Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pampasan sebenar bagi pemilik flat SERS Ang Mo Kio kira-kira 7.5% lebih tinggi dari anggaran

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Jumlah pampasan sebenar bagi penduduk Ang Mo Kio yang flat mereka dipilih di bawah Skim Pembangunan Semula Yang Terpilih Secara Berkelompok (SERS) adalah sekitar 7.5 peratus lebih tinggi daripada anggaran. 

Demikian menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) pada Rabu (9 Nov). 

Hampir 90 peratus pemilik rumah SERS itu berjaya memohon flat baru dengan faedah penempatan semula SERS, menurut HDB dalam kenyataan medianya. 

Kadar pampasan sebenar yang lebih tinggi sebahagian besarnya disebabkan dua faktor. Pertama, keadaan serta tahap kerja ubah elok dan kelengkapan flat susuli pemeriksaan fizikal. HDB menyatakan flat-flat yang diubah elok dan dijaga dengan baik mempunyai nilai pasaran yang lebih tinggi. 

Kedua, perbezaan 7.5 peratus mencerminkan trend pasaran flat jualan semula antara anggaran disediakan pada Februari 2022 hingga pengumuman SERS pada April 2022. 

Pemilik flat terjejas akan diberi pampasan bagi flat mereka berdasarkan nilai pasaran pada waktu pengumuman SERS, sejajar dengan Akta Pengambilan Semula Tanah, menurut HDB. 

Pampasan pasaran dinilai oleh penilai privet profesional, mengambil kira harga urus niaga flat-flat jualan semula di kawasan tersebut, baki tempoh pajakan flat dan ciri-ciri tersendiri unit berkenaan, termasuk saiz dan tingkat flat. 

"Penilaian itu turut mengambil kira kemudahan-kemudahan di kawasan tersebut, yang sedia ada dan pelan masa depan yang sudah didedahkan kepada masyarakat awam, termasuk kemudahan runcit, pasar, taman, sekolah dan jarak ke stesen MRT," menurut HDB. 

"Penilaian keseluruhan faktor-faktor itu menentukan nilai pasaran setiap flat setakat waktu pengumuman SERS." 

Prinsip-prinsip penilaian tersebut diketahui ramai dan digunakan dalam semua latihan SERS sebelum ini, tambah HDB. 

Selain pampasan nilai pasaran, pemilik flat terjejas juga akan menerima bayaran bagi perbelanjaan, termasuk elaun S$10,000 untuk meliputi kos penempatan semula serta cukai setem dan yuran guaman bagi pembelian flat ganti dengan nilai serupa flat SERS mereka. 

Pemilik flat yang layak juga akan menerima geran SERS sehingga S$30,000 bagi pembelian flat ganti mereka.

Sumber : CNA/NY/ny
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan