Skip to main content

Singapura

Pandemik COVID-19 bertukar jadi 'endemik': Apa kesannya terhadap kehidupan kita?

Virus COVID-19 tidak akan lenyap begitu sahaja walaupun selepas semua penduduk menjalani vaksinasi. Sebaliknya, COVID-19 dijangka akan menjadi endemik.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Virus COVID-19 tidak akan lenyap begitu sahaja walaupun selepas semua penduduk menjalani vaksinasi. Sebaliknya, COVID-19 dijangka akan menjadi endemik.

Itulah penilaian para pemimpin Singapura termasuk Perdana Menteri Lee Hsien Loong sejak beberapa minggu lalu.

Dalam ucapannya kepada seluruh negara pada 31 Mei, PM Lee berkata COVID-19 akan "terus berlegar-legar dalam kelompok-kelompok kecil" sementara Menteri Kesihatan Ong Ye Kung dalam sidang media Pasukan Bertindak Berbilang Kementerian pada minggu lalu turut mengutarakan hujah yang sama.

Persoalannya, apakah itu endemik berbanding pandemik dan bagaimana ia akan menjejas kita?

Related article image
(Gambar fail: TODAY)

WABAK COVID-19 MENJADI SEPERTI DEMAM DENGGI, H1N1

COVID-19 kini masih satu pandemik. Jika kita meletakkannya pada sebuah skala, ia adalah peringkat paling tinggi di mana penularan wabak berlaku di banyak negara merata dunia.

Setakat Selasa (22 Jun), lebih 178 juta kes disahkan dan hampir 3.9 juta kematian akibat COVID-19 dicatatkan. Sungguhpun demikian, COVID-19 boleh bertukar menjadi endemik sekiranya keadaan bertambah baik.

"Jika COVID-19 menjadi endemik, bermakna masih ada kes COVID-19 dalam masyarakat tetapi jumlahnya amat kecil dan stabil seperti demam denggi ataupun demam H1N1," jelas pengarah Banyan Clinic Dr Elly Sabrina Ismail kepada BERITAmediacorp.

Misalnya, selesema H1N1 diisytiharkan sebagai pandemik pada 2009 tetapi ia menjadi endemik selepas setahun - hasil program vaksinasi yang meluas.

Related article image

(Gambar fail: Elly Sabrina/Facebook)

"Dan ini (endemik) bermakna mungkin kita dapat menikmati kehidupan seperti pra-COVID tetapi dengan masih mempraktikkan langkah-langkah kesihatan awam," tambah Dr Elly yang juga merupakan Anggota Persatuan Karyawan Jagaan Kesihatan Muslim (MHPA​).

MASIH PERLU PAKAI PELITUP ATAU TIDAK?

Langkah-langkah kesihatan awam yang perlu diambil jika COVID-19 menjadi endemik, terang Dr Elly, termasuklah menjaga jarak selamat, memakai pelitup dan juga memantau kesihatan masing-masing.

"Mungkin ada sedikit kelonggaran dari segi pemakaian pelitup. Mungkin kita tidak perlu pakai pelitup apabila berada di kawasan yang terdedah atau tidak tertutup. Tetap perlu pakai pelitup di tempat-tempat berhawa dingin," katanya lagi.

Related article image

Di antara tahap pandemik dan tahap endemik termasuklah tahap yang dipanggil epidemik. Di peringkat epidemik, kes COVID-19 masih boleh melonjak tanpa disangka-sangka. Sama seperti penularan wabak-wabak lain yang pernah berlaku sebelumnya, ia berlaku pada peringkat fasa peralihan sebelum sesebuah pandemik itu menjadi endemik.

"(Maka itu) adalah penting untuk menjadikan pengesanan kes, pengesanan kontak dan juga ujian COVID-19 sebagai sesuatu yang lumrah. Ini kerana kita perlu kesan kes-kes yang tersembunyi dalam masyarakat dan kemudian merawatnya dengan cepat," jelas Dr Elly.

Lebih penting lagi adalah "masyarakat harus meneruskan imunisasi secara kerap".

Related article image
(Gambar fail: Reuters)

(Gambar fail: Reuters)

"Sebagaimana kita tahu perlindungan vaksin tidak lama dan ada kemungkinan perlu untuk mengulangi vaksinasi. Ia mungkin menjadi vaksin musiman seperti vaksin influenza," kata Dr Elly.

BILA COVID-19 AKAN MENJADI ENDEMIK DI S'PURA? 

Ditanya BERITAmediacorp bilakah agaknya COVID-19 di Singapura ini akan menjadi sebuah endemik, Dr Elly secara spontan berkata ia suatu "persoalan yang susah" tetapi ada andaian bahawa ia akan berlaku antara tiga hingga empat tahun ini.

"Ini bergantung kepada dua perkara. Pertama, sama ada kita dapat terus memantapkan imuniti kelompok yang tinggi. Dan kedua, virus COVID-19 ini tidak berubah secara mendadak (mengalami mutasi) sehingga menjadikan vaksin yang diberi itu tidak berkesan," tambah Dr Elly.

Related article image

Seorang pakar penyakit berjangkit di Hospital Universiti Nasional, Profesor Dale Fisher, dalam satu wawancara bersama Mediacorp juga mengingatkan, apabila COVID-19 menjadi sebuah endemik, ia bermakna COVID-19 "tidak akan lenyap". 

Malah, Prof Fisher menekankan, walaupun penularan COVID-19 akan menjadi seperti demam selesema biasa, ia tidak bermaksud bahawa virus itu tidak membahayakan nyawa.

"Sesiapa yang berfikir COVID adalah seperti flu, saya rasa mereka terbukti silap dari segi pelbagai aspek, pastinya itu tidak benar jika kita melihat kepada kesan COVID-19," kata beliau.

"Meskipun ramai mengalami simptom ringan, berjuta-juta orang sudah meninggal dunia."

Prof Fisher menambah, belum tiba masanya untuk melonggarkan langkah-langkah selamat, yang menurutnya sangat penting untuk Singapura sampai ke "garisan penamat" dalam usahanya memerangi COVID-19.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita