Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pameran NHB ini ajak anda intai rahsia di sebalik pemuliharaan khazanah negara

Apakah yang berlaku kepada artifak atau karya seni muzium apabila ia tidak digunakan dalam pameran? Pastinya, ia tidak sekadar disimpan di dalam stor sahaja.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Apakah yang berlaku kepada artifak atau karya seni muzium apabila ia tidak digunakan dalam pameran? Pastinya, ia tidak sekadar disimpan di dalam stor sahaja.

Pameran terbaru Lembaga Warisan Negara (NHB) yang diberi nama Dunia Pemuliharaan Warisan atau 'The World of Heritage Conservation: Sneak Peeks into Safeguarding Singapore's National Collection' bertujuan menjawab persoalan itu dengan menyingkap tabir proses pemuliharaan khazanah negara bagi tatapan orang ramai.

Dilancarkan di Perpustakaan Awam Central pada Rabu (25 Ogos), pameran tersebut adalah bahagian ke-13 dalam siri pameran bergerak NHB 'Heritage on the Move'.

Ia hasil kerjasama antara NHB dengan pasukan pemulihara atau konservator dari Pusat Pemuliharaan Warisan (HCC). Empat bidang pemuliharaan berbeza iaitu Lukisan, Tekstil, Objek dan Kertas dipaparkan menerusi empat kes kajian.

Ini termasuk berus gigi yang digunakan oleh seorang tawanan perang semasa jajahan Jepun; sepasang cheongsam dan jaket milik anak kepada salah seorang pengasas Tiger Balm, mendiang Datin Aw Cheng Hu; lukisan panorama kota Singapura yang dilukis berdasarkan ingatan serta lukisan sebuah kapal layar yang membawa candu berlatarkan perairan Singapura dari abad ke-19.

(Ihsan: Lembaga Warisan Negara (NHB))

(Gambar ihsan: Lembaga Warisan Negara)

Para pengunjung dapat mempelajari tentang cabaran setiap kes kajian dan proses pemuliharaan yang dijalankan menerusi lapan paparan interaktif dan dua video belakang tabir.

Sebanyak 14 perkakas serta peralatan utama yang digunakan seperti pigmen warna khas, lampu suluh sinar ultralembayung (UV) dan pes acuan turut dipaparkan.

"Melalui pameran ini kami berharap dapat memberi gambaran kepada pengunjung mengenai cara dan karya pemuliharaan artifak. Bagaimana konservator kami berfungsi sebagai doktor yang memperbaiki dan memulihkan artifak dan karya seni, dan sebagai penjaga Koleksi Nasional kami untuk generasi seterusnya," kongsi Cik Norsaleen Salleh, Timbalan Pengarah bahagian Pendidikan dan Mendekati Masyarakat NHB.

"Kami juga berharap agar pengunjung dapat melihat kerja yang dilakukan oleh para konservator kami dan menghargai usaha mereka dalam menyediakan artifak dan karya seni untuk dipamerkan dan dipinjamkan apabila mereka mengunjung muzium kami pada masa hadapan."

Pameran ini akan berlangsung di Perpustakaan Awam Central hingga 30 September sebelum membuat persinggahan ke perpustakaan lain seperti di Bishan, Jurong West dan Marine Parade. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ih
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan