Skip to main content

Singapura

Pantai Palawan di Sentosa dibuka semula susuli pembersihan tumpahan minyak

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Selepas berbulan-bulan berusaha untuk membersihkan pantai dan perairan Singapura menyusuli tumpahan minyak di Pulau Sentosa, Pantai Palawan kini dibuka semula untuk aktiviti-aktiviti air.

“Kami teruja untuk mengumumkan bahawa aktiviti-aktiviti air sudah disambung semula di Pantai Palawan!”, umum Perbadanan Pembangunan Sentosa (SDC) dalam catatannya di Facebook. “Anda sudah boleh mendayung, meluncur ombak atau mengambil bahagian dalam kegiatan-kegiatan lain.”

Pengumuman itu dibuat menyusuli pembukaan semula Pantai Siloso pada 3 Ogos.

Pantai ketiga Sentosa, Pantai Tanjong, bagaimanapun, masih belum dibuka semula kepada mereka yang berharap untuk melakukan kegiatan-kegiatan air. “Aktiviti air di Pantai Tanjong akan disambung semula sebaik sahaja mutu air kembali ke paras normal,” menurut catatan Facebook SDC.

Aktiviti air di pantai-pantai di Sentosa, pulau-pulau di selatan Singapura dan Taman East Coast digantung selepas kapal berdaftar di Belanda, Vox Maxima melanggar kapal berdaftar di Singapura, Marine Honor di Terminal Pasir Panjang pada 14 Jun.

Kemalangan itu telah memecahkan salah satu tangki kargo minyak Marine Honor, melepaskan kira-kira 400 tan bahan api sulfur rendah ke dalam laut.

Tumpahan minyak dikesan di beberapa pantai termasuk di Sentosa dan Taman East Coast, serta pantai Kawasan Alam Semula Jadi Hutan Simpanan Labrador.

Selepas kerja-kerja pembersihan dijalankan, aktiviti-aktiviti air seperti berenang dan sukan laut kini dibenarkan disambung semula di Pantai Changi, Pulau Kusu (juga dikenali sebagai Pulau Tembakul) dan Pantai Eagle Bay di Pulau Lazarus (juga dikenali sebagai Pulau Sekijang Pelepah), selain Pantai Siloso.

Khidmat bot percuma untuk pelawat antara Sentosa Cove dan Pulau Sekijang Pelepah disediakan pada hujung minggu antara 17 Ogos dan 1 Sep.
Sumber : CNA/AT/at
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita