Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pameran lukisan al-Quran "terbesar di dunia" di Bazar Raya Utara@Woodlands Town

Anggaran Waktu Membaca:
 Pameran lukisan al-Quran "terbesar di dunia" di Bazar Raya Utara@Woodlands Town

(Gambar: Facebook/Adex Bazaar Lambak)

SINGAPURA: Sempena bulan Ramadan yang bakal tiba, lebih 10 bazar dianggarkan diadakan di merata Singapura, menyajikan pelbagai pengalaman dan juadah berbuka puasa.

Namun, bazar yang satu ini menawarkan kelainan dan belum pernah dibuat orang.

Bazar Raya Utara @ Woodlands Town, yang bertempat bertentangan dengan stesen MRT Admiralty, menawarkan pameran lukisan kaligrafi al-Quran "terbesar di dunia".

Mengapa dikatakan "terbesar di dunia"?

Ini kerana setiap lukisan berukuran 8' X 11'. Bayangkan tinggi bingkai lukisan itu sama dengan lebih kurang seorang lelaki dewasa yang berdiri di atas bahu seorang lagi lelaki dewasa. Tinggi bukan?

Untuk melukis kaligrafi ayat-ayat al-Quran pada setiap bingkai pula, BERITA Mediacorp diberitahu, pelukisnya perlu memanjat tangga!

Mungkin ini akan menjadi panggilan untuk anda melihat dengan mata kepala sendiri betapa besarnya lukisan kaligrafi al-Quran tersebut.

"Saya lihat setiap bazaar Raya selalu penganjur adakan penyanyi untuk menarik pengunjung. Kenapa tidak tahun ini kita buat kelainan buat pameran al-Quran terbesar di dunia supaya anak-anak boleh juga melihat atau membaca al-Quran lebih dekat lagi," kata Encik Abdul Rani Mustafa, pengasas Adex Group, iaitu penganjur Bazar Raya Utara @ Woodlands Town.
 
SIAPA PELUKIS LUKISAN AL-QURAN TERBESAR INI?

Sebanyak 27 lukisan al-Quran terbesar itu akan dipamerkan di bazar tersebut.

Setiap satu bingkai lukisan mengandungi ayat al-Quran yang sama seperti yang terkandung dalam satu muka surat al-Quran.

Setakat ini, pelukisnya sudah menghasilkan sekitar dua juzu', bermula dengan surah Al-Fatihah. Lukisan-lukisan itu menggunakan khat Nasakh, Thuluth, Rik'ah, Farsi, Diwani dan Kufi.

Pelukisnya, Abdul Ghafur Haji Tahir, berasal dari Malaysia. Beliau sudah menyertai beberapa pameran di Malaysia dan juga di Indonesia.

Matlamat Encik Ghafur menghasilkan lukisan al-Quran "terbesar di dunia" berkonsepkan lukisan abstrak kaligrafi kontemporari agar "dapat dihayati oleh generasi kini dan ditempatkan di persada dunia".

Lukisan-lukisan raksasa itu bukanlah untuk dijual. Namun, para pengunjung boleh membeli lukisan-lukisan kaligrafi lain. Yang sudah siap anggarannya S$1,500 hingga S$20,000.

Terdapat juga kaligrafi yang dicetak daripada lukisan asli yang dijual pada harga antara S$50 dengan S$300.

Encik Rani memberitahu BERITA Mediacorp, beliau sudah lama berniat untuk membawa Encik Abdul Ghafur ke Singapura namun belum berkesempatan.

"Tahun ini kami dapat tender di Woodlands Town dan kami adakan bazar berskala besar. Jadi dapatlah saya bawa beliau adakan pameran di sini," ujar Encik Rani.

BAZAR KALI KEDUA LEBIH BESAR

Ini merupakan tahun kedua Adex Group menganjurkan bazar di lokasi yang sama.

Encik Rani memberitahu BERITA Mediacorp bazar tahun ini seganda lebih besar berbanding tahun lepas.

"Memandangkan respons (tahun lalu) baik. Jadi tahun ini kami adakan lebih besar. Tahun lalu kami anjur bazar Ramadan, Raya campur pasar malam. Tahun ini keseluruhannya bazar Ramadan/Raya sahaja," kata Encik Rani.

Beliau berkata jika tahun lalu hanya sekitar 40 hingga 50 gerai makanan diadakan, tahun ini terdapat lebih 100 kedai makanan. Sekitar 60 hingga 70 kedai lagi menawarkan pakaian dan keperluan lain Hari Raya, berbanding hanya 20 tahun lalu.

"Ini satu-satunya bazar yang ada kelainan daripada bazar yang ada. Harapan saya semua orang Islam kita datang ke bazar Raya Woodlands di depan MRT Admiralty untuk lihat dan terpegun dengan ayat-ayat al-Quran yang dilukis," kata Encik Rani.

Bazar Raya Utara @ Woodlands Town berlangsung dari 6 Mac hingga 4 April 2024.
Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan