Panel semakan kes Megan Khung: Beberapa kelemahan dikesan dalam cara agensi terlibat tangani kes
Beberapa kelemahan ditemui dalam cara bagaimana beberapa agensi mengendalikan kes Megan Khung, kanak-kanak berusia empat tahun yang meninggal dunia pada Februari 2020 akibat didera.
Demikian kesimpulan sebuah panel semakan yang dilantik Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) untuk menyemak tindakan, protokol dan proses agensi-agensi terlibat.
Menyusuli semakan tersebut, dua pegawai polis telah dikenakan tindakan disiplin manakala
seorang pegawai perlindungan kanak-kanak dari MSF sedang disiasat.
Megan didera oleh ibunya Foo Li Ping bersama teman lelakinya Brian Wong selama lebih setahun sebelum meninggal dunia.
Kematiannya terbongkar apabila bapa kandung dan neneknya membuat laporan polis.
Pegawai penyiasat tersebut telah memaklumkan kepada pegawai bertanggungjawab terhadap pasukan bertugas bahawa beliau akan menghubungi dan menjejaki Foo.
Oleh itu, pegawai yang bertanggungjawab tidak membangkitkan laporan itu untuk dibincangkan dalam sesi semakan kes berkala bersama penyelia pada keesokan harinya.
Pegawai penyiasat tersebut cuba menjejaki Foo dan Megan selama kira-kira dua minggu tetapi tidak berjaya dan kemudian telah dikerahkan bagi tugasan berkaitan COVID-19 dan tidak membuat susulan lanjut terhadap kes itu.
“Kegagalan pegawai penyiasat dan pegawai yang bertanggungjawab mematuhi proses yang ditetapkan telah menghalang tindakan yang tepat dan segera terhadap laporan pertama itu,” menurut laporan tersebut.
7 SARANAN DIBERIKAN
Bagi memperkukuh sistem perlindungan kanak-kanak di masa hadapan, panel semakan membentangkan tujuh saranan.
1) Semua kes penderaan kanak-kanak harus dikendalikan oleh agensi pengurusan kes perlindungan kanak-kanak yang ada cukup sumber
Kes Megan menekankan betapa rumitnya kes penderaan kanak-kanak serta situasi dinamik yang dihadapi oleh agensi-agensi dalam mengendalikan kes-kes sebegini.
Maka itu, panel mencadangkan agar semua kes penderaan kanak-kanak diuruskan oleh agensi-agensi pengurusan kes perlindungan kanak-kanak.
Ini bermakna semua pihak lain harus memberi tumpuan kepada mengesan dan melaporkan kemungkinan kes penderaan kanak-kanak dengan segera, supaya kes tersebut boleh diuruskan oleh agensi pengurusan kes perlindungan kanak-kanak.
Ini akan mewujudkan sistem yang lebih telus dan kukuh, supaya kes-kes yang disyaki dapat dikesan awal dan dilaporkan kepada agensi pengurusan kes perlindungan kanak-kanak secepat mungkin.
2) Mekanisme rayuan perlu diwujudkan bagi tangani kes di mana ada perbezaan pandangan terhadap tahap risiko dan pengurusan kes
Panel menyatakan bahawa terdapat kemungkinan wujudnya pandangan yang berbeza sama ada sesuatu kes perlu dirujuk dan tindakan perlu diambil.
Harus ada satu cara untuk menyelesaikan perbezaan pandangan ini secara "cepat dan muktamad", supaya semua kes mendapat perhatian yang sewajarnya.
Dalam situasi di mana terdapat pandangan yang berbeza mengenai tahap risiko dan pengurusan kes antara agensi yang membuat laporan, harus ada satu mekanisme objektif untuk mengkaji semula keputusan tersebut, tanpa mengira pihak yang terlibat.
3) MSF perlu menilai semula peranan ECDA dalam menyaring kes perlindungan kanak-kanak yang melibatkan ahli keluarga.
Panel mendapati bahawa pegawai pelesenan ECDA bukanlah pakar perlindungan kanak-kanak yang terlatih.
Mereka mungkin tidak mempunyai kepakaran untuk membimbing prasekolah tentang cara mengendalikan kes penderaan yang disyaki.
Oleh itu, panel mencadangkan agar MSF menyemak semula bagaimana kes berisiko sederhana yang tiada kecederaan ketara atau tanda ancaman segera terhadap keselamatan kanak-kanak perlu diuruskan dengan cara terbaik untuk menjaga kebajikan kanak-kanak tersebut.
4) Salah tanggap bahawa hanya ahli keluarga boleh buat laporan polis mengenai kehilangan kanak-kanak perlu diperbetulkan
Panel tersebut menyatakan bahawa terdapat salah faham di kalangan para profesional dalam sektor sosial dan pendidikan, bahawa hanya ahli keluarga sahaja yang boleh membuat laporan polis mengenai kanak-kanak yang hilang.
Undang-undang tidak menghadkan siapa yang boleh membuat laporan polis, dan sesiapa yang mempunyai maklumat mengenai jenayah atau aktiviti mencurigakan boleh berbuat demikian.
Panel mencadangkan agar MSF bekerjasama dengan SPF untuk mengambil langkah meningkatkan kesedaran dan memperbetulkan salah faham ini, serta meneliti cara untuk mewujudkan budaya dan persekitaran di mana para profesional perkhidmatan sosial berasa selamat dan disokong dalam membuat laporan kemungkinan kes penderaan kanak-kanak.
Panel berpendapat bahawa pengajaran berharga yang diperoleh daripada insiden kritikal harus dikongsi “supaya ekosistem perlindungan kanak-kanak akan terus berkembang dan maju secara profesional.”
Panel mencadangkan agar MSF menyediakan struktur dan ruang yang selamat untuk mempromosikan pembelajaran di kalangan pihak berkepentingan dalam ekosistem dan sektor tersebut, bagi membolehkan pembelajaran secara kolektif di kalangan pihak berkepentingan.
6) Profesional yang bekerja dengan kanak-kanak perlu lebih peka terhadap isu keselamatan kanak-kanak.
Semua profesional yang bekerja dengan kanak-kanak termasuk agensi masyarakat dan prasekolah yang bukan agensi pengurusan kes perlindungan kanak-kanak perlu didedahkan dan memahami isu-isu berkaitan keselamatan kanak-kanak, menurut panel tersebut.
Memandangkan sifat kerja mereka, mereka sepatutnya biasa dengan sistem laporan kes.
MSF juga telah memperluaskan latihan kesedaran mengenai keganasan rumah tangga untuk melengkapkan orang ramai di sektor awam, privet, dan masyarakat supaya dapat mengenal pasti dan melaporkan tanda-tanda keganasan dan penderaan rumah tangga, tambah panel tersebut.
7) Budaya sokongan yang lebih kukuh perlu dipupuk bagi mereka yang terlibat dalam tugas perlindungan kanak-kanak.
Perlindungan kanak-kanak adalah bidang kerja yang sukar dan para profesional sering menghadapi tekanan yang besar ketika mengendalikan kes-kes yang kompleks, menurut laporan itu.
Walaupun terdapat usaha untuk menyokong kesejahteraan mereka, “masih ada ruang untuk memperluaskan sokongan ini dan semua lapisan masyarakat harus meningkatkan sokongan yang diberikan kepada para profesional yang terlibat dalam kerja perlindungan kanak-kanak.”
Ahli panel semakan, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan MENDAKI, Zuraidah Abdullah, menekankan bahawa banyak yang boleh dipelajari daripada tragedi untuk memperkukuh usaha melindungi kanak-kanak.
"Semakan ini dipandukan dengan tiga prinsip, pertama memastikan kesejahteraan dan keselamatan anak-anak kita, kedua keluarga memainkan peranan penting bagi keselamatan anak-anak kita. Ketiga, kita memerlukan penglibatan menyeluruh sebagai sebuah masyarakat.
"Tujuan kami ialah untuk belajar daripada kejadian ini, supaya kita dapat perbaiki ekosistem untuk lindungi anak-anak kita dan lakukan yang lebih baik sebagai sebuah masyarakat," kata Cik Zuraidah.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.