Pameran 'LKY100 – The Boy Who Became Prime Minister' dibuka
SINGAPURA: Bagaimanakah zaman kanak-kanak mendiang Perdana Menteri Lee Kuan Yew?
Apakah pula cabaran-cabaran yang beliau lalui untuk membina Singapura sebagai sebuah negara yang berkembang maju?

Itulah antara yang ditampilkan dalam pameran khas "LKY100 – The Boy Who Became Prime Minister" yang diadakan sempena ulang tahun kelahiran ke-100 mendiang Encik Lee Kuan Yew di Muzium Kanak-Kanak Singapura (CMSG).
"Kalau kita lihat pameran-pameran tentang (mendiang) Encik Lee Kuan Yew, selalunya ia memberi tumpuan kepada kerjayanya sebagai seorang negarawan, dan sebagai Perdana Menteri Singapura," kongsi Penolong Pengurus Pengalaman Muzium itu, Cik Hanis Yusri.
"Jadi apa yang unik dan juga menarik tentang pameran ini ialah ia menampilkan zaman kanak-kanak (mendiang) Encik Lee semasa zaman remaja dan zaman persekolahannya," tambahnya.
RAKET TENIS, ACUAN KASUT MENDIANG ENCIK LEE KUAN YEW - ANTARA ARTIFAK YANG DITAMPILKAN

Pelbagai artifak dipamerkan termasuk permainan-permainan kegemaran beliau seperti gasing dan goli serta daftar kemasukan sekolahnya di Sekolah Telok Kurau Timur.
Acuan kasut untuk kasut-kasut formal yang ditempah daripada syarikat Lee Hoi Wah Shoes, pena-pena yang pernah digunakan untuk menandatangani dokumen-dokumen di pejabatnya serta raket tenis mendiang Encik Lee turut dipamerkan.
Raket tenis yang diberi kepadanya pada 1973 itu misalnya menampilkan gaya hidup sihat yang mendiang Encik Lee amalkan.

"Kami melakukan sebuah kumpulan fokus dengan 13 duta kecil, iaitu kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun dengan ibu bapa mereka dan menerusi perbincangan kumpulan fokus itu, kami mendapat maklum balas yang kanak-kanak mahu melihat (mendiang) Encik Lee semasa zaman kanak-kanaknya dan apakah permainan yang beliau main," menurut Encik Hanis.
"Tetapi bagi golongan ibu bapa, mereka ingin melihat ciri-ciri (mendiang) Encik Lee dan warisannya. Jadi daripada maklum balas itu, kami menggabungkan kedua-dua itu," tambahnya.
KISAH SINGAPURA MENERUSI LENSA KEHIDUPAN DAN NILAI MENDIANG ENCIK LEE

Para pengunjung muda juga diharap akan dapat lebih memahami tentang kisah Singapura melalui lensa kehidupan dan nilai mendiang Encik Lee.
Ini selain memupuk rasa bangga mereka terhadap pencapaian Singapura setakat ini.
"Apabila mereka melihat Singapura hari ini, yang sudah dibina hasil warisan Encik Lee, ini (diharap) dapat memberi mereka inspirasi untuk berjaya," ujar Cik Hanis.
Pada masa yang sama, para pengunjung juga berpeluang untuk menyertai pelbagai program menarik seperti bengkel bercerita dan kraftangan.
Antaranya bengkel untuk menghasilkan gam (atau kanji) menggunakan tepung ubi.
Mendiang Encik Lee pernah satu ketika dahulu memulakan perniagaan gam untuk menjana pendapatan tambahan semasa Perang Dunia Kedua.
Bayaran dikenakan buat bengkel-bengkel tersebut.
Pameran itu akan berlangsung di 'Discovery Room' di Muzium Kanak-kanak Singapura mulai esok (19 Ogos) hingga 14 Januari 2024.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.