PAP akan dampingi pengundi capai visi dalam landskap politik baharu: Penganalisis
Ini selepas Singapura hampir menamatkan peralihan pucuk kepimpinannya pada Ahad (24 Nov) dengan pilihan raya seterusnya dijangka berlangsung dalam masa beberapa bulan sahaja lagi.
Di persidangan dua tahun sekali PAP pada Ahad itu, Setiausaha Agung Lee Hsien Loong berkata beliau mencadangkan agar badan pembuat keputusan tertinggi parti tersebut memilih Timbalan Setiausaha Agung Lawrence Wong sebagai ketua PAP seterusnya.
Dr Mustafa Izzudin, penganalisis kanan hal ehwal antarabangsa dengan Solaris Strategies Singapore, berkata ini memberi isyarat bahawa PAP tidak boleh samar-samar bagi dasar-dasarnya yang mungkin tidak akan dapat menambat hati dan memperolehi sokongan generasi lebih muda.
Beliau berkata ia adalah tidak mungkin bagi PAP untuk "berwajah baharu atau menjalani rombakan besar-besaran".
Struktur parti itu kekal tidak berubah tetapi di mana perubahan boleh berlaku adalah dalam strategi komunikasinya yang telah berkembang, hasil daripada keinginan untuk mendampingi pengundi yang demografinya kian berubah dengan lebih berkesan dalam era media sosial, tambah Dr Mustafa.
Tampil ke hadapan juga bermakna PAP mesti bertanding dalam pilihan raya - yang harus diadakan selewat-lewatnya hujung tahun depan - bukan sahaja sebagai pemerintah yang sedang memerintah tetapi juga sebagai sebuah parti politik, jelas Profesor Madya Eugene Tan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU).
"(Bertanding sebagai pemerintah yang sedang memerintah) bermakna ia lebih mengenai dasar pemerintah dan hasilnya, manakala (bertanding sebagai parti politik) lebih berhubung menyatupadukan rakyat bagi satu tujuan; merangkumi impian-impian dan nilai-nilai," tambahnya.
Prof Madya Tan menarik perhatian bahawa pilihan raya mungkin akan berlangsung kira-kira enam bulan lagi, selepas Belanjawan 2025 dan sekitar Mei. "Parti itu akan meningkatkan kempennya di bawah kepimpinan baharu Encik Wong," katanya.
"Beliau juga perlu menunjukkan bahawa dominasi satu parti masih relevan dalam konteks hari ini, berbanding keinginan untuk mempunyai lebih banyak kepelbagaian dan persaingan politik."
PEMILIHAN CEC: INI APA YANG BOLEH ANDA JANGKAKAN
PAP juga mengundi bagi Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang ke-38nya pada Ahad, dengan Menteri Pengangkutan Chee Hong Tat menyertai badan pembuat keputusan tertinggi parti itu buat pertama kalinya selepas dilantik.
Profesor Madya Sains Politik di Universiti Nasional Singapura (NUS), Bilveer Singh berkata, mengecualikan para menteri kanan daripada undian - seperti Menteri Pertahanan Ng Eng Hen dan Menteri Penyelaras Bagi Keselamatan Negara Teo Chee Hean - menunjukkan bahawa mereka akan melepaskan jawatan Kabinet mereka kira-kira dalam tempoh pemerintah seterusnya.
"Anda boleh merombak semula Kabinet pada bila-bila masa, tetapi CEC akan kekal di sini selama dua tahun," terangnya, sambil menambah bahawa ia mungkin merupakan petanda mereka tidak disertakan dalam pilihan raya umum seterusnya.
Pelantikan tertentu dalam CEC - seperti pengerusi, setiausaha agung, bendahara dan dan setiausaha penganjur – akan diumumkan dalam beberapa minggu akan datang.
Pada tahun lalu, ia mengambil masa 20 hari.
Dinamik parti dalaman, terutamanya dalam kalangan pemimpin utama 4G atau generasi keempat, akan dipantau dengan teliti menerusi peranan yang akan disandang Encik Wong, kata Prof Madya Tan, yang menyatakan bahawa Encik Chee, yang mengambil portfolionya pada Januari, "berupaya berdwibahasa dengan berkesan dan itu membantu parti tersebut berhubung dengan kawasan yang berbahasa Cina".
Nasib bagi peranan Timbalan Setiausaha Agung, yang mula disertakan pada 2022 khas bagi Encik Wong, juga akan menjadi tumpuan.
Jika PAP mengekalkan peranan itu, sesiapa yang dipilih oleh rakan-rakan anggota CEC untuk mengambil alih jawatan itu akan dilihat sebagai Timbalan Perdana Menteri selepas pilihan raya umum, kata Prof Madya Tan.
Jika dimansuhkan, siapa yang dilantik Encik Wong sebagai dua Penolong Setiausaha Agungnya boleh memberi isyarat tentang siapa yang berada dalam kalangan kumpulan rapatnya serta siapa yang paling rapat dengannya dalam kepimpinan itu, kata pakar yang ditemui Mediacorp.
Peranan Penolong Setiausaha Agung kini, sedang disandang Menteri Pendidikan Chan Chun Sing dan Menteri Pembangunan Negara Desmond Lee.
Prof Ong juga mengenal pasti jawatan setiausaha penganjur sebagai penting, kerana mereka akan bertanggungjawab terutamanya untuk membuat aturan kepada akar umbi bagi pilihan raya akan datang.
Buat masa ini, jawatan itu dipegang oleh Menteri Kemampanan dan Sekitaran Grace Fu dan Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong.
Perkara lain yang perlu diperhatikan ialah sama ada Encik Heng Swee Keat kekal sebagai pengerusi parti itu.
Satu lagi yang perlu diperhatikan ialah untuk melihat sama ada individu yang menyandang jawatan itu sebelum dirinya, Timbalan Perdana Menteri Gan Kim Yong mampu disertakan dalam badan tersebut beberapa minggu akan datang.
"Jika beliau kembali ke CEC, ia akan menunjukkan percubaan Encik Wong untuk memperkukuhkan kedudukannya dan memperluaskan pangkalan sokongannya dalam parti itu," jelas Prof Madya Tan.
Prof Madya Singh pula menekankan bahawa Encik Wong perlu menyusun pasukannya secara politik.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.