Skip to main content

Singapura

PAP berdepan krisis teruk selepas rentetan insiden termasuk skandal Tan Chuan-Jin, kata penganalisis

Anggaran Waktu Membaca:
PAP berdepan krisis teruk selepas rentetan insiden termasuk skandal Tan Chuan-Jin, kata penganalisis

(Gambar: Kementerian Perhubungan dan Penerangan)

Diterbitkan : 18 Jul 2023 12:12AM Dikemas Kini : 18 Jul 2023 12:18AM
SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) berdepan dengan krisis keyakinan rakyat paling teruk sejak kebelakangan ini berikutan beberapa insiden melibatkan pemegang jawatan parti tersebut, kata pengamat politik.

Pada Isnin (17 Jul), Speaker Parlimen Tan Chuan-Jin, yang baru-baru ini meminta maaf atas penggunaan bahasa yang tidak sesuai di parlimen, dan Anggota Parlimen (AP) Cheng Li Hui, meletak jawatan dari parlimen dan PAP selepas didedahkan bahawa pasangan itu menjalin hubungan sulit.

Minggu lalu, Menteri Pengangkutan S Iswaran ditahan Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) atas siasatan rasuah. Beliau diikat jamin dan diberi cuti ketidakhadiran.
Sebelum itu pada Julai, Menteri Undang-undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam dan Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan berdepan pemeriksaan berhubung penyewaan banglo kolonial di Ridout Road.

Tiada salah laku ditemui dalam siasatan oleh CPIB dan Menteri Kanan Teo Chee Hean.
Hubungan sulit Encik Tan dan Cik Cheng bagaimanapuan "menjadi lebih penting dari dijangkakan", kata Profesor Madya Eugene Tan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU).

"Ia mungkin mengukuhkan tanggapan sebilangan pihak bahawa standard tatasusila tinggi parti yang memerintah itu sudah merosot. Parti itu kini berdepan krisis kepercayaan rakyat yang paling teruk dan keyakinan terhadapnya terjejas dengan teruk," kata beliau kepada Mediacorp.

"Rentetan berita buruk" mengenai tingkah laku AP PAP agak "merisaukan", dan akan menyebabkan orang ramai untuk mempersoalkan nilai kepemimpinan parti sedia ada, kata Dr Gillian Koh, zamil penyelidik kanan di Institut Pengajian Dasar (IPS).

Namun, beliau menekankan bahawa cara pucuk kepimpinan politik bertindak adalah lebih penting.
Dr Felix Tan, seorang penganalisis politik di Universiti Teknologi Nanyang (NTU), berkata insiden tersebut akan memberi kesan terhadap PAP, dan parti itu mungkin memerlukan beberapa bulan atau tahun untuk menyelesaikannya dan bergerak ke hadapan.

Ini bukan kali pertama seorang AP meletak jawatan disebabkan hubungan luar nikah.

Pada 2012, Parti Pekerja (WP) memecat AP Hougang ketika itu, Yaw Shin Leong selepas beliau gagal menjelaskan kepada jawatankuasa eksekutif pusat parti "dakwaan melibatkan hubungan sulit".

Lewat tahun itu, Speaker Parlimen ketika itu Michael Palmer meletak jawatan selepas mengaku menjalin hubungan sulit.

Pada 2016, AP PAP David Ong meletak jawatan, atas kelakuan peribadinya yang tidak wajar.

Ketiga-tiga lelaki ini adalah AP Kawasan Undi Perseorangan, dan setiap kes ini mengakibatkan pilihan raya kecil diadakan.

ADA JURANG PADA GARIS MASA

Penganalisis juga berkata PAP harus menjawab soalan tentang jurang yang terdapat pada garis masa kejadian tersebut dan waktu ia didedahkan kepada orang awam.

Dalam kes Encik Tan dan Cik Cheng, Perdana Menteri dimaklumkan tentang "hubungan tidak wajar" antara pasangan itu selepas Pilihan Raya Umum 2020 dan beliau sudah menasihati mereka.

Apabila ditanya mengapa hubungan sulit itu dibenarkan terus berlaku, Encik Lee berkata anggota parti sudah menasihati kedua-dua Encik Tan dan Cik Cheng ketika mereka pertama kali mengetahui perkara itu, sehingga Februari tahun ini.

"Kami berharap mereka akan melakukan perkara yang betul, tetapi mereka tidak berbuat demikian."

Kontroversi itu menimbulkan persoalan terhadap ketelusan PAP, kata Dr Tan dari NTU.

Profesor Madya Chong Ja Ian dari Universiti Nasional Singapura (NUS) berkata:"Isu lebih besar bagi saya ialah mengapa Perdana Menteri menerima peletakan jawatan itu lebih awal, namun maklumat yang didedahkan kepada orang awam ditangguhkan."

PERBEZAAN DENGAN PARTI PEKERJA

Pada pagi Isnin, Parti Pekerja (WP) menyatakan ia sedang menyiasat video yang menunjukkan "interaksi tidak wajar" antara AP Leon Perera dan rakan parti Nicole Seah.
Profesor Madya Tan dari SMU berkata insiden itu, jika disahkan, memberi kesan tidak baik buat WP dan akan menyebabkannya bertindak "mempertahankan" parti itu.

"Namun kesannya, jika pun ada, tidak akan lebih teruk dibandingkan dengan PAP. Jangkaan terhadap WP tidak setinggi berbanding PAP," tambahnya.

"Tekanan yang tidak dapat dielakkan daripada keputusan yang dibuat oleh PAP boleh memaksa WP mengambil keputusan yang sama" kata Dr Mustafa Izzuddin, penganalisis kanan hal ehwal antarabangsa di Solaris Strategies Singapore.

Sekiranya Encik Perera meletak jawatan, Cik Seah juga dijangka ikut sama, "oleh itu menandakan berakhirnya kerjaya politiknya dengan WP tetapi tidak (semestinya) tamat kerjaya politiknya", tambahnya.

KESAN KEPADA PILIHAN RAYA AKAN DATANG

Kejadian tersebut berlaku sedang Pilihan Raya Presiden dijangkakan berlangsung tahun ini.

Pilihan Raya umum juga dijangkakan diadakan tahun depan, memandangkanparlimen harus dibubarkan menjelang Februari 2025.

Tempoh berlakunya kontroversi tersebut "sangat malang", dan akan memberi kesan kepada kedua-dua Pilihan Raya Presiden dan Pilihan Raya Umum, kata Dr Tan.

Kontroversi PAP itu juga mungkin memberi kesan kepada peralihan pucuk kepimpinan 4G pada Pilihan Raya Umum akan datang, tambahnya.

Sebagai alternatif, PM Lee boleh terus bertahan dan "cuba menyelesaikan isu tersebut" sebelum menyerahkan kepimpinan parti kepada Encik Lawrence Wong, kata Dr Tan.

Mereka yang terlibat dalam kontroversi tersebut dari kedua-dua parti PAP dan WP bertanding dalam kerusi panas pada Pilihan Raya Umum yang lalu, kata Dr Tan.

Encik Iswaran merupakan sebahagian daripada pasukan GRC West Coast, di mana Parti Kemajuan Singapura (PSP) meraih 48.31 peratus undi, hanya 3.38 peratus di belakang PAP.

Encik Tan adalah anggota pasukan PAP di Marine Parade, yang juga ditandingi WP.

Encik Perera merupakan anggota GRC Aljunied, manakala Cik Seah bertanding di GRC East Coast, berdepan dengan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat.

Keputusan Encik Tharman untuk bertanding dalam Pilihan Raya Presiden menyebabkan kerusi kosong dalam GRC Jurong, dan peletakan jawatan Cik Raesah Khan dari WP menyebabkan kerusinya dalam GRC Sengkang kosong, selepas parti itu menang buat pertama kali pada Pilihan Raya Umum 2020.

 
Sumber : CNA/AE/ae
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita