Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pameran iktiraf sasterawan wanita Melayu sempena Pesta Penulis SG

Coretan hatinya semasa menjaga anak yang sakit memberi ilham kepada Cik Rohani Din menghasilkan novel pertamanya 'Diari Bonda' pada 1999.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Coretan hatinya semasa menjaga anak yang sakit memberi ilham kepada Cik Rohani Din menghasilkan novel pertamanya 'Diari Bonda' pada 1999.

Ia meninggalkan kesan mendalam sehingga mendapat perhatian para peminat sastera serantau.

Sepanjang lebih dua dekad, ibu kepada empat orang anak dan enam cucu itu sudah menghasilkan banyak karya kesusasteraan termasuk novel, cerpen dan puisi.

(Gambar: BERITAmediacorp/Syawal Yusoff)

Menerusi Kumpulan Bebas Melata yang ditubuhkannya pada 2012, beliau memberi wadah kepada lebih 200 penulis Nusantara termasuk Indonesia, Thailand dan Vietnam untuk membukukan karya-karya mereka.

Sejauh ini 17 buku sudah dihasilkan.

PAMERAN TAMPILKAN SASTERAWAN WANITA DULU DAN KINI

Sumbangannya kepada dunia penulisan diberi penghormatan dalam pameran sasterawan wanita Melayu sempena Pesta Penulis Singapura tahun ini.

"Tulisan seorang ibu itu ataupun wanita itu, selalunya ada sentuhan. Jadi patutlah kita kedepankan, jinakkan kepada anak-anak itu untuk membaca. Mudah-mudahan karya ataupun tulisan perempuan Melayu kita di Singapura ini akan dihargai, insya-Allah," kata Cik Rohani, 69 tahun.
 

(Gambar ihsan: Majlis Seni Kebangsaan)

Turut menganggotai Kumpulan Bebas Melata ialah penulis Khaziah Yem, Kamaria Buang, Faridah Taib dan Nordita Taib.

Pameran percuma itu juga akan menampilkan sasterawan dan pengarang wanita seawal abad ke-20 dan kini seperti Raja Aisyah Sulaiman, Adibah Amin, Profesor Madya Hadijah Rahmat, Sa'eda Buang dan Rasiah Halil.

Menurut penganjur, pameran itu juga satu-satunya seumpamanya yang pernah dianjurkan di Singapura bagi mengiktiraf penulis wanita Melayu.

HARAPAN UNTUK ANAK-ANAK MUDA

Menerusi pameran itu, Cik Rohani yang mesra digelar 'bonda' berharap golongan muda khususnya akan lebih tertarik untuk berkarya menggunakan Bahasa Melayu.

"Bonda berharap pada anak-anak muda tolonglah naik ke atas ini, naik menjejak tangga penulisan ini, menggantikan bonda sebagai pelapis. Bonda harap sangat-sangat. Peliharalah Bahasa kita. Bahasa kita cantik sebenarnya. Kalau pandai diadun, macam kalau, jikalau, boleh jadi, tak boleh jadi, macam-macam boleh jadi kan?," jelasnya.

Meskipun mengalami masalah kesihatan, beliau masih aktif berkarya.

Beliau yang baru mengendali sebuah bengkel penulisan di sekolah beberapa bulan lalu terbuka untuk berkongsi ilmu dengan generasi muda sekiranya diberi undangan.

Orang ramai juga berpeluang menghadiri satu sesi dialog bersama Cik Rohani dan kumpulannya pada hari pembukaan pameran pada 4 November nanti.

Pameran percuma di The Arts House itu berlangsung dari 4 hingga 20 November 2022.

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan