Skip to main content

Singapura

Panduan bagi pelawat yang ingin lakukan perjalanan ke S'pura melalui VTL

Singapura sudah mula membuka semula sempadannya kepada pelawat sedang negara ini meneruskan rancangan untuk hidup bersama COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Panduan bagi pelawat yang ingin lakukan perjalanan ke S'pura melalui VTL

Pintu masuk dewan pelepasan di Terminal 3 Lapangan Terbang Changi. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

SINGAPURA: Singapura sudah mula membuka semula sempadannya kepada pelawat sedang negara ini meneruskan rancangan untuk hidup bersama COVID-19.

Pelawat dari lebih banyak negara kini boleh menjalani Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) di tempat tinggal masing-masing manakala pelawat dari negara-negara tertentu boleh memasuki Singapura menerusi laluan perjalanan penumpang yang sudah divaksin (VTL) tanpa perlu menjalani kuarantin.

Dengan lagi tiga VTL dijadual dibuka dalam beberapa hari akan datang, berikut adalah syarat yang perlu diketahui pelawat asing yang ingin memasuki Singapura menerusi aturan bebas kuarantin.

SIAPA YANG BOLEH MASUK S'PURA MENERUSI VTL?

Setakat 28 Oktober, Singapura mengumumkan laluan VTL bersama 13 negara. Pelawat perlu memasuki Singapura menggunakan penerbangan khas.

Mereka juga harus lengkap disuntik dengan vaksin di bawah senarai kegunaan kecemasan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekurang-kurangnya dua minggu sebelum tiba di Singapura.

Kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah yang belum divaksin dibenarkan untuk melakukan perjalanan ke Singapura melalui VTL selagi mereka ditemani seorang pelawat yang lengkap divaksin.

Laluan perjalanan bersama Brunei, Kanada, Denmark, Perancis, Jerman, Itali, Belanda, Sepanyol, United Kingdom dan Amerika Syarikat sudah dibuka. Skim itu diperluas kepada pelawat dari Australia dan Switzerland pada 8 November dan kepada Korea Selatan pada 15 November.

Bagi Australia, perjalanan dua hala itu akan hanya dibuka kepada rakyat yang sudah lengkap divaksin, penduduk tetap dan keluarga mereka disebabkan oleh sekatan sempadan di negara itu.

Di bawah skim VTL, pelawat harus kekal berada di satu atau lebih negara-negara VTL sepanjang tempoh 14 hari sebelum berlepas ke Singapura.

BAGAIMANA UNTUK BUKTIKAN STATUS VAKSINASI SAYA?

Di Singapura, penduduk menggunakan aplikasi TraceTogether atau HealthHub untuk membuktikan status vaksinasi masing-masing, jadi ia penting bagi pelawat untuk memastikan rekod vaksinasi mereka tertera pada salah satu aplikasi itu.

Untuk berbuat demikian, mereka harus menunjukkan bukti vaksinasi kepada pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di pusat pelepasan imigresen pada ketibaan.

Bukti vaksinasi itu harus disediakan dalam bentuk dokumen vaksinasi yang asli yang secara jelas memaparkan jenis vaksin yang diambil dan tarikh ia diambil. Dokumen itu juga harus dalam Bahasa Inggeris atau dialih bahasa kepada Bahasa Inggeris oleh seorang penyedia khidmat pengalih bahasa, kedutaan atau notari awam.

Sebaik sahaja ia disahkan, rekod vaksinasi mereka akan dimasukkan ke dalam aplikasi TraceTogether atau HealthHub.

Oleh kerana TraceTogether merupakan aplikasi penjejakan kontak Singapura, pelawat perlu memuat turun aplikasi itu dan membuat pendaftaran menggunakan nombor pasport mereka.

Aplikasi itu membolehkan pelawat memasuki tempat seperti hotel, pusat beli-belah, restoran dan daya tarikan pelancong - atau mana-mana tempat di bawah langkah pengurusan selamat berdasarkan status vaksinasi.

Pelawat perlu maklum bahawa status lengkap divaksin itu hanya sah untuk tempoh 30 hari.

Pelawat yang memerlukan aturan status lengkap divaksin bagi tempoh lebih 30 hari boleh pergi ke sebuah penyedia jagaan kesihatan privet atau Klinik Persediaan Kesihatan Awam (PHPC) untuk mengambil ujian serologi. Jika keputusan ujian serologi positif, rekod vaksinasi pelawat berkenaan akan dimasukkan ke dalam Pendaftaran Vaksinasi Nasional dan status lengkap divaksin dikekalkan.

