Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PAP akur perlu tingkat daya komunikasi; lebih dengar aspirasi rakyat yang semakin berbeza

Parti Tindakan Rakyat (PAP) akur bahawa parti itu perlu lebih mendengar aspirasi rakyat yang semakin berbeza pandangan serta perlu meningkatkan daya komunikasinya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) akur bahawa parti itu perlu lebih mendengar aspirasi rakyat yang semakin berbeza pandangan serta perlu meningkatkan daya komunikasinya.

Anggota Parlimen PAP dan Setiausaha Parlimen Kesihatan, Rahayu Mahzam, berkata demikian dalam forum anjuran Institut Kajian Dasar (IPS) hari ini (22 Okt).

Forum sesi ketiga IPS itu berkongsi visi serta rancangan parti-parti politik di sini pasca Pilihan Raya Umum 2020. Forum berkenaan turut disertai Parti Pekerja (WP) dan Parti Kemajuan Singapura (PSP).

Cik Rahayu juga berkongsi lebih banyak perincian tentang semakan yang akan dijalankan PAP selepas pilihan raya tersebut. Menurut beliau ada ruang untuk PAP memperbaiki parti itu khususnya dari segi perhubungan dan pendekatannya melalui media sosial.

Kini usaha sedang giat dijalankan dalam aspek tersebut, kata beliau, bagi memastikan PAP bangkit lebih kukuh selepas ini.

"Antara perkara lain ada juga untuk mencari ruang yang mana kita dapat terus adakan perbincangan mengenai perkara-perkara penting dan memberikan peluang kepada orang ramai membina dasar, memberikan saranan dan melihat bagaimana saranan itu dapat dijadikan sesuatu inisiatif yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat," kata Cik Rahayu.

Bagi WP, GE2020 menyaksikannya berjaya merampas sebuah lagi GRC iaitu GRC Sengkang. Menurut AP GRC baru itu, Louis Chua, kejayaan berkenaan sebenarnya mencerminkan teras WP selama ini yang berpandukan sumbangan para sukarelawan.

Encik Chua menambah para sukarelawan parti itu yang sebenarnya menjadi kekuatan WP dalam pilihan raya kali ini kerana mereka menjadi "mata dan telinga" WP di lapangan dan dalam proses penggubalan dasar manifesto parti.

"Penting untuk kami tumpukan perhatian kepada rakyat Singapura yang tidak aktif dalam media sosial. Jadi penting untuk kita lakukan lawatan rumah-ke-rumah, perbincangan di kedai kopi, pertemuan di stesen MRT untuk memastikan kami sentiasa dekat dengan rakyat dan cuba untuk mendengar seberapa ramai rakyat Singapura," kongsi beliau.

Satu lagi parti pembangkang yang menarik perhatian ramai dalam GE2020 ialah PSP. Dalam sesi post-mortem itu, Penolong Setiausaha Agung PSP, Francis Yuen, akur bahawa partinya terlalu bergantung kepada ketua mereka, Dr Tan Cheng Bock.

Kini, kata Encik Yuen, PSP sedang melakar strategi bagi pilihan raya seterusnya yang termasuk memastikan PSP bukan sekadar 'parti Tan Cheng Bock' saja.

Memandang ke hadapan, Encik Yuen memberitahu forum itu bahawa dengan bilangan keanggotaan PSP melonjak naik selepas GE2020, parti itu kini mahu menubuhkan pula sebuah sayap wanita dan belia.

"Tujuan kepimpinan kami ini adalah untuk mewujudkan generasi pemimpin seterusnya dan memperkenalkan mereka kepada orang ramai dan biar orang ramai melihat sendiri kerja mereka lakukan di lapangan dan idea dibawa bersama mereka," tambah beliau.

Menurut Cik Rahayu lagi di pihaknya PAP, menerusi pelbagai kementerian, akan meningkatkan dasar-dasar bagi isu seperti norma-norma sosial, selain mewujudkan wadah-wadah lebih luas untuk berbincang tentang pembangunan wanita, serta bagaimana menjadikan rakyat lebih terlibat dalam meminda rang undang-undang.

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan