Panel penasihat usul sistem pengangkutan darat lebih mesra keluarga
Panel Penasihat Pengangkutan Mesra Keluarga membentangkan saranannya bagi sistem pengangkutan lebih inklusif kepada Menteri Negara Kanan Pengangkutan Lam Pin Min hari ini (30 Apr).
SINGAPURA: Panel Penasihat Pengangkutan Mesra Keluarga membentangkan saranannya bagi sistem pengangkutan lebih inklusif kepada Menteri Negara Kanan Pengangkutan Lam Pin Min hari ini (30 Apr).
Panel tersebut yang ditauliahkan oleh Pemerintah pada bulan Jun tahun lalu untuk mendapatkan maklum balas daripada pihak-pihak berkepentingan, menyenaraikan 22 saranan berdasarkan tiga teras utama iaitu keseimbangan, kemungkinan ia dilaksanakan dan kecekapan kos.
Antara saranannya adalah untuk membenarkan penumpang yang membawa kereta sorong bayi mengimbas kad EZ-Link mereka pada mesin di pintu belakang bas dan memasang sistem penahan kereta sorong yang mesra pengguna di dalam bas-bas awam.
Panel itu juga mengusulkan agar para pemandu bas dilatih memandu lebih rapat dengan bendul jalan apabila mengambil dan menurunkan penumpang warga tua selain menyarankan agar ciri-ciri baru diperkenalkan untuk memenuhi keperluan warga tua dengan lebih baik. Ini seperti meletakkan had ketinggian pada tangga.
Saranan lain termasuk memerlukan semua tempat menunggu teksi dijadikan bebas hadangan. Ia juga menggesa supaya lebih banyak papan tanda disediakan bagi memudahkan para ibu bapa mencari bilik menyusu dan menyalin lampin serta mengemas kini aplikasi pengangkutan bagi memaklumkan tentang kerja-kerja penyenggaraan lif - baik yang dijadual mahupun tidak dijadualkan.
Panel tersebut juga menyarankan cara-cara untuk menjadikan ruang pengangkutan awam lebih mesra keluarga, dengan menyarankan agar 'bilik senyap' (quiet room) diadakan di stesen-stesen MRT, pusat pertukaran bas dan hab pengangkutan bersepadu buat para penumpang berkeperluan khas.
Ia menambah, kesedaran perlu ditingkatkan, bahawa para penumpang berkeperluan khas mungkin meminta mereka dikecualikan daripada membayar denda kerana melebihi had masa.
Panel tersebut menekankan pentingnya memenuhi keperluan golongan yang mempunyai masalah kurang upaya yang tidak dilihat secara fizikal. Ia menyarankan supaya kegiatan pendidikan awam diadakan untuk meningkatkan kesedaran tentang mereka dan menyatakan tempat duduk utama (priority seat) perlu diberikan kepada para penumpang yang mengalami kurang keupayaan fizikal, mental, intelektual atau deria untuk jangka panjang.
Mempengerusikan bersama panel tersebut ialah Richard Magnus, yang juga Pengerusi Majlis Pengangkutan Awam dan Encik Sitoh Yih Pin, Pengerusi Jawatankuasa Parlimen Pemerintah bagi Pengangkutan.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.