Skip to main content

Singapura

Pameran imersif pertama di Singapura sorot luka emosi kanak-kanak yang diwarisi merentas generasi

Anggaran Waktu Membaca:

Diterbitkan : 10 Aug 2026 05:21PM Dikemas Kini : 09 Sep 2026 07:35PM
SINGAPURA: Tiada lebam yang kelihatan, tiada luka pada tubuh.

Namun kata-kata yang menyakitkan, penghinaan dan perasaan tidak disayangi boleh meninggalkan calar pada emosi yang dipendam seorang kanak-kanak hingga dewasa.

Realiti itu menjadi tumpuan kempen 'Why Hurt Children Hurt Children', yang dikelolakan oleh gerakan kebajikan kanak-kanak, EveryChild.SG.

Kempen yang pertama seumpamanya itu ingin mencetuskan perbualan tentang kecederaan emosi kanak-kanak dan bagaimana ia boleh berlarutan daripada satu generasi kepada generasi seterusnya.

KEMPEN WHY HURT CHILDREN HURT CHILDREN MENERUSI PENGALAMAN DALAM BLACK BOX

Tunjang utama kempen tersebut terdapat dalam ruang The Black Box.

Sebaik melangkah masuk, para pengunjung akan berdepan dengan rangkaian kata-kata dan situasi yang diangkat daripada pengalaman sebenar.

Ia termasuk ungkapan yang mungkin pernah didengar di rumah, di sekolah, atau sejak kecil di Singapura.
Related article image
Ungkapan yang mungkin pernah didengar oleh kanak-kanak di Singapura serta sebuah filem bertajuk The Silent Spaces yang dimainkan di dalam pameran tersebut. (Gambar: Hidir Ezat)
Di dalam ruang itu, sebuah filem bertajuk The Silent Spaces turut dimainkan, sekali gus melengkapkan pengalaman yang terasa dekat, mendalam dan jujur.

Selepas keluar dari The Black Box, para pengunjung akan memasuki pula ruang 'Decompression'.

Ia merupakan ruang yang direka khusus untuk memberi mereka masa untuk berhenti seketika, mencerna dan bermuhasabah tentang apa yang dialami.

Para pengunjung juga boleh mendapatkan bahan sokongan yang menggalakkan perbualan serta pemahaman, selain berpeluang berbual dengan petugas sokongan terlatih bagi mereka yang memerlukan sedikit masa dan ruang untuk memproses emosi yang timbul.

"BUKAN SEMUA LUKA BOLEH KITA LIHAT": DR HANA ALHADAD

Kempen itu dilancarkan bersandarkan sebuah penyelidikan Institut Kesihatan Mental (IMH) yang mendapati 46.5 peratus rakyat Singapura mengalami pengabaian emosi semasa zaman kanak-kanak.

Satu kajian pada 2025 pula mendapati 61 peratus mahasiswa Singapura melaporkan penderaan emosi semasa kecil.

Pakar kanak-kanak dan keluarga EveryChild.sg, Dr Hana Alhadad, menasihati bahawa kecederaan emosi tidak semestinya meninggalkan kesan yang dapat dilihat.

"Kecederaan emosi itu boleh berlaku bila kanak-kanak selalu dimarah dengan kata-kata kasar, dipermalukan, mungkin juga perkara yang menjatuhkan maruah. Bukan semua luka boleh kita lihat," kongsi Dr Hana.

"Walaupun kita tak nampak luka itu, kesan luka emosi itu akan dibawa ke alam dewasa," tambahnya lagi.

CORAK SAMA BOLEH BERULANG TANPA SEDAR

Lantaran itu, Dr Hana menasihatkan golongan ibu bapa agar sedar dengan emosi kanak-kanak untuk mengelakkan situasi daripada memburuk.

Dr Hana berkata: "Sebagai ibu bapa kita rasakan kita tidak akan mengulangi perkara yang sama. Tapi bila kita penat, tertekan atau marah, tiba-tiba keluar juga kata-kata yang kita sendiri pernah dengar masa kecil atau tidak mahu diulangi."

"Bila kita sedar, kita boleh minta maaf kepada mereka. Kita mengajar mereka yang kita semua buat kesilapan asalkan kita sedar atas kesilapan itu dan berbuat lebih baik lagi," tambah beliau lagi.

Ketua Pegawai Operasi EveryChild.sg, Aarathi Arumugam, pula menarik perhatian kepada cabaran yang dihadapi ibu bapa masa kini.
Related article image
Pakar kanak-kanak dan keluarga EveryChild.sg, Dr Hana Alhadad (kiri) dan Ketua Pegawai Operasi EveryChild.sg, Aarathi Arumugam (kanan). (Gambar: EveryChild.sg)
"Hari ini ibu bapa berdepan pelbagai tekanan – kerjaya, kos sara hidup, pendidikan dan dunia digital. Dalam keadaan tertekan, kita kadangkala bertindak balas secara automatik tanpa sedar mengulangi cara kita sendiri dibesarkan," kata Cik Aarathi.

"Kata-kata dan tindakan kecil boleh meninggalkan kesan yang besar. Setiap orang pernah menjadi kanak-kanak, dan pengalaman itu membentuk siapa kita hari ini. Kita semua mempunyai peluang untuk membina hubungan yang lebih sihat dengan anak-anak. Perubahan tidak memerlukan ibu bapa yang sempurna—ia bermula dengan kesedaran dan usaha untuk menjadi lebih baik setiap hari,"tambahnya lagi.

Bagi Cik Aarathi, matlamat kempen itu bukan untuk menyalahkan ibu bapa tetapi meningkatkan kesedaran tentang bagaimana pengalaman zaman kanak-kanak boleh terus mempengaruhi seseorang sehingga dewasa.

"Tujuan kami bukan untuk menyalahkan sesiapa, tetapi membuka ruang kepada perbualan yang lebih jujur dan penuh empati."

Pameran 'Why Hurt Children Hurt Children' – The Black Box kini berlangsung di lobi utama Fusionopolis hingga 16 Ogos, dari 10.00 pagi hingga 8.00 malam.

Masuk adalah percuma.
Sumber : BERITA Mediacorp/hd
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Video Pilihan

Lebih banyak artikel Berita