'Pantri Masyarakat' Masjid Assyakirin sediakan barangan dapur percuma
Satu inisiatif baru dalam bentuk bilik simpanan makanan masyarakat dibangunkan di Masjid Assyakirin bagi membantu golongan memerlukan di kawasan barat Singapura.
BERITAmediacorp: Satu inisiatif baru dalam bentuk bilik simpanan makanan masyarakat dibangunkan di Masjid Assyakirin bagi membantu golongan memerlukan di kawasan barat Singapura.
Inisiatif yang diberi nama 'Community Pantry @ Assyakirin' atau Pantri Masyarakat di Assyakirin itu adalah yang pertama seumpamanya dan satu-satunya yang dikendalikan oleh sebuah masjid di sini.
Sejak ia dilancarkan pada Jun lalu, lebih 30 buah keluarga meraih manfaat daripada usaha murni itu.
BERITAMediacorp bertemu dengan dua penerima bantuan 'pantri masyarakat' masjid itu.
RINGANKAN TANGGUNGAN KELUARGA ZAINI MOHAMOD
Sekitar tiga tahun lalu, Encik Zaini Mohamod diserang angin ahmar yang menyebabkan beliau lumpuh separuh badan dan terpaksa bergantung kepada kerusi roda untuk bergerak.
Keadaannya turut menyulitkan usaha beliau untuk mencari pekerjaan.
Mujur dengan adanya pantri masyarakat itu, beban kewangan keluarga Encik Zaini dapat diringankan.
Menurut beliau: "Saya dapat makanan seperti Maggi, kicap, beras. Jadi ia bantu sayalah. Jika saya tidak menerima bantuan daripada pantri ini, saya perlu keluarkan duit sebanyak $30 atau lebih untuk membelinya.
"Tetapi dengan ada pantri itu, duit itu dapat saya salurkan untuk membeli ubat-ubatan dan membayar yuran doktor."
MUSTAKEM MUHD RAIS JIMAT PURATA 20% GAJI BULANAN
Seorang lagi yang meraih manfaat ialah Encik Mustakem Muhd Rais.
Ayah tunggal kepada dua orang anak yang berusia antara lima dan tujuh tahun itu bertugas sebagai pemandu khidmat kereta sewa Grab dan meraih pendapatan S$1,000 sebulan.
Pantri itu membantu beliau meraih penjimatan 20 peratus daripada perbelanjaan barangan dapur.
"Mungkin belanja dapur yang saya sudah catitkan untuk cari saya akan datang sini dulu, jadi apa yang ada saya ambil, yang lebihan itu saya akan beli di kedai. Jadi sedikit sebanyak ia dapat membantu dari segi perbelanjaan anak saya, seharian, mingguan dan meraih manfaat mengurangkan belanja," ujar Encik Mustakem.
SUMBANGAN MAKANAN DARI DANA FIDYAH, ORANG RAMAI
Inisiatif Pantri Masyarakat di Assyakirin itu menyimpan enam kumpulan barangan dapur hasil sumbangan daripada orang ramai dan badan-badan bantuan seperti Food Bank dan Free Food for All.
Dana fidyah yang dikumpul oleh pihak masjid juga digunakan untuk menokok bekalan barangan dapur di ruang itu.
Ini termasuklah makanan asas seperti beras dan mi segera, makanan dalam tin, sardin, serta makanan ringan seperti biskut.
Setiap penerima bantuan pula boleh mengambil sebakul penuh barangan dapur yang dianggarkan cukup untuk bekalan seminggu.
Namun, bukan setakat memberi makanan, ia juga merupakan usaha Masjid Assyakirin
untuk mengenal pasti keluarga yang turut memerlukan bantuan-bantuan lain.
"Pantri Masyarakat@Masjid Assyakirin adalah sebuah pusat sehenti untuk mereka mendapatkan lebih banyak bantuan di peringkat nasional seperti contoh kalau kita dapati penerima pantri masyarakat belum lagi mendapat bantuan zakat, maka kami akan salurkan bantuan zakat," kata Pengerusi Eksekutif Masjid Assyakirin, Muhammad Hafiz Abdul Rashid.
Bagi merancakkan lagi sumbangan makanan kepada pantri tersebut, satu percubaan untuk memecahkan buku rekod Singapura akan diadakan di masjid berkenaan Sabtu ini (20 Jul), iaitu bagi jumlah pendermaan makanan terbanyak dalam tempoh empat jam oleh masyarakat Singapura.
Ini merupakan sebahagian daripada acara rumah terbuka yang akan diadakan oleh 12 buah masjid,dalam Kelompok Masjid Barat (WMC) pada hujung minggu ini (20 & 21 Jul).
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.