APA LAGI YANG PERLU DILAKUKAN SEBELUM BERLEPAS KE S'PURA?

Pelawat jangka pendek dan pemegang pas jangka panjang yang melakukan perjalanan ke Singapura mesti memohon bagi Pas Perjalanan Pelawat Lengkap Divaksin (VTL) antara tempoh tujuh dengan 60 hari sebelum mereka merancang untuk ke Singapura.

Mereka yang memerlukan visa untuk memasuki Singapura perlu membuat permohonan visa dahulu.

Semua pelawat jangka pendek yang melakukan perjalanan ke Singapura menerusi VTL mesti mempunyai insurans perjalanan dengan perlindungan tidak kurang S$30,000 bagi sebarang bayaran perubatan berkaitan COVID-19.

Insurans itu boleh dibeli daripada syarikat-syarikat insurans yang berpangkalan di Singapura atau di luar negara.

Meskipun pelawat VTL tidak perlu menjalani kuarantin di Singapura, mereka masih perlu menunggu keputusan ujian tindak balas berantai polimerase (COVID-19) pada ketibaan sebelum boleh meneruskan dengan aktiviti masing-masing di Singapura.

Justeru, pelawat perlu mengatur tempat penginapan untuk menjalani pengasingan kendiri di Singapura bagi menunggu keputusan itu, di mana ia akan diberikan dalam masa 24 jam. Tempat penginapan itu termasuk kediaman, hotel atau apartmen sewa.

Pelawat juga harus mendaftar dan membuat bayaran dahulu bagi ujian PCR COVID-19 pada ketibaan. Jika tidak, mereka perlu membayar bagi ujian-ujian itu pada ketibaan dan mungkin berdepan kelengahan dalam menjalani ujian PCR dan masa meninggalkan lapangan terbang.

Dalam masa tiga hari sebelum mereka tiba di Singapura, pelawat harus menghantar Kad Ketibaan SG yang mengandungi perisytiharan sejarah perjalanan dan kesihatan sebelum perjalanan.

Semua pelawat kecuali mereka yang berusia dua tahun dan ke bawah perlu mengambil ujian PCR sebelum pelepasan dalam tempoh 48 jam sebelum mereka bertolak ke Singapura. Ujian itu mesti dijalankan di sebuah kemudahan ujian diluluskan atau bertauliah di negara asal mereka.

Pelawat harus menangguhkan perjalanan mereka jika mereka mengalami gejala COVID-19 atau didiagnos atau disyaki dijangkiti COVID-19 dalam tempoh 14 hari sebelum berlepas ke Singapura.

Mereka juga harus menunda perjalanan mereka jika telah berhubung rapat dengan pesakit COVID-19 dalam tempoh 10 hari sebelum berlepas ke Singapura.

APA YANG PERLU DILAKUKAN APABILA TIBA DI S'PURA?

Selepas melepasi imigresen, pelawat harus terus pergi ke kemudahan pengasingan kendiri mereka dengan menaiki pengangkutan privet, teksi atau khidmat sewa kereta privet. Mereka juga tidak dibenarkan menaiki pengangkutan awam.

Pelawat hanya dibenarkan meninggalkan kemudahan pengasingan kendiri setelah menerima keputusan negatif ujian PCR. Mereka akan dimaklumkan melalui panggilan telefon atau emel. Mereka juga oleh memeriksa keputusan masing-masing melalui aplikasi TraceTogether.

Jika pelawat itu diuji positif COVID-19, mereka akan menerima rawatan perubatan yang tertakluk pada bayaran rawatan perubatan ketika itu.

APA YANG BOLEH SAYA LAKUKAN DI S'PURA?

Tiada sekatan dikenakan terhadap tempat-tempat dan jadual pelawat di Singapura, namun mereka perlu mematuhi langkah pengurusan selamat COVID-19 sedia ada.

Perhimpunan sosial dihadkan kepada tidak lebih dua orang di bawah Fasa Penstabilan sekarang sehingga 21 November. Peraturan dua sekumpulan juga tertakluk bagi aktiviti makan luar di kedai makanan dan minuman (F&B) serta aktiviti di luar.

Lebih banyak maklumat tentang VTL boleh diperolehi menerusi laman ICA. 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita