Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pameran sulung asal-usul masyarakat Arab di S'pura dibuka sehingga 20 Apr

Kawasan Raffles Place pernah menjadi tempat tinggal serta hartanah milik masyarakat Arab Hadrami Singapura. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kawasan Raffles Place pernah menjadi tempat tinggal serta hartanah milik masyarakat Arab Hadrami Singapura.

Demikian penemuan warisan sebuah keluarga, yang dapat kita pelajari bersama dalam sebuah pameran yang bermula hari ini di The Arts House.

Dirasmikan Presiden Halimah Yacob, pameran itu hasil kajian sekumpulan pelajar yang meneroka asal-usul keturunan mereka.

ARAB HADRAMI SUMBANG DALAM PERDAGANGAN, PENDIDIKAN

Kaum Arab Hadrami yang berasal dari Hadramawt, Yaman mula datang ke Singapura lebih 200 tahun lalu. Antara sumbangan mereka termasuk dalam bidang perdagangan dan pendidikan.

Sempena Dwiabad Singapura, sembilan pelajar berusia 20 hingga 25 tahun yang pernah meraih anugerah pendidikan dari Rangkaian Arab atau AN@S, mengongsi dapatan menarik kajian mereka menggali asal-usul, menerusi pameran sulung di The Arts House, dari 14 hingga 20 April.

KAWASAN, BANGUNAN PERNAH DIMILIKI WARGA ARAB DI S'PURA

Kurator Pameran AN@S, Syed Muhd Hafiz Syed Nasir menjelaskan: "Beberapa artifak di dalam pameran ini menunjukkan terdapat beberapa kawasan atau beberapa gedung atau bangunan yang dimiliki warga Arab yang duduk di Singapura waktu itu.

Ini termasuk, kata Syed Muhd Hafiz, dua keping resit yang menunjukkan warga Cina Singapura membayar duit sewa bagi satu bangunan untuk tinggal di sana dari Alkaff Estate, Masjid Omar Kampong Melaka yang masih wujud dan jambatan yang dinamakan Alkaff Bridge.

"Arcade atau Change Alley - zaman pentadbiran British itu dinamakan Alkaff Arcade. Ia 'mall' tertutup berhawa dingin yang pertama di Singapura," kongsi beliau lagi.

PAPARKAN 25 KOLEKSI PERIBADI DENGAN 4 TEMA

Pameran ‘Di Sini dan Sekarang : Orang-Orang Arab di Singapura’ memaparkan 25 koleksi peribadi yang dipamerkan di bawah empat tema, mengabadikan sumbangan masyarakat ini kepada pembangunan negara.

Satu contoh ialah Syed Abu Bakar Taha Alsagoff, mudir pertama Madrasah Aljunied. Allahyarham juga pengetua madrasah yang paling lama berkhidmat di Singapura.

Ketua Pendidikan AN@S, Syed Omar Syed Abdullah Alattas berkata: "Dari tahun 1927 hingga tahun 1955 - ini bererti mudir Syed Abu Bakar Taha Alsagoff berkhidmat hampir 30 tahun. Ini menunjukkan sumbangan kemasyarakatan dan pelajaran di Singapura.

"Beliau menulis buku. Beberapa buku-buku itu telah digunakan di Universiti Al-Azhar. Anak murid beliau juga menjadi Mufti. Mufti di merata tempat. Beliau juga pelopor kepada keharmonian masyarakat dan ini sebelum pertubuhan IRO di Singapura."

Pameran sulung itu juga dilengkapi dengan Haflah atau pesta budaya Arab Hadrami yang menghidangkan muzik dan tarian budaya di The Arts House pada Jumaat (19 Apr).  

Sumber : BERITA Mediacorp/RL/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan