Pancuran meteor dan 4 'supermoon': Apa yang boleh dijangka pada 2024
Gambar: Daniel Reinhardt, Frederic J Brown/AFP
SINGAPURA: Para pemerhati bintang, anda boleh mula tandakan kalendar anda.
Bulan ini akan melabuh tirainya dengan pancuran meteor sejurus sebelum kemunculan 'Bulan Merah Jambu' atau Pink Moon pada 24 Apr.
Namun, usah risau jika anda terlepas peluang menyaksikan fenomena indah itu. Masih terdapat kesempatan lain sepanjang tahun ini untuk anda merebut peluang sedemikian.
Berikut apa yang anda boleh jangkakan, termasuk kemunculan 'supermoon' atau bulan mengambang besar secara berturut-turut.
PANCURAN METEOR
Balai Cerap Pusat Sains (SCOB) Singapura menjangkakan pancuran meteor Lyrids mungkin memuncak sekitar 22 Apr.
Ia merupakan salah satu pancuran meteor paling lama diketahui dan sudah disaksikan sejak 2,700 tahun lalu, menurut laman NASA. Lyrids dikenali dengan meteornya yang pantas dan terang, meskipun tidak sepantas atau sebanyak kemunculan Perseids, yang lebih diketahui, pada Ogos.
Satu lagi pancuran meteor, yang dikenali sebagai Eta Aquarids, dijangka memuncak pada 6 Mei.
Meteor Eta Aquarid - juga dikenali dengan kelajuannya - boleh meninggalkan "rangkaian panjang" yang bersinar. Ini adalah serpihan pijar berikutan meteor yang berlangsung selama beberapa saat hingga beberapa minit, kata NASA.
Balai cerap tersebut mencadangkan, antara tempat terbaik untuk menyaksikan pancuran meteor tersebut termasuk kawasan terbuka yang tidak dihalang dengan pencemaran cahaya minimum, seperti taman semula jadi, pantai dan kolam air.
"Elak daripada merenung terus buruj bersinar (constellations) dan sebaliknya lihat kawasan gelap di sekelilingnya untuk mengesan jalur meteor. Ambil langkah berjaga-jaga keselamatan yang tertentu apabila anda keluar merenung dalam kegelapan," tambahnya.
SUPERMOON
Empat 'supermoon' boleh dijangkakan muncul berturut-turut dari Ogos hingga November.
'Supermoon' yang muncul pada Oktober adalah yang paling dekat dengan Bumi sementara bulan penuh pada Ogos - yang dikenali sebagai Bulan Sturgeon - juga akan menjadi Bulan Biru memandangkan ia menjadi bulan penuh ketiga musim itu, jelas SCOB.
"Sekalipun terdapat tiada takrifan rasmi bagi supermoon itu, empat bulan penuh ini pada Ogos, September dan November berlaku apabila bulan tersebut berada agak dekat dengan Bumi, menyebabkan ia kelihatan lebih cerah dan lebih menonjol," kata SCOB.
Para pemerhati binatng juga perlu mengamati bulan tersebut bergantung kepada keadaan atmosfera dan lokasi untuk melihatnya, tambah SCOB.
AKTIVITI SAKSIKAN CAKERAWALA
Mereka yang berminat dalam bidang astronomi atau mereka yang ingin merasa lebih dekat dengan kosmos sepanjang tahun boleh mengambil bahagian dalam program menyaksikan bintang SCOB di balai cerapnya di Jurong. Para pendidik sains juga akan turun padang untuk berkongsi lebih lanjut mengenai langit malam tersebut.
Balai cerap Pusat Sains tersebut merupakan salah satu daripada beberapa kemudahan di dunia yang terletak bersebelahan dengan khatulistiwa.
"Kedudukan unik ini membuka lebih banyak vista di langit dan membolehkan kita melihat buruj di kedua-dua hemisfera utara dan selatan," menurut lamannya.
Untuk maklumat lanjut, anda boleh lungsuri laman ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.