Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Panel pimpinan belia bantu pemerintah dengan idea dasar akan ada 20-30 ahli

Anggaran Waktu Membaca:
SINGAPURA: Sekitar 20 hingga 30 belia akan menyertai setiap satu daripada dua atau tiga panel yang akan ditubuhkan tahun ini, bagi memberi pandangan mereka mengenai dasar-dasar pemerintah.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong berkata demikian semasa satu sesi dialog pada Rabu (24 Mei) yang bertujuan memberikan perincian lanjut mengenai panel-panel sedemikian yang dipimpin oleh golongan belia.

Penubuhan panel-panel tersebut diumumkan di Parlimen pada bulan lalu.

Lebih 90 belia berusia antara 15 hingga 35 tahun hadir di Dialog Belia Kebangsaan itu.

Sewaktu sesi itu, Encik Tong menerangkan bagaimana panel tersebut akan dijalankan.

Pertama, belia akan diberikan maklumat mengenai cabaran seperti pertimbangan bajet, memastikan bahawa mereka yang tidak dilindungi oleh dasar tidak terjejas secara negatif dan dasar itu boleh bertahan selama jangka masa yang panjang.

“Seterusnya, anda boleh berkongsi dengan kami bagaimana golongan belia melihatnya dari perspektif anda, dan berkongsi data… dan itu akan mewakili populasi belia dengan adil dan pandangan mereka,” kata Encik Tong.

"Dari situ, anda boleh mula cadangkan penyelesaian, peralihan dasar, pelarasan atau memperbaiki sesuatu yang boleh membuat perubahan... Itulah proses yang saya ingin lihat."

Dalam ucapan pembukaannya, Encik Tong juga memberi amaran kepada belia bahawa ia "akan memerlukan kerja keras dan mengambil masa serta ia akan mencabar".

Bagaimanapun, beliau menggalakkan golongan belia supaya tidak lari daripada cabaran itu.

Acara tersebut diadakan di Galeri Nasional dan dianjurkan oleh Majlis Belia Kebangsaan serta rangkaian akar umbi, Global Shapers Community.

Encik Tong berkata topik-topik perbincangan bagi setiap panel akan didedahkan dalam tempoh dua hingga tiga bulan mendatang.

Antara topik-topik yang menarik minat para peserta adalah seperti kos sara hidup, isu-isu alam sekitar dan kesihatan mental.
Sumber : Today/HA/hy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan