Panel usul kurangkan kelajuan PMD, wajibkan topi keledar
Para pengguna alat mobiliti peribadi seperti skuter dan basikal elektrik mungkin perlu memerlahankan kelajuan alat sedemikian semasa menunggangnya di laluan pejalan kaki jika Pemerintah menerima saranan yang diusulkan oleh sebuah panel penasihat.
SINGAPURA: Para pengguna alat mobiliti peribadi seperti skuter dan basikal elektrik mungkin perlu memerlahankan kelajuan alat sedemikian semasa menunggangnya di laluan pejalan kaki jika Pemerintah menerima saranan yang diusulkan oleh sebuah panel penasihat.
Para pengguna alat mobiliti peribadi (PMD) juga mungkin dikehendaki memakai topi keledar apabila menunggangnya di jalan raya, di bawah enam saranan baru yang dikemukakan oleh Panel Penasihat Mobiliti Aktif (AMAP) pada Jumaat (24 Ogos).
Panel tersebut turut menyarankan agar had kelajuan alat-alat sedemikian di laluan pejalan kaki diturunkan dari 15 kilometer sejam (km/j) kepada 10km/j. Ini supaya para penunggang mempunyai lebih banyak masa untuk mengelakkan kemalangan dan mengurangkan kesan kecederaan jika berlaku kemalangan, kata pengerusi panel berkenaan, Muhammad Faishal Ibrahim dalam catatan Facebook pada Jumaat.
Panel berkenaan juga menyarankan untuk mewajibkan amalan "berhenti dan memantau lalu lintas" di simpang jalan untuk mengurangkan risiko berlaku kemalangan.
Di bawah saranan itu, kerusi roda bermotor dan skuter mobiliti juga tertakluk kepada kelajuan maksimum 10km/j.
Menurut Dr Faishal, saranan-saranan terbaru itu dibuat selepas maklum balas awam yang menerima lebih 6,000 respons, perbincangan berkumpulan, maklum balas daripada kira-kira 100 peserta tinjauan dan "pelbagai pendampingan industri".
Kemudahan sedia ada untuk menuntut pampasan juga perlu dijadikan lebih mudah bagi mangsa kemalangan alat mobiliti aktif, dan untuk menggalak insurans liabiliti pihak ketiga, katanya.
Panel tersebut bagaimanapun memutuskan untuk tidak mewajibkan pembelian insurans pihak ketiga, kerana merasakan tumpuan lebih besar harus diberikan kepada usaha mencegah kemalangan.
Daya usaha pendidikan bagi kedua-dua pejalan kaki dan pengguna alat mobiliti mengenai penggunaan laluan awam dan jalan raya dengan selamat juga perlu ditingkatkan, kata Dr Faishal.
Kementerian Pengangkutan (MOT) menyatakan dalam satu kenyataan berasingan bahawa pihaknya sudah menerima saranan panel itu.
"MOT akan mengkaji saranan dan akan memberikan respons dalam masa terdekat," menurut kenyataan MOT.
Pada bulan Februari, panel penasihat menyarankan pendaftaran wajib bagi e-skuter ubagi mencegah penggunaan yang tidak bertanggungjawab. Pemerintah menerima saranan itu sambil mendedahkan bahawa pendaftaran bagi alat sedemikian akan dikuatkuasakan menjelang akhir tahun ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.