'Pantas, tak sakit': Vaksinasi kanak-kanak 9 hingga 11 tahun bermula hari ini
(Gambar: Ooi Boon Keong/TODAY)
SINGAPURA: Apabila Encik Sukhvinder Singh, 45 tahun, menerima kiriman mesej pada minggu lalu yang menyatakan bahawa anak perempuannya, 11 tahun, sudah layak untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19, beliau menempah janji temu bagi pihak anaknya dengan serta-merta.
Encik Singh berjaya mendapatkan salah satu slot pertama di pusat vaksinasi bagi kanak-kanak yang terletak di Kelab Masyarakat Pasir Ris Elias pada pukul 8.00 pagi pada Isnin (27 Dis) - hari pertama bagi vaksinasi untuk kanak-kanak berusia antara lima hingga 11 tahun.
Program vaksinasi itu dimulakan dengan kanak-kanak yang lebih tua, berusia sembilan hingga 11 tahun.
Dalam wawancaranya bersama Mediacorp pada sekitar 8.30 pagi hari ini - setengah jam selepas pusat vaksinasi itu dibuka - anaknya, Aisha, sudahpun menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech.
Hanya vaksin mRNA (asid ribonukleik pengutus) yang dihasilkan oleh firma farmaseutikal Amerika Syarikat Pfizer dan syarikat bioteknologi Jerman BioNTech diluluskan untuk kanak-kanak yang berusia antara lima hingga 11 tahun di Singapura.
"Prosesnya lancar. Kami tiba lebih awal, kerana fikir akan ada ramai ibu bapa dan kanak-kanak, tetapi prosesnya sangat lancar sekali," kata Encik Singh yang bekerja dalam industri marin.
Bagi pihak Encik Singh, beliau tidak berasa ragu-ragu semasa mendaftar untuk Aisha dan beliau juga tidak bimbang terhadap sebarang kesan sampingan yang mungkin dialami oleh anaknya.
Anak lelakinya yang berusia 17 tahun sudahpun divaksin dan tidak mengalami sebarang kesan sampingan.
Aisha pula berkata dia agak takut dengan jarum, tetapi suntikan itu tidak menyakitkan.
"Suntikan itu lebih baik daripada yang dijangkakan. Saya ingatkan suntikannya akan lebih menyakitkan," kata Aisha, bakal murid Darjah 6 di Sekolah Rendah Park View di Pasir Ris pada tahun depan.
Aisha adalah antara kumpulan pertama yang berusia antara sembilan hingga 11 tahun yang menerima suntikan vaksin tersebut sejak program vaksinasi itu dilancarkan di tujuh pusat vaksinasi kanak-kanak.
Enam lagi pusat vaksinasi kanak-kanak ditempatkan di Kelab Masyarakat Senja-Cashew di Bukit Panjang, Kelab Masyarakat Nanyang di Boon Lay, Hab Tampines Kita, Kelab Masyarakat Woodlands Galaxy, Kelab Masyarakat Nee Soon East dan juga Kelab Masyarakat Hougang.
Lapan lagi pusat vaksinasi kanak-kanak akan dibuka pada Januari.
Pagi tadi, kesemua sembilan pasangan ibu bapa dan anak-anak mereka yang ditemui Mediacorp di Kelab Masyarakat Pasir Ris Elias dan Senja-Cashew mengatakan bahawa proses vaksinasi berjalan lancar dan pantas.
Mediacorp juga tidak melihat sebarang barisan beratur di kedua-dua pusat tersebut.
Kanak-kanak juga berkata bahawa mereka berasa lebih selamat selepas disuntik vaksin dan ada juga yang ghairah untuk memberitahu orang lain bahawa mereka sudah divaksin.
Encik Shao Fay, Timbalan Pengarah Operasi di Raffles Medical, yang mengendalikan pusat vaksinasi di Kelab Masyarakat Pasir Ris Elias, turut mendedahkan bahawa kesemua 500 slot di pusat itu sudah ditempah sepenuhnya pada hari ini.
Pusat itu akan memvaksin kira-kira 500 kanak-kanak setiap hari pada Isnin dan Selasa (28 Dis). Jumlah itu dijangka akan dinaikkan kepada 800 sehari dan mulai Jumaat (31 Dis) pula, ia akan dinaikkan kepada 1,000 kanak-kanak sehari.
Setakat 9.30 pagi hari ini, 100 kanak-kanak sudahpun divaksin di pusat vaksinaksi tersebut dan kesemuanya tidak mengalami kesan sampingan yang buruk.
Mediacorp juga difahamkan bahawa berat badan kanak-kanak ditimbang sebelum mereka divaksin.
Menurut Encik Shao: "Berat badan mereka ditimbang untuk menentukan sama ada mereka melebihi 25kg atau bawah 25kg, kerana ini akan menentukan langkah-langkah yang patut diambil jika mereka tiba-tiba mengalami sebarang kesan sampingan. Terdapat perbezaan dari segi EpiPen yang kita perlukan."
EpiPen adalah sejenis peralatan yang digunakan untuk merawat alahan yang teruk.
Canagaradj Dev, murid berusia sembilan tahun dari Sekolah Rendah Westfield, yang ditemani ibunya, berkata: "Tadi, semasa berada di rumah, saya berasa gementar. Sekarang, saya okey kerana ia tidak begitu menyakitkan."
Seorang bapa dan pengkaji, Marcin Pawlack, 42 tahun, berkata faedah vaksin "lebih, lebih, lebih penting daripada potensi risiko vaksin".
Pada Ahad (26 Dis), Menteri Pendidikan Chan Chun Sing mendedahkan bahawa sekitar 40 peratus kanak-kanak sudahpun didaftarkan oleh ibu bapa atau pengasuh mereka untuk mendapatkan suntikan vaksin Pfizer-BioNTech.
Bagi peringkat kedua pendaftaran untuk murid-murid Darjah 1 hingga 3, kiriman mesej SMS akan dihantar kepada ibu bapa dan pengasuh para murid sekolah rendah dan madrasah, mulai 5 Januari.
Murid-murid lain dalam kumpulan umur yang sama akan menerima mesej tersebut mulai 6 Januari.
Lebih 300,000 kanak-kanak yang berusia antara lima hingga 11 tahun akan divaksin di bawah program imunisasi ini. Ia dibuka kepada kanak-kanak warga Singapura, Penduduk Tetap (PR) dan juga pemegang pas jangka panjang.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.