Panel bebas 5 anggota dilantik untuk bimbing pasukan bertindak keandalan rel SG
Pasukan bertindak keandalan rel yang ditubuhkan untuk menangani gangguan khidmat baru-baru ini telah melantik panel penasihat bebas seramai lima anggota dengan para pakar dari seluruh rantau ini.
Para penumpang di stesen MRT Farrer Park selepas gangguan elektrik menjejas khidmat MRT di Laluan Timur Laut pada 12 Ogos 2025. (Gambar: CNA/Koh Wan Ting)
Mereka termasuk tokoh-tokoh yang berpengalaman di MTR Corporation dari Hong Kong, Metro Group dari Guangzhou dan pengeluar kereta api Thales.
Pasukan petugas itu terdiri daripada Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) serta SMRT dan SBS Transit. Ia akan melaporkan dapatannya kepada Pemangku Menteri Pengangkutan Jeffrey Siow secara berkala dan mengemukakan saranan-saranannya menjelang hujung tahun ini.
Dalam kenyataan medianya pada Isnin (6 Okt), LTA, SMRT dan SBS Transit menyatakan bahawa panel itu akan memberikan panduan strategik, kepakaran teknikal dan pendapatnya.
Kelima-lima anggota itu adalah "pemimpin berpengalaman" yang telah memegang peranan utama kejuruteraan dan pengurusan dalam sektor rel di seluruh dunia.
"Gabungan pengalaman mereka meliputi bidang-bidang kritikal seperti operasi, pengurusan dan penyenggaraan sistem rel teras - kepakaran penting untuk memastikan rangkaian rel yang selamat, cekap dan diyakini," tambah mereka.
Lima anggota panel tersebut ialah:
Dr Tony Lee Kar Yun
Dr Lee mempunyai pengalaman luas dalam bidang 'rolling stock', operasi dan penyenggaraan, menurut LTA serta SMRT dan SBS Transit.
Beliau kini anggota Hong Kong Institution of Engineers dan memegang jawatan profesor di Universiti Beijing Jiaotong.
Dr Lee pernah menjadi pengarah operasi dan inovasi di Mass Transit Railway Hong Kong. Beliau mengurus dan menyelia prestasi dan pengurusan aset berkaitan kereta api, perancangan dan pembangunan operasi projek kereta api, keselamatan dan mutu operasi.
Patrick Bauchart
Encik Bauchart pakar dalam bidang teknologi isyarat dan pengangkutan.
Sebagai mantan naib presiden Thales bagi isyarat rel bandar di Asia, beliau terlibat dalam projek-projek utama di seluruh dunia, termasuk Perancis, Thailand dan Singapura.
Dr Cai Chang Jun
Kepakaran Dr Cai adalah dalam bidang operasi dan penyenggaraan.
Beliau kini memegang jawatan naib pengerusi Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Nasional China untuk Keselamatan Sistem dan Jaminan Operasi Rel Bandar.
Beliau juga merupakan timbalan pengurus besar Guangzhou Metro Group dari Januari 2017 hingga Ogos 2025, dan beliau menyelia pengurusan operasi kereta api bawah tanah dan antara bandar, sistem elektrik, sistem pemeriksaan keselamatan, pembinaan laluan baharu dan perniagaan peralatan kenderaan.
Profesor Tsay Huel-Sheng
Prof Tsay juga pakar dalam bidang operasi dan penyenggaraan.
Beliau juga anggota penasihat Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional Taiwan dan pernah memegang jawatan sebagai pengerusi dan presiden Taipei Rapid Transit Corporation.
Beliau juga merupakan ketua pengarah Jabatan Sistem Transit Rapid Taipei.
Encik Kon Shinichiro
Encik Shinichiro memberi tumpuan kepada sistem bekalan tenaga.
Beliau kini pengarah eksekutif urusan Meidensha Corporation di Jepun. Syarikat itu menyediakan sistem bekalan tenaga untuk sistem Shinkansen dan kereta api bawah tanah Jepun, serta sistem 'rapid transit' di Asia Tenggara dan Timur Tengah.
Beliau sebelum ini merupakan pengarah urusan Meiden Singapore dan terlibat dalam pelbagai projek MRT di Singapura antara 2009 dan 2014 sebagai jurutera reka bentuk dan pengurus sistem bekalan tenaga.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.