Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Panel baru akan dilancar hujung tahun ini; galak belia usul dasar kepada pemerintah

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Satu inisiatif baru untuk belia mengusulkan saranan-saranan bagi dijadikan sebagai dasar negara bakal dilancarkan lewat tahun ini, umum Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Edwin Tong pada Jumaat (21 Apr). 

Diberi nama Panel Belia, ia akan diterajui oleh anak-anak muda dengan sokongan Majlis Belia Kebangsaan (NYC) dan agensi-agensi pemerintah yang lain. 

"Mereka akan memikirkan tentang topik atau dasar yang dekat di hati belia hari ini," kata Encik Tong. 

"Kami akan berkongsi pertimbangan dan manfaat dasar, bertukar-tukar data dan paling penting sekali, memikirkan bersama mereka tentang soalan-soalan itu.

"Justeru, kami akan mewujudkan ruang bagi anak muda kita menerajui rundingan dan melakar saranan." 

Encik Tong, yang juga Menteri Kedua Undang-Undang, berkata demikian pada hari kelima perbahasan parlimen tentang Amanat Presiden Halimah Yacob, yang menggariskan agenda baki penggal pemerintah.

Menteri itu berkata, belia penting bagi mencarta hala tuju Singapura. 

Belia juga, menurut Encik Tong, ingin melibatkan diri dalam pembangunan negara dan mengharapkan "lebih banyak maklumat" mengenai bagaimana maklum balas dan saranan mereka bagi dasar-dasar akan dipertimbangkan oleh pemerintah. 

Melalui inisiatif baru ini, Encik Tong berkata, pihak berkuasa berharap untuk mendampingi golongan belia dalam "perbincangan yang membina dan bermakna". 

Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) boleh "membuat pertimbangan untuk mengusulkan Kertas Putih atau Hijau" agar saranan-saranan itu boleh dibahaskan di Parlimen. 

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan