Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pameran 'Meraikan Wanita Singapura 2022' paparkan perjalanan dan kemajuan wanita

Sebuah pameran baru bagi meraikan kejayaan dan pencapaian wanita Singapura dilancarkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (22 Apr).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebuah pameran baru bagi meraikan kejayaan dan pencapaian wanita Singapura dilancarkan oleh Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (22 Apr).

Pameran "Meraikan Wanita Singapura 2022" itu dilancarkan di Plaza Singapura. 

 

Pameran tersebut memaparkan perjalanan dan kemajuan pembangunan wanita-wanita Singapura. 

Dibahagikan kepada tiga bahagian, 'Perintis-Perintis Kemajuan', 'Pereka-Pereka Kejayaan', dan 'Perintis-Perintis Masa Depan', para pengunjung akan menyusuri perjalanan kemajuan wanita-wanita Singapura dari masa lalu, masa kini dan masa depan. 

Misalnya, pada bahagian pertama, orang ramai dapat melihat usaha-usaha para perintis yang sudah pun menyumbang kepada kemajuan wanita Singapura hari ini dari garis masa 1959 hingga 2019.

Antara yang dipaparkan dalam pameran ini termasuklah Presiden wanita pertama, Halimah Yacob dan Cik Sahorah Ahmat, antara wanita pertama yang menyertai Dewan Perundangan. 

Bahagian kedua pula menonjolkan usaha masyarakat dalam menangani isu-isu yang dihadapi wanita.

Ini termasuk lima bidang penting yang dikenalpasti dalam Kertas Putih mengenai Pembangunan Wanita Singapura yang dilancarkan tahun ini.

Turut hadir di majlis pelancaran tersebut adalah Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Masagos Zulkifli, Menteri Negara Pembangunan Sosial dan Keluarga, Sun Xueling, Menteri Negara Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Low Yen Ling dan Setiausaha Parlimen Perhubungan dan Penerangan, Rahayu Mahzam.

IMBAS KEMBALI SUMBANGAN WANITA KEPADA PEMBANGUNAN NEGARA

Cik Rahayu berharap pameran sebegini boleh mengingatkan kembali orang ramai tentang sumbangan golongan wanita dalam kemajuan negara. 

"Sebenarnya, mungkin banyak perkara yang kita tidak sedar sudah berlaku pada tahun-tahun yang lalu dan juga pada waktu awalnya Singapura ditubuhkan," kongsi Cik Rahayu, yang turut dipaparkan dalam pameran ini.

"Jadi ini adalah sedikit sebanyak cara untuk kita mengingatkan tentang bagaimana pada masa yang lalu, nenek-nenek kita, wanita-wanita yang menerajui usaha ini sudah membangunkan negara ini," tambah beliau lagi. 

Menurutnya lagi, golongan ini yang dapat mengingatkan orang ramai tentang kekuatan mereka dan bagaimana mereka dapat mengharungi cabaran sambil kekal meningkatkan prestasi dan martabat wanita di Singapura. 

"Dengan itu, diharapkan kita juga mendapat inspirasi dan juga terajak sama untuk meneruskan usaha ini, memberikan peluang yang sama rata untuk anak lelaki kita dan juga anak perempuan kita," ujar Cik Rahayu. 

Sedang dasar-dasar dan perundangan boleh membantu memperbaiki kehidupan wanita di negara ini, Cik Rahayu berpendapat anjakan minda juga diperlukan.

"Banyak yang kita lakukan mungkin dari sudut dasar-dasar dan sebagainya, hanya boleh merubah sesuatu pihak sahaja, satu keadaan sahaja tetapi untuk kita benar-benar melihat pembangunan yang mendalam, melihat keadilan dan kesaksamaan, kita perlu seluruh masyarakat menganjak minda mereka dan memahami keadaannya," tambah Cik Rahayu. 

ELEMEN INTERAKTIF MENANTI PENGUNJUNG DI PAMERAN INI 

Menariknya, pelbagai elemen interaktif juga disertakan dalam pameran tersebut.  

Antaranya termasuk pameran miniatur dan realiti tambahan (AR), di mana mereka boleh menonton video yang mengisahkan pengalaman wanita dalam usaha membina negara. 

Selain itu, mereka boleh mengambil gambar kenangan di pondok bergambar dan menulis pesanan untuk menandakan sokongan mereka terhadap pembangunan wanita Singapura.  

Orang ramai boleh mengunjungi pameran di Plaza Singapura ini secara percuma bermula hari ini (22 Apr) hingga 3 Mei.

Selepas di kawasan bandar, pameran itu juga akan berpindah ke empat lagi kawasan perumahan awam dari Mei hingga September iaitu di Hab HDB Toa Payoh, Bukit Panjang Plaza, Kampong Admiralty dan Hab Tampines Kita (OTH). 

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan