Pandemik beri peluang hijrah, perbaiki hubungan keluarga, masyarakat: Timbalan Mufti
(Gambar: Hakim Irwan)
SINGAPURA: Masyarakat Islam diseru untuk berazam melakukan hijrah dalam diri masing-masing demi memperbaiki hubungan bersama ahli keluarga, jiran tetangga dan masyarakat keseluruhannya.
Timbalan Mufti, Ustaz Dr Mohammad Hannan Hassan menekankan demikian dalam ceramah bertajuk "Hijrah Pasca Pandemik: Keluarga Sakinah, Masyarakat Gemilang", di majlis awal Muharram 1444H di Masjid An-Nur pada Jumaat (29 Jul).
Ujian pandemik COVID-19, kata Dr Mohammad Hannan tanpa disedari memberi masyarakat peluang untuk mengukuhkan hubungan dengan keluarga kerana mereka meluangkan banyak masa bersama di rumah semasa pandemik.
Meskipun setiap keluarga berdepan dengan cabaran-cabarannya tersendiri, beliau menekankan pentingnya menghidupkan nilai-nilai kasih sayang dan ihsan yang dapat membantu mereka mengharungi ujian-ujian tersebut.
Bermula daripada keluarga, nilai-nilai ini juga akan membawa kesan positif kepada hubungan sosial yang lebih bermutu sesama manusia.
"Inilah hijrah pos pandemik dan kita ingin mengukuhkan semula hubungan kekeluargaan kita dan dengannya akan lahir masyarakat Islam yang cemerlang dan kita menjadi sumber keamanan, sumber kebahagiaan kepada semua manusia bukan hanya orang-orang Islam," kata Timbalan Mufti.
Dalam ceramah yang dihadiri sekitar 300 jemaah itu, beliau menekankan pentingnya hubungan sosial yang baik untuk mencapai matlamat kebahagiaan dan kehidupan bermakna.
Berkenaan usaha memelihara hubungan sosial yang baik ini, beliau mengingatkan tentang empat pesanan Nabi Muhammad saw kepada umatnya ketika beliau berhijrah ke Madinah iaitu untuk menyebarkan salam, memberi makanan, menjalin silaturahmi dan solat pada waktu malam.
"Semoga Allah menjadikan hari pertama Muharram ini sebagai satu lonjakan hijrah mental, spiritual, fizikal, untuk kita menguhkuhkan hubungan kita sesama keluarga," kata Dr Mohammad Hannan lagi.
Ini adalah kali pertama selepas dua tahun masjid-masjid setempat mengadakan majlis menyambat awal Muharram dengan kehadiran jemaah berikutan pandemik COVID-19.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.