Panduan baharu bagi pihak minat tubuh Kumpulan Kesejahteraan Kesihatan Mental dilancarkan

(Gambar: Facebook/Alvin Tan)
SINGAPURA: Satu panduan baharu bagi mereka yang minat untuk menubuhkan Kumpulan Kesejahteraan Kesihatan Mental sendiri dilancarkan pada Sabtu (16 Nov).
Ia adalah sebahagian daripada usaha Rangkaian Kesejahteraan Kesihatan Mental Singapura untuk mengukuhkan bantuan kesihatan mental dalam masyarakat.
Kumpulan kesejahteraan, yang merupakan ruang selamat bagi individu untuk meluahkan masalah mereka sudah membantu kira-kira 3,000 orang sejak 2022.
Kumpulan itu juga membantu mengurangkan stigma berkaitan isu kesihatan mental, kata Menteri Negara Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Alvin Tan.
Berucap di acara tersebut, beliau menambah bahawa ia juga dapat membantu melatih individu menjadi sokongan rakan.
"Jika anda mempunyai rakan, anggota keluarga, anak atau sesiapa sahaja yang anda kenal, yang mungkin mempunyai masalah dengan kesihatan mental dan kesejahteraan mental, anda tidak boleh katakan 'Berdepan masalah ini, atasi masalah ini'," kata Encik Tan.
"Malah, apa yang anda perlu lakukan jika mereka menyediakan kemahiran penting sebagai sokongan rakan adalah dengan berkata, 'Mungkin ia sukar, saya faham, saya boleh berempati'."
Setakat ini, terdapat 12 kumpulan sedemikian di Singapura.
Ia terdiri daripada pemimpin masyarakat dan sukarelawan yang bekerjasama dengan pertubuhan kesihatan mental untuk menganjurkan program tertentu yang membantu masyarakat.
Panduan tersebut adalah panduan praktikal yang mengandungi amalan terbaik serta pengajaran daripada Kumpulan Kesejahteraan sedia ada.
Juga diumumkan di karnival YOUth Alive! adalah pemenang pertandingan Video Pendek Kreatif, yang menyaksikan peserta berkongsi cerita tentang kesihatan mental di media sosial.
“Video yang saya cipta ini dimuat naik di TikTok, dan ia adalah video pendek yang berkongsi pelbagai cara orang boleh melakukan penjagaan diri rumah, dan ia adalah aktiviti yang sangat mudah," kata pemenang pertandingan Video Pendek Kreatif, Pay Xin Yi.
"Jadi saya berharap melalui video ini, lebih ramai orang benar-benar tahu tentang cara yang berbeza mereka boleh melakukan penjagaan diri dan tidak rasa terteka serta membebaskan diri mereka," tambahnya.
Encik Tan, yang menyifatkan usaha sokongan belia sebagai "sangat penting", berkata bahawa belia memainkan peranan dalam mencipta kandungan di media sosial dan meningkatkan kesedaran terhadap sokongan rakan kesihatan mental.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.