuru dengan 52.02 peratus undi.

Pasukan WP yang diketuai mantan anggota GRC Aljunied Faisal Abdul Manap memperoleh 47.37 peratus dalam kempen pertamanya di kawasan itu.

Di GRC Punggol pula, jika WP menang, “ia akan memberi mesej salah” bahawa pengundi tidak peduli tentang “kemampuan terbukti dan kepimpinan mantap” seorang menteri berpengalaman seperti Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong, kata Encik Wong.

"Singapura akan kehilangan anggota pasukan bertindak yang sangat berwibawa."

Pasukan PAP di GRC Punggol memenangi 55.17 peratus undi berbanding 44.83 peratus WP, dalam persaingan yang ramai pemerhati jangkakan sebagai cukup sengit.

BERI PERHATIAN KEPADA USAHA DI LAPANGAN

Encik Wong berkata "mandat kukuh" PAP memberi mesej jelas kepada dunia.

"Rakyat Singapura memandang serius pilihan raya dan memahami apa yang dipertaruhkan. Bahawa kami tidak mengambil risiko dengan masa depan kami.

"Kami tidak mempertaruhkan apa yang telah dibina bersama. Bahawa kami tidak terpengaruh dengan unsur populis mahupun kaum."

Beliau menarik perhatian bahawa hasil keputusan pilihan raya itu adalah disebabkan kerja keras calon, aktivis dan sukarelawan PAP di lapangan selama lima tahun.

Satu perkara penting yang dipelajari dalam setiap pilihan raya adalah bahawa usaha di lapangan amat penting, kata perdana menteri itu.

Walaupun para pengundi mengambil berat tentang isu kos sara hidup dan perbandaran, "yang paling penting mereka ambil berat tentang calon – sama ada beliau boleh berhubung dengan mereka, menyelesaikan masalah dan menambah baik kehidupan mereka."

Beliau memuji wakil parti yang menghadapi persaingan sengit di kawasan pembangkang iaitu di Aljunied, Hougang dan Sengkang.

"Anda berdepan dengan misi paling sukar, tetapi anda tidak pernah goyah. Kami bangga dengan anda semua," kata Encik Wong.

Dalam ucapan pertamanya, pengerusi parti Desmond Lee mengucapkan terima kasih kepada anggota parti atas sumbangan mereka, sambil menekankan bahawa rakyat Singapura memberi kepercayaan dan keyakinan kepada PAP pada Pilihan Raya Umum kali ini.

"Setiap generasi menilai kami bukan hanya berdasarkan masa lalu atau janji yang dibuat, tetapi melalui bagaimana kami bertindak, mendengar dan mengambil berat tentang rakyat Singapura,” katanya dalam ucapan membukaan konvensyen pada Ahad.

"Tanggungjawab kami jelas: membawa mandat ini dengan sikap rendah hati dan penuh tujuan, serta memastikan Singapura terus cemerlang dalam dunia yang semakin berpecah-belah."
Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita