Skip to main content

Singapura

Pandangan saya terhadap Israel-Palestin 'sangat jauh berbeza' daripada Calvin Cheng: Shanmugam

Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan telah memfailkan aduan dengan Meta berhubung "aktiviti tanpa kebenaran" pada laman Facebook beliau.

Anggaran Waktu Membaca:
Pandangan saya terhadap Israel-Palestin 'sangat jauh berbeza' daripada Calvin Cheng: Shanmugam

Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam bercakap kepada para wartawan pada Rabu, 4 April 2025. (Gambar: Petikan skrin video CNA/Facebook)

Diterbitkan : 02 Apr 2025 05:31PM Dikemas Kini : 02 Apr 2025 11:34PM

SINGAPURA: Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Undang-Undang K Shanmugam berkata pandangan beliau mengenai Israel dan Palestin "sangat jauh berbeza" daripada yang dikongsi mantan Anggota Parlimen Dilantik (NMP) dan pengulas sosiopolitik Calvin Cheng.

Beliau menegaskan demikian semasa bercakap kepada para wartawan pada Rabu mengenai kes-kes terkini yang dikendalikan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Encik Calvin Cheng memberi ulasan mengenai beberapa perkara - saya tidak baca kesemuanya. Tetapi yang saya baca: Saya boleh katakan ada yang saya bersetuju, dan ada yang saya jelas tidak bersetuju sama sekali dengan pendapatnya," katanya.

"Pandangannya mengenai Palestin dan Israel, saya boleh katakan ia sangat berbeza daripada pandangan saya. Saya mempunyai pandangan yang sangat jauh berbeza mengenai Israel-Palestin daripada Encik Calvin Cheng."

"Saya sebelum ini berkata pada November 2023 bahawa tindakan Israel tidak sah dari segi undang-undang dan ia berbentuk menindas penduduk Palestin, dan ini tetap merupakan pandangan saya," katanya.

Encik Shanmugam enggan mengulas lanjut kerana aduan polis sudahpun dibuat terhadap Encik Cheng mengenai komennya berhubung Israel dan Palestin, manakala Encik Cheng berkata beliau telah memulakan prosiding mahkamah terhadap tuduhan yang dibuat terhadapnya mengenai catatan tersebut.

Dalam catatan Facebook pada Rabu, Encik Cheng berkata Encik Jufrie Mahmood, seorang mantan pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP), telah memfailkan aduan polis yang mendakwa Encik Cheng seorang individu yang mengamalkan islamofobia.

Encik Cheng menambah pemimpin Parti Reform Kenneth Jeyaretnam dan aktivis Martyn See berkongsi pandangan serupa seperti Encik Jufrie, dan The Online Citizen serta Mohamed Khair telah menerbitkan semula pandangan tersebut.

Sambil menyangkal tuduhan terhadapnya, Encik Cheng berkata: "Saya sudah mendapatkan khidmat guaman daripada Peguam Kanan dan dinasihati bahawa kenyataan yang dibuat itu memfitnah saya.

"Saya mengarahkan peguam saya untuk menulis surat kepada Mohamed Khair, Jufrie Mahmood, Martyn See, Kenneth Jeyaretnam dan The Online Citizen, untuk meminta mereka supaya menarik balik kenyataan yang dibuat dan membuat permohonan maaf."

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita