Skip to main content

Singapura

Pancing ikan secara bertanggungjawab agar haiwan lain tidak teraniaya

Anggaran Waktu Membaca:
Pancing ikan secara bertanggungjawab agar haiwan lain tidak teraniaya

(Gambar: AFP)

Diterbitkan : 08 Feb 2022 09:19PM Dikemas Kini : 08 Feb 2022 09:22PM

SINGAPURA: Mata kail yang terbiar boleh menimbulkan bahaya kepada hidupan liar dan menyebabkan penderitaan yang tidak terhingga pada haiwan, menurut Persatuan Kajian dan Pendidikan Keprihatinan Haiwan (ACRES) pada Selasa (8 Feb) sambil menambah bahawa orang ramai seharusnya memancing hanya di kawasan-kawasan yang dibenarkan.

Ini selepas seekor anak memerang terjerat dengan mata kail dan pelbagai agensi mengambil masa selama berjam-jam untuk menyelamatkan haiwan itu.

Operasi menyelamat di jambatan Jiak Kim mengambil masa kira-kira lima hingga enam jam, menurut ACRES, dengan operasi itu turut melibatkan para anggota daripada masyarakat pencinta memerang, Lembaga Taman Negara (NParks) dan agensi perbekalan awam PUB.

Menurut laman Facebook Ottercity, memerang berusia empat bulan daripada keluarga memerang di Zouk itu cedera pada 2 Feb.

BACA: Gambar Pilihan Hari Ini

Kejadian itu disaksikan oleh pemerhati memerang, Cik Yane Kang yang menarik perhatian bahawa anak memerang itu cedera berdekatan jambatan Jiak Kim, iaitu sebuah kawasan yang melarang kegiatan memancing.

Menurut Cik Kang, beliau ternampak anak memerang itu bermain dengan "sesuatu yang berwarna-warni" di dalam sungai sebelum terdengar "jeritan yang kuat" dan "percikan air". Dua mata kail dilihat tersangkut pada mulut memerang itu.

Sesiapa saja yang ternampak haiwan cedera atau terperangkap, termasuk memerang, boleh menghubungi ACRES di talian 97837782 untuk mendapatkan nasihat.

Menurut garis pandu PUB bagi kegiatan memancing, tali tangsi dan mata kail yang tidak lagi digunakan seharusnya dibuang ke dalam tong sampah.

Memancing juga tidak dibenarkan di terusan, kecuali dek atau zon yang diperuntukkan di Sungai Geylang, Sungai Kallang (Kolam Ayer ABC Waterfront) serta terusan Pang Sua, Pelton dan Rochor.
 

Sumber : CNA/FA/fa
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Lebih banyak artikel Berita