Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pameran Melayu-Bugis S'pura dianjur buat pertama kali, tampilkan 40 artifak

Buat julung-julung kalinya, satu pameran menyeluruh yang menyingkap sejarah masyarakat Melayu-Bugis Singapura diadakan mulai esok (14 Okt) di Taman Warisan Melayu (TWM).

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAMediacorp: Buat julung-julung kalinya, satu pameran menyeluruh yang menyingkap sejarah masyarakat Melayu-Bugis Singapura diadakan mulai esok (14 Okt) di Taman Warisan Melayu (TWM).

Diberi nama 'Sirri na Pesse', pameran itu menampilkan lebih 40 artifak dari muzium-muzium dan pusaka milik peribadi dari anggota masyarakat Bugis.

Ini termasuklah pakaian tradisional semasa upacara perkahwinan Bugis, kotak menyimpan perhiasan abad ke 19 dan sebuah kamus Inggeris-Bugis-Melayu tahun 1833.

'Sirri na Pesse', yang bermaksud 'Kehormatan dan Harga Diri', acara tersebut dianjurkan bersempena Pesta Budaya Melayu 2017.

Pelbagai persembahan mengenai masyarakat Bugis juga akan diadakan sempena pesta tersebut.

(Hikayat Bugis pada abad ke-19 yang menceritakan kehidupan diraja, pahlawan dan individu terkemuka yang lain. Gambar: BERITAMediacorp)

PERBETUL PERSEPSI TENTANG MASYARAKAT BUGIS

Bagaimanakah seseorang itu menganggap dirinya berketurunan Bugis?

Adakah masyarakat Bugis itu asalnya orang lanun?

Persoalan dan tanggapan ini akan terjawab sekiranya anda mengunjungi pameran tentang masyarakat Melayu-Bugis Singapura.

Sejajar dengan namanya 'Sirri na Pesse', pameran ini bertujuan untuk menyingkap kembali susur-galur masyarakat Melayu-Bugis Singapura melalui perkembangan sejarah dalam dunia Nusantara pada abad ke-18 dan ke-20.

"Kami ingin menunjukkan kepada masyarakat umumnya bahawa orang Bugis ini bukan daripada kelompok lanun-lanun ataupun daripada raja-raja, tetapi juga masyarakat ini pelbagai, dari segi sejarahnya, dan juga amalan dan kepercayaan juga kita mahu mengetengahkan nilai-nilai orang Bugis yang memupuk diri mereka dan juga terus jadi relevan dengan cara hidup mereka di Singapura," kata Cik Suhaili Osman kurator pameran tersebut.

Menurut Encik Jamal Mohamad, Pengurus Program TWM deretan acara yang memberi penekanan khusus terhadap masyarakat Bugis pada tahun diharap dapat memberi pengenalan tentang kebudayaan dan adat Bugis yang mungkin sama atau ada perbezaan sedikit-sedikit dengan masyarakat Melayu di Singapura.

Pameran itu mengambil masa sekitar setahun untuk disiapkan dengan sokongan anggota masyarakat Melayu-Bugis di Singapura.

Antara bahan bersejarah yang dipamerkan ialah mesin taip yang dibawa oleh Cik Nur Izwah Ibrahim.

Fakta menarik ialah, mesin taip tersebut pernah dimiliki dan digunakan oleh Raja Adnan bin Raja Salman (1929-2005), iaitu cucu kepada Raja Ali Bin (Tengku Nong) bin Raja Muhammad (1869-1955).

Raja Ali pernah menggunakan mesin taip itu untuk merekodkan salasilah keluarganya.

"Ini menunjukkan sejarah keluarga itu dan bagaimana mereka terus melestarikan budaya mereka dalam adat istiadat perkahwinannya dan juga dalam mengamalkan dalam tulisan dan salasilah keluarga mereka.

"Ramai daripada keluarga Bugis ini terus giat mencatatkan rekod-rekod ini dan kami ada pamerkan sebahagian mereka dalam Sirri na Pesse," tambah Cik Suhaili.

PAMERAN TONJOLKAN SEJARAH SIGNIFIKAN YANG TIDAK DIKETAHUI RAMAI

Pameran itu yang akan berlangsung sehingga 24 Jun 2018, turut mempamerkan buku Tuhfat Al-Nafis, atau maknanya Hadiah yang Berharga, tulisan Raja Ali Haji. Ia dikarang pada abad ke-19.

(Tuhfat Al-Nafis yang dipinjam daripada Sarafian Salleh, merupakan sebuah kitab yang menjadi bahan rujukan penting bagi para pembaca Bugis. Gambar: BERITAMediacorp)

Buku tersebut menceritakan secara terperinci perbalahan dan peristiwa yang melibatkan kerabat diraja Bugis.

Selain daripada itu, Badik Nibong Tunggal yang dipinjam daripada Muzium Bugis Johor, turut dipamerkan. Ia difahamkan merupakan senjata yang dipercayai mengandungi racun asli dan diperbuat sepenuhnya daripada kayu nibong tunggal.

Sempena pesta ini, orang ramai juga boleh mengikuti acara Jejak Warisan Bugis di Kampong Gelam dan Telok Belanga, dua daerah kediaman masyarakat Bugis dahulu. 

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan