Pameran kerja WGS tawar 800 kerja kosong
Sebanyak 800 kerja kosong di pelbagai perusahaan ditawarkan di pameran pekerjaan anjuran Wisma Geylang Serai (WGS) pada Sabtu (23 Jan).
SINGAPURA: Sebanyak 800 kerja kosong di pelbagai perusahaan ditawarkan di pameran pekerjaan anjuran Wisma Geylang Serai (WGS) pada Sabtu (23 Jan).
Dianjurkan sempena ulang tahun kedua WGS, sebanyak 10 syarikat daripada pelbagai industri akan mempamerkan peluang pekerjaan di syarikat masing-masing.
Pekerjaan yang ditawarkan pula bagi pelbagai jawatan di sektor jagaan kesihatan, kejuruteraan jitu, pengangkutan udara, perkhidmatan makanan dan banyak lagi.
TEMUDUGA SECARA FIZIKAL DAN MAYA
Bagi mematuhi langkah pengurusan selamat, hanya tiga syarikat sahaja yang akan membuka astaka secara fizikal sementara tujuh lagi akan menemui pemohon kerja secara maya menerusi terminal komputer yang disediakan.
Berikut astaka Fizikal yang mengambil bahagian:
Spectrum Ingredients Pte Ltd
Pertama Merchandising Pte Ltd
RE&S Enterprises Pte Ltd
Astaka Maya:
SATS Ltd
Caregiving Welfare Association
ENJ Advance PCB Materials Pte Ltd
PERTAPIS Education & Welfare Centre
NTUC Income Insurance Co-operative Limited
Plaza Premium Lounge Singapore Pte Ltd
Bigfoot Group Of Companies
Berlangsung dari 10 pagi hingga 5 petang, hanya 50 pengunjung sahaja dibenarkan masuk pada satu-satu masa ke kawasan pameran di tingkat satu WGS.
Oleh itu orang ramai digalak membuat pendaftaran terlebih dahulu di lelaman berikut untuk mendapatkan tempat: http://bit.ly/JUMP21PreReg.
Acara yang dianjurkan dengan kerjasama MENDAKI SENSE dan Kurnia@WGS itu turut melibatkan kerjasama pelbagai badan seperti Workforce Singapore, bagi membolehkan pengunjung mendapat maklumat tentang peluang latihan serta skim yang disediakan pemerintah bagi pembangunan kerjaya mereka.
Menteri Negara Ehwal dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, Dr Muhammad Faishal Ibrahim berkata: "Kita tidak lupa apakah keperluan masyarakat kita pada masa ini di mana ramai berkongsi mereka rasa risau tentang pekerjaan mereka. Mereka rasa yang mereka mahu melihat lebih banyak peluang diberikan.
"Jadi ini adalah satu wadah dan juga satu usaha dari masyarakat kepada masyarakat. Dan pada pendapat saya, ia mempunyai intipati yang sangat mendalam kerana ia menonjolkan hati WGS kepada masyarakat kita sambil kita meraikan ulang tahun kita."
DAPATKAN BIMBINGAN CARI KERJA
Sebuah pameran SkillsFuture juga diadakan secara serentak di tingkat empat, dewan serbaguna WGS.
Para pengunjung boleh mendapatkan panduan pekerjaan melalui pelbagai program di pameran itu serta kursus yang diluluskan oleh Kredit SkillsFuture.
Sebanyak 11 syarikat mengambil bahagian termasuk dalam bidang latihan, runding cara dan pendidikan.
Ia termasuk syarikat milik Melayu/Islam iShare Singapore, Pusat Latihan Antarabangsa Raffles Skills Lab dan Akademi SSA.
Di samping itu, para pengunjung boleh mendapatkan panduan berniaga dari rumah daripada The Oven Lady, Annticing Treats, Lauuk House dan Spes-hiel.
"Kita juga akan memberikan peluang kepada mereka yang melakarkan perniagaan dari rumah di mana kini kita sering mendengar bagaimana ramai di kalangan masyarakat kita yang mengambil bahagian dalam 'Home Based Business' ini.
"Ini bagi meneroka peluang yang lebih banyak bagi mereka dan juga berkongsi tips bagaimana mereka mengendalikan program mereka," jelas Dr Faishal.
Dua personaliti memasak terkenal iaitu Cef Siti Mastura dan Cef Zan pula akan berkongsi tentang kursus SkillsFuture yang mereka kendalikan.
Pameran SkillsFuture dihadkan kepada 30 pengunjung dalam satu-satu masa.
Anda boleh membuat pendaftaran di lelaman berikut untuk mendapatkan tempat: http://wgsskillsfuturefair.klobbi.com.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